adsense

Showing posts with label Misteri. Show all posts
Showing posts with label Misteri. Show all posts

06 December, 2007

Misteri: Bayang pencuri dalam air

Oleh Cilibo

 Saya ingin berkongsi satu pengalaman pelik dan aneh yang berlaku ketika saya pulang ke rumah mertua di Kelantan baru-baru ini. Kebetulan pada suatu pagi, tok saudara yang rumahnya berada di sebelah rumah mertua mengalami kecurian wang tunai sebanyak RM 300.00.


Saya yang mendengar mereka ingin pergi berjumpa seorang tok bomoh di Pengkalan Kubur rasa sangat teruja apabila mendengar cerita bahawa tok bomoh tersebut boleh membuatkan bayang pencuri muncul di dalam air dalam gelas.

Kononnya jika kecurian itu berlaku pada waktu terdekat, bayangan tersebut menjadi lebih jelas. Kejadian berlaku dalam lingkungan pukul 4 pagi hingga 5 pagi hari tersebut. Saya pun menawarkan diri untuk menghantar mereka ke rumah tok bomoh dan kami pergi ke sana jam 2.00 petang.


Rumah tok bomoh hanya 3 minit dari Pekan Pangkalan Kubur dan terletak berhampiran jalan utama. Ketika kami datang seorang lelaki berusia 40an menyambut kami di muka pintu dengan berpakaian singlet dan seluar slack lusuh.


Saya merupakan seorang graduan dalam bidang sains teras di sebuah universiti tempatan.Berkemahiran serba sedikit dalam bidang komputer dan fotografi digital dan amat meminati Adobe Photoshop CS. Memikirkan kemungkinan boleh membantu jika gambar tersebut benar-benar wujud, saya membawa kamera digital fujifilm kesayangan bersama. Namun saya tidak menaruh apa-apa harapan tinggi pada asalnya kerana sebagai orang sains, biasalah kami dididik untuk berpegang pada prinsip dan hukum-hukum sains.


Kami berbual lama dengan tok bomoh yang agak mesra dan kelihatan seperti tipikal orang Melayu Kelantan. Sama-sama bercerita mengenai masalah kecurian dan keruntuhan akhlak muda-mudi serta kaedah pembasmian masalah tersebut secara perbandingan di Thailand dan di Kelantan. Seketika tiba-tiba dia bertanyakan nama tuan punya duit serta jumlah duit yang hilang lalu menuju ke sudut rumah sambil membelakangkan kami.

Dia mengadap satu mangkuk bara api yang telah disediakan oleh isterinya dan mengambil segelas air dari bawah satu meja kecil serta sehelai kain putih. Kami nampak perkara yang dilakukannya kerana jarak antara kami tak sampai dua meter walaupun dia membelakangkan kami. Saya perhatikan dia membakar kemenyan, mengusap gelas air tersebut dengan kain di atas bara api tersebut hampir 2-3 minit. Mula-mula dia menyatakan payah nak nampak..tetapi selepas beberapa minit kemudian dia mempelawa kami melihat bayang wajah di dalam air gelas tersebut.
Kami bawa gelas tersebut berhampiran pintu rumahnya dan meletakkan di atas muka pintu di bawah sinaran matahari petang.


 Saya mengambil kesempatan menangkap beberapa keping gambar close up sementara tok sedara turut cuba mengenalpasti. Pada mulanya saya agak hairan bagaimana gambar bayang orang boleh kelihatan (Lelaki) tetapi macam bayang sahajalah. Saya pun berbisik dengan isteri dan adik ipar untuk memproses gambar tersebut di rumah menggunakan photoshop.


Mungkin kelihatan lebih jelas. Cuba perhatikan gambar-gambar di bawah. Saya tidak memanipulasikan sebarang objek menggunakan photoshop...saya cuma meningkatkan kesan zoom, ubahsuai lighting, auto levels, auto colors dan menggunakan kesan-kesan minimum. Perhatikan wajah aneh yang muncul..rupa-rupanya bayang itu bukan sekadar bayang sahaja..!


Terdapat 15 keping gambar asal..dan ini merupakan gambar-gambar yang terjelas.....Bersama-sama ini saya sertakan 3 keping gambar asal terbaik sebagai sisipan jika ada sesiapa yang boleh menolong menjelaskan lagi perkara ini. Sebagai orang yang berpendidikan sains, perkara ini benar-benar menghairankan saya.


WALLAHHUALAM..

10 August, 2007

Lembaga seperti pelajar di Hutan Royal Belum



PADA pertengahan 2004, seramai 33 pelajar lelaki yang mendaftar mengikuti perkhemahan bina semangat tiba di Masjid Bandar Baru Sentul. Masing-masing siap dengan pakaian, makanan dan peralatan perkhemahan yang dijangka empat hari tiga malam di kaki gunung Hutan Royal Belom, Perak.

Tiga ustaz dan dua pegawai lain akan menyertai perkhemahan itu. Mereka awal-awal lagi sudah tiba di masjid siap dengan senarai nama peserta. Seorang demi seorang pelajar tiba. Ada yang dihantar oleh keluarga dan datang menaiki teksi.

Kegembiraan pelajar terserlah apabila tiba di perkarangan masjid itu. Selepas bersalaman dengan ustaz dan pegawai yang akan mengiringi, mereka berkenalan antara satu sama lain sambil menunjukkan beberapa peralatan yang dibawa sesuai dengan perkhemahan dalam hutan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Perkhemahan itu dianjurkan selaras dengan tema survival bagi meningkatkan semangat individu dan berpasukan pelajar yang kebanyakan belajar di tingkatan empat dari beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Selepas solat Zuhur, mereka tolak selepas seorang ustaz membaca doa supaya selamat pergi dan kembali serta dijauhkan segala musibah. Bas yang membawa 37 peserta itu bergerak dari Bandar Baru Sentul melalui Gombak menyusuri MRR2 ke Sungai Buloh kemudian memasuki Lebuh Raya Utara-Selatan menuju Ipoh, Perak.

Perjalanan di lebuh raya pastinya menyenangkan. Walaupun banyak kenderaan bertali arus tetapi suasana sangat menggembirakan. Sesekali pelajar bersorak apabila ada antara mereka yang membuka cerita kelakar. Perjalanan yang hampir empat jam tidak terasa kerana terhibur dengan pelbagai kerenah masing-masing.

Bas kami tiba hampir Maghrib, pelajar turun dan berkumpul di kawasan perkhemahan kaki bukit Hutan Belom. Kawasan itu memang terkenal sebagai antara pusat perkhemahan musim panas dan pusat seminar.

Setelah taklimat ringkas, pelajar memasuki khemah masing-masing. Mereka diminta berkumpul semula untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah di surau.

Pelajar yang memang begitu bersemangat sebaik saja meletak beg dan barang masing-masing segera tukar pakaian dan mengambil wuduk di tepi anak sungai berhampiran.

Malam itu mereka mengisi masa dengan mendengar ceramah agama selepas makan dan tidur kira-kira jam 10.30 malam.

Walaupun berada di kaki Hutan Belom di Banjaran Titiwangsa suasananya amat sejuk bagaikan berada di negara Barat. Kabus pagi yang tebal menyebabkan pelajar liat bangun pagi untuk menunaikan solat Subuh. Ada antara mereka lambat datang ke surau untuk berjemaah. Bagaimanapun disebabkan semangat yang ditanam oleh ustaz yang membimbing malam itu menyebabkan mereka tetap berada di surau berjemaah dan mendengar kuliah subuh penuh khusyuk.

Sebelah siang hari kedua dipenuhi pelbagai aktiviti berpasukan selain beberapa ceramah motivasi supaya cintakan pelajaran. Mereka menerima segala aktiviti dengan penuh dedikasi dan memberi tumpuan khas kepada ceramah.

Selepas solat Asar, ustaz yang mengendalikan perkhemahan itu membuat program memancing di hulu sungai kira-kira satu jam perjalanan dari tapak perkhemahan. Pelajar bersorak gembira kerana sebahagian besar membawa joran.

Bagaimanapun ustaz memberitahu, dua orang daripada mereka tidak dapat pergi memancing untuk menjaga khemah bagi mengelakkan daripada dicerobohi terutama binatang buas seperti babi hutan dan kera.

Akhirnya dua pelajar dipilih. Walaupun rasa kecewa tetapi mereka akur perintah itu dan sedia menjaga khemah. Selepas solat Maghrib, kumpulan pelajar dan pegawai bergerak ke hulu sungai untuk memancing seperti dirancang.

Kira-kira setengah jam kumpulan itu bergerak dari khemah, dua pelajar yang diarah menjaga khemah rasa agak bosan dan berpakat untuk memancing di hilir sungai. Mereka berdua meninggalkan khemah dan memancing pada jarak kira-kira 30 minit perjalanan dari khemah itu.

Sedang kumpulan di hulu sungai asyik memancing, seorang daripada ustaz yang mengiringi kumpulan itu ternampak dua pelajar yang diarah menjaga khemah juga asyik memancing bersama pelajar lain.

Ustaz memanggil pelajar berkenaan dan memarahinya sekali gus meminta mereka pulang semula ke khemah semula. Dua pelajar itu bagaimanapun diam dan menjauhi kumpulan berkenaan kemudian lesap dalam gelap.

Kira-kira jam 11.30 malam kumpulan yang memancing di hulu sungai tiba semula ke tapak perkhemahan. Ustaz dengan segera memanggil dua pelajar yang diarah menjaga khemah. Pelajar itu tergamam apabila dimarahi ustaz.

Dua pelajar itu cuba menerangkan kepada ustaz bahawa mereka tidak mengikuti kumpulan ke hulu sungai tetapi memancing di hilir sungai. Sebagai bukti mereka menunjukkan ikan yang dipancing.

Ustaz terdiam seketika dan memikirkan alasan yang diberikan oleh dua pelajar berkenaan. Akhirnya seorang daripada ustaz yang sentiasa memberi ceramah agama tersenyum dan meminta kes itu ditutup.

Bagaimanapun dua pelajar itu tetap dihukum memasak makanan kepada pelajar lain kerana meninggalkan khemah.

Ketika perjalanan pulang, seorang ustaz bertanyakan ketua perkhemahan berkenaan bagaimanapun dua pelajar itu boleh berada di dua tempat berasingan dalam masa yang sama.

Misteri itu walaupun belum ada jawapannya tetapi tetap segar dalam ingatan mereka.
Blog Widget by LinkWithin