| Rumah  Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat di Pulau Melaka Kelantan BELUM ADA lagi pemimpin Melayu/Islam yang mampu menandingi  kezuhudan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, lihat saja rumahnya, inilah  rumah untuk seorang menteri besar selama 17 tahun memerintah Kelantan, tidak  berpagar, jauh lagi berpengawal. Cakapnya perlahan, tapi isinya dalam, beliau  dihormati kawan dan lawan, baik Dr Mahathir, Ku Li, bahkan Lim Kit Siang  sendiri. Mahu tahu mengenai peribadinya? Mengenalinya lebih dekat? Ulama Islam dan tokoh  politik Melayu  Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama dan tokoh politik  tanahair yang tidak asing lagi sejak lebih tiga dekad yang lalu. Tidak syak  lagi, beliau adalah satu-satunya tokoh politik yang paling komited dan paling  gigih memperjuangkan Islam sebagai ad-Deen yang perlu ditegakkan di negara  ini. Alhamdulillah, berkat kesabaran, kegigihan dan komitmennya yang total di  dalam perjuangannya itu, akhirnya fajar kejayaannya sudah mula menyinsing di  ufuk kenyataan hidup. Kelantan sudahpun dapat ditawannya. Berikutnya beliau  telah dipilih untuk mengetuai kabinet Kerajaan Islam di negeri ini. "Semacam ada persafahaman antara para malaikat di langit dan para pengundi  di bumi," kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ketika mengulas kemenangan PAS dan  Angkatan di dalam pilihanraya umum yang baru lalu. Selaku Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz telah membuktikan keupayaan  dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah yang baru  sahaja jatuh ke tangannya itu. Pelbagai saranan dan pembaharuan yang membina  telah diperkenalkannya. Ketaralah, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan  keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan  mereka. Ahli Parlimen yang  komited Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan  kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri  Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS  bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut. Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea,  saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan  Rakyat. Malangnya ucapan-ucapannya yang bernas dan panjang lebar itu telah tidak di  beri liputan yang sewajarnya di dalam media massa – baik di dalam akhbar-akhbar  utama mahupun di dalam media letronik seperti TV dan radio. Hal ini dapat  difahami kerana hampir kesemua alat media massa yang penting di negara ini  berada di bawah kawalan kerajaan Barisan Nasional. Kerjaya awal sebagai ahli  politik Oleh kerana agama dan politik itu saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan, maka Tuan Guru akhirnya telah menceburkan dirinya di dalam kegiatan politik tanahair. Beliau memilih PAS oleh kerana parti itu memperjuangkan Islam dan bercita-cita untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam di negara ini. Pembabitan beliau di dalam politik tanahair melalui PAS tidaklah pula  sampai beliau mengabaikan penglibatannya di bidang dakwah dan pendidikan  agama. Mulai tahun 1967 Tuan Guru Haji Nik Abdul Azizl mula menyertai PAS. Dalam  tahun yang sama beliau telah dipilih untuk bertanding dalam suatu pilihanraya  kecil di Kelantan. Beliau menang di dalam pilihanraya kecil itu. Sejak itu hampir setiap kali pilihanraya, beliau sentiasa memenangi kerusi  Parlimen yang ditandinginya iaitu Kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. Malah  Pengkalan Chepa telah muncul sebagai kubu PAS dan sejak dahulu hingga sekarang  kerusi Parlimen Pengkalan Chepa tidak pernah dapat ditawan oleh UMNO atau  BN. Mengetuai Dewan Ulama PAS  Pusat Memandang kepada ketokohan dan kewibawaannya sebagai seorang ulama, beliau telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan PAS untuk mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat mulai akhir tahun 1960an. Selaku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sering  mengingatkan ahli-ahli PAS dan umat Islam di negara ini agar mematuhi kesemua  ajaran Rasulullah SAW. Bukannya mengambil bahagian-bahagian tertentu dan  membuang bahagian-bahagian yang lain yang dirasa bercanggah dengan kepentingan  peribadi. Kerajaan contoh Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah  digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan  berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah  diberikan kepada negeri Kelantan itu. Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua  pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan  pelbagai pihak – dalam dan luar negeri – Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu  meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan  Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota  Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu. Di sinilah – di Dewan Zulkifli Muhammad  inilah – ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat  untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat,  Menteri Besar Kelantan yang mereka kasihi dan hormati itu.  LOTFI ISMAIL | 
ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
Showing posts with label Nik Aziz. Show all posts
Showing posts with label Nik Aziz. Show all posts
02 July, 2007
Apa, siapa, mengapa Tok Guru Nik Aziz Nik Mat
Subscribe to:
Comments (Atom)

 
