adsense

Showing posts with label Sharifah amani botak. Show all posts
Showing posts with label Sharifah amani botak. Show all posts

15 June, 2007

Sh Amani Botak, Tuntutan lakonan bukan alasan



KLANG: Tindakan pelakon filem Muallaf, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid yang sanggup membotakkan kepala demi filem itu, tidak seharusnya dibanggakan.


Ini kerana, tindakan itu hukumnya haram di sisi Islam kerana menyamai lelaki dan pada masa sama, ia boleh memberi kesan buruk kepada wanita Islam.

Exco Hal Ehwal Agama dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, berkata tindakan Sharifah Amani itu tidak wajar dilakukan kerana walaupun untuk memenuhi tuntutan lakonan, ia bertentangan dengan perlakuan wanita Islam sebenar.

“Semua tindakan yang tidak bersesuaian atau bertentangan dengan ajaran Islam tidak sepatutnya dibanggakan walaupun sekadar mahu memenuhi tuntutan watak dalam filem.

“Saya tidak layak dan tidak boleh menghukumnya, tetapi saya bimbang perlakuan ini akan menjadi ikutan wanita Islam lain,” katanya selepas merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klang Utama, di sini, semalam.

Menurut Rahman, yang haram tetap haram dan perkara itu tidak boleh dikompromi atau bertolak ansur.

Dalam masa sama, beliau turut meminta pelakon lain berhati-hati selain sentiasa mengambil berat pelbagai faktor, terutama membabitkan agama bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.

“Jangan jadikan tuntutan lakonan atau apa saja sebagai alasan untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama. Tidak kira artis atau sesiapapun, kita perlu tegas jika ia membabitkan hal agama,” katanya.

Kelmarin, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyis Abdul Majid, dipetik berkata artis beragama Islam tidak sepatutnya membelakangkan hukum agama selain merendahkan diri sendiri dengan melakukan perkara bertentangan dengan agama semata-mata untuk popular.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Idris pula mengingatkan artis beragama Islam supaya tidak terpengaruh dengan artis Barat yang sanggup mengorbankan agama semata-mata mahu menjadi popular dan dikenali ramai.
Blog Widget by LinkWithin