Islam lengkapkan saya - Muhammad Arfat |ISUHANGAT function replace_date(d){ var da = d.split(' '); day = ""+da[2].replace(/,/,"")+""; month = ""+da[1].slice(0,3)+""; document.write(day+month); }




Oleh: ZUARIDA MOHYIN

BAYANGKAN pada suatu hari sedang anda duduk beristirehat, tiba-tiba pintu bilik anda diterjah secara kasar oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali. Tambah mengerikan mereka itu bersenjatakan pedang.

Melihat kebengisan raut wajah mereka itu, sudah menjelaskan tentang niat buruk mereka. Sekali gus meletakkan diri anda dalam situasi antara hidup dengan mati.

Hakikatnya, insiden ini bukannya satu babak atau slot dalam drama, wayang atau pertunjukan pentas. Ia adalah realiti yang berlaku kepada seorang anak muda kelahiran Medan, Indonesia tetapi dibesarkan di Jakarta sewaktu berurus niaga di tempat orang.

Meskipun kisah tragis ini meninggalkan trauma berpanjangan kepada pemuda dari suku Batak ini, namun dalam kepahitan itu terselit kemanisannya yang membawa kepada keinsafan, kesedaran seterusnya kepada jalan kebenaran iaitu Islam.

Hal ini diakui Rocky Marcel Simanjuntak atau nama Islamnya, Muhammad Arfat Rocky Marcel, 28, yang kini menetap di rumah pak cik saudaranya di Nilai, Negeri Sembilan. Muhammad Arfat yang baru-baru ini diumumkan sebagai pelajar cemerlang pada awal September lalu memeluk Islam pada 29 Jun 2005 di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur di hadapan Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong.

“Kalau boleh saya tidak mahu lagi mengingati peristiwa menakutkan itu tetapi sebenarnya, di situlah tercetusnya minat saya mengenali Islam, agama yang suatu masa dahulu dipandang negatif oleh kami sekeluarga,” katanya.

Apa yang menyelamatkan beliau pada masa itu ialah perenggan terakhir ayat Kursi di mana terjemahan ayat inilah yang berulang kali diucapkannya dengan nada yang agak kuat.

“Pada masa itu, keyakinan saya hanya pada-Nya yang diterjemahkan menerusi ayat tersebut. Saya sendiri terkejut bagaimana penyerang-penyerang itu tidak nampak saya yang berada di sudut hujung bilik tanpa berselindung dengan apa-apa objek.

“Malah semasa dalam suasana panik itu, saya berjanji dalam hati, andainya saya terselamat, saya berazam untuk lebih mengenali agama Islam itu. Akhirnya, Allah menyelamatkan saya dan saya mula belajar menerusi pembacaan buku-buku agama dan semakin banyak yang diketahui, semakin saya berminat mendalami agama yang indah ini,” kata Muhammad Arfat.

Menurutnya, sebelum ini, beliau beranggapan Islam agama pengganas kerana banyak yang berlaku berkaitan dengan umat Islam itu semuanya menampakkan sisi negatifnya.

“Contohnya, peperangan sesama Islam tetapi apabila Islam dihayati secara betul, barulah saya sedar bahawa Islam adalah agama yang suci, bersih tidak kita secara dalaman mahupun luaran,” cerita Muhammad Arfat berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tidak mahu saudara maranya berpecah belah akibat tindakannya memeluk agama Islam.

Menurut anak tunggal ini lagi, sebelum benar-benar nekad mengucap dua kalimah syahadah, dia pernah menyuarakan hasrat untuk bertukar agama kepada bapa.

Alhamdulillah, sungguhpun bapa seorang yang kuat pegangan Roman Katolik, bapa masih boleh menerimanya apabila mengetahui pilihan tersebut adalah kerana Allah dan tanpa sebab-sebab tertentu atau paksaan mana-mana pihak.

“Tetapi saya menerima tentangan hebat daripada ahli keluarga yang lain. Emak pula sudah meninggal dunia sejak saya kecil lagi. Jadi ayahlah menjadi insan istimewa sepanjang hidup saya sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir, tiga bulan selepas pengislaman saya,” jelasnya.

Namun, pemergian bapa dikatakan berpunca daripada beliau menyebabkan Muhammad Arfat sedih. Bagaimanapun, yang memujuk hatinya ialah restu ayah yang diperoleh sebelum beliau memeluk Islam.

Kata beliau, berada di Kuala Lumpur, tidaklah ketara sangat tentangan mereka mungkin kerana faktor jauh.

“Saya mula mengikuti kelas-kelas kendalian Perkim pada setiap petang dari pukul 5 petang hingga 7 malam. Saya bersyukur Islam banyak mengubah kehidupan dan pandangan saya tentang pelbagai aspek.

“Kalau sebelum ini saya agar keterlaluan dalam pergaulan, akhlak tetapi semenjak mengenali, mendalami, menghayati dan mempraktikkan Islam, semua perangai buruk saya mampu dikawal,” tambah anak muda ini lagi.

Menurut Muhammad Arfat, sebelum ini beliau selalu beranggapan kekayaan dan wanita yang menyempurnakan hidup tetapi kini, Islam adalah segala-galanya dan ia adalah pelengkap hidupnya.

“Hinggakan walaupun diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan, saya sentiasa memanjatkan doa agar Allah sentiasa memberikan petunjuk dan setiap yang mendatang itu hanya Allah mengetahui dan saya selalu mengharapkan yang terbaik,” kata beliau yang baru-baru ini mengalami kemalangan jalan raya sehingga terpaksa menjalani rawatan fisioterapi sebelum boleh aktif bergerak semula.

Berkongsi pengalamannya melaksanakan ibadat puasa, kata Mohammad Arfat, kali pertama berpuasa, beliau hanya mampu berpuasa penuh selama 13 hari.

Hari pertama puasa baginya cukup mencabar dan amat payah dilalui tetapi berkat kesungguhan, ia berjaya juga diharungi. Tahun ini merupakan kali ketiga Muhammad Arfat melakukan ibadat ini, semuanya sudah tidak menjadi masalah. Lebih-lebih lagi sentiasa mempraktikkan puasa sunat Isnin dan Khamis.

Malah beliau amat gembira dengan kedatangan Ramadan kerana kepuasan dan keseronokan melepasi ibadat wajib ini benar-benar menusuk kalbu. Ini kerana kita berjaya melawan hawa nafsu serta puasa itu banyak hikmah tersirat dan tersurat.

Pernah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang, ia bukannya untuk dibangga-banggakan tetapi tegas Muhammad Arfat, pemilihan tersebut secara tidak langsung meletakkan tanggungjawab berat kepadanya untuk menjadi contoh tauladan terutamanya kepada golongan mualaf serta mereka yang memang dilahirkan Islam.

Related Posts by Categories



0 comments

Blog Widget by LinkWithin


Recommended Money Makers

  • Chitika eMiniMalls
  • WidgetBucks
  • Text Link Ads
  • AuctionAds
  • Amazon Associates