"Jamal! pulanglah ke pangkuan Pengasih", pinta Presiden Persatuan Pengasih Mohd Yunos Pathi kepada penyanyi pujaan ramai Jamal Abdillah yang dikatakan masih sukar untuk meninggalkan tabiat menagih dadah.

Mohd Yunos berkata kumpulan sokongan Pengasih sedia menghulurkan sebarang bentuk bantuan, termasuk khidmat nasihat, bagi membantu penyanyi yang terkenal dengan lagu "Kekasih Awal dan Akhir" dalam apa jua masalah yang dihadapi.

"Semasa Jamal berada di Pengasih beliau amat komited untuk melakukan perubahan dan sentiasa serius serta mengambil bahagian dalam semua program yang dianjurkan selain sentiasa berbincang dengan kaunselor untuk mendapatkan khidmat nasihat," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Jamal, atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 47, yang mula mencipta nama sebaik menjadi juara Bintang RTM 1979, menggemparkan industri hiburan tempatan apabila ditahan di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak kerana memiliki dadah pada 1986.

Beliau ditahan sekali lagi di Pusat Serenti Tampin selama 16 bulan 12 hari sebelum dibebaskan pada 9 April 1988.

Kes terbaru ialah pada 18 Jan lepas apabila Jamal ditahan bersama sepupunya di sebuah rumah rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Perak kerana disyaki memiliki dadah.

Bagaimanapun, pada Isnin lepas beliau dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan selepas pihak pendakwa memohon untuk menarik balik pertuduhun terhadap Jamal.

Mohd Yunos berkata masalah membabitkan dadah yang membelenggu Jamal, penyanyi yang popular menerusi album sulungnya Perpisahan Tanpa Relamu, bukan hanya berlaku kepada beliau sahaja malah turut membabitkan bekas penagih lain.

"Saya amat berkeyakinan Jamal sebenarnya memang ingin berubah tetapi kekuatan dan semangatnya masih belum cukup kental untuk menghadapi cabaran dunia hiburan selain tanggapan masyarakat yang menjadi antara faktor pendorong beliau terjerumus kembali ke kancah penagihan dadah," katanya.

Mohd Yunos turut menasihat Jamal agar kembali semula ke pangkuan Pengasih sekiranya beliau masih belum mempunyai kekuatan untuk berdepan cabaran dalam dunia hiburan.

Mohd Yunos berkata banyak faktor yang menyukarkan Jamal mahupun bekas penagih lain untuk meninggalkan tabiat buruk itu, antaranya pandangan serong masyarakat terhadap golongan ini.

"Masyarakat beranggapan kalau sekali terjebak memang sukar untuk berubah. Sedangkan di saat-saat seperti ini mereka memerlukan sokongan masyarakat selain sokongan dan bantuan anggota keluarga," katanya.

Beliau berkata penganjur atau promoter perlu memainkan peranan dan membantu Jamal menghadapi situasi ketika berhadapan dengan penonton semasa membuat persembahan.

"Penganjur sepatutnya jangan membiarkan Jamal mahupun artis lain mengambil apa jua jenis dadah sebelum membuat persembahan. Mereka juga perlu menjalankan tanggungjawab sosial mereka," katanya.

Beliau berkata penganjur pula tidak seharusnya terlibat sama dalam menyediakan barangan terlarang itu yang dikatakan boleh membantu menghilangkan gugup ketika beraksi selain untuk memberikan stamina.-