KUALA LUMPUR 9 Sept. – Ikatan pertunangan yang terjalin sejak 28 Oktober tahun lalu, antara pelakon Lisdawati Nazaruddin, 28, dan Fauzi Nawawi, 34, akhirnya termeteri di gerbang perkahwinan apabila pasangan itu selamat diijab kabulkan hari ini.
Majlis pernikahan pasangan tersebut dibuat secara sederhana di kediaman Lisdawati di Kondominium Setapak Ria di sini, dan dihadiri oleh ahli keluarga kedua belah mempelai.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Wilayah Persekutuan, Masjid Jamiul Ehsan, Wan Ismail Wan Ahmad, 63, dengan mas kahwin RM999.
Dengan sekali lafaz, Fauzi sah bergelar suami Lisdawati dan kedua-dua mempelai kelihatan berseri mengenakan pakaian rekaan butik Anggun Andaman bertemakan hijau putih.
Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin yang ditemui selepas majlis pernikahan berkata, dia bersyukur kerana pernikahannya berjalan lancar.
Ditanya mengenai keistimewaan Fauzi, Lisdawati berkata, Fauzi seorang yang matang dalam membuat sebarang keputusan.
“Kebanyakan masalah yang dihadapi, dia dapat atasi dengan baik. Di situ saya nampak kewibawaan Fauzi dan saya amat menghargainya,” kata Lisdawati.
Pada majlis yang sama, mereka bertukar-tukar dulang hantaran iaitu sembilan dulang daripada pihak Fauzi beserta wang hantaran RM21,111.11 dan dibalas 11 dulang oleh Lisdawati.
Sementara itu, Fauzi ketika diminta mengulas mengenai perasaannya berkata, dia berasa itulah hari yang paling gembira dalam hidupnya.
“Saya ingin menjalani kehidupan berumah tangga bermula pada Ramadan dan Syawal kali ini bersama Lisdawati dan keluarga,” katanya.
Pasangan tersebut akan melangsungkan majlis persandingan mereka di Dewan Komuniti Ibu Kota, Setapak pada 26 Oktober depan.