Harian Metro difahamkan pelanggan perlu membayar RM200  ketika menentukan tarikh, manakala bakinya pada pagi sebelum proses menggugurkan  kandungan dilakukan.
 Pelanggan juga diminta datang bersama seorang rakan  bagi memudahkan urusan kerana wanita yang menjalani proses itu biasanya tidak  berdaya pulang sendirian. Mereka juga diminta membawa kain sarung sebagai  persalinan dan beg plastik untuk membuang janin.
 Difahamkan, operasi pengguguran di rumah kedai  itu biasanya hanya dilakukan beberapa hari dalam seminggu bergantung kepada  ‘tempahan’ pelanggan terdiri daripada isteri yang enggan melahirkan  anak, berikutan pelbagai masalah terutamanya kewangan dan bilangan anak yang  ramai.
 Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ayuni  (bukan nama sebenar), ketika mendedahkan kegiatan doktor itu berkata, dia sering  melihat wanita pelbagai peringkat umur, bangsa dan agama membawa keluar  beg plastik dipercayai berisi janin menerusi proses pengguguran haram di sebuah  rumah kedai yang dijadikan ‘rumah bidan’ itu.
 Katanya, wanita yang keluar dari rumah kedai itu dalam  keadaan pucat, memakai kain sarung dan berjalan dalam keadaan menggigil dan  terhoyong-hayang di luar premis itu, kira-kira pada jam 9.30 pagi.
 “Rumah kedai itu hanya  digunakan jika mendapat tempahan menggugurkan kandungan dan beroperasi seawal  jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi.
“Keadaan luar rumah kedai itu kelihatan  seperti tiada pemilik kerana orang ramai tidak tahu fungsi  sebenarnya.
 “Ia hanya digunakan beberapa hari dalam seminggu,  bergantung kepada ‘permintaan’ pelanggan yang ingin menggugurkan kandungan,”  katanya.
 Katanya, premis itu tidak mempunyai sebarang papan  tanda perniagaan dan pintunya sentiasa ditutup.
 Menurutnya, sepanjang bekerja selama beberapa tahun di  kawasan berkenaan dia mendapati wanita pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina,  India dan Indonesia mendapatkan khidmat menggugurkan kandungan di  situ.
 Kebanyakan wanita itu katanya, adalah golongan isteri  yang tidak mahu menambah bilangan anak dan melakukan perbuatan itu tanpa  pengetahuan suami masing-masing.
 “Malangnya, perbuatan itu bukan saja menyalahi  undang-undang, malah membahayakan keselamatan mereka sendiri berikutan  ia dilakukan di tempat yang tidak sesuai.
 “Kewujudan tempat pengguguran ini diketahui umum, namun  ia tidak pernah dibincangkan secara terbuka. Penduduk enggan campur tangan  dengan tidak membuat laporan mengenai kewujudan tempat pengguguran itu,”  katanya.
 Tinjauan Harian Metro mendapati, semua pintu rumah  kedai yang didakwa dijadikan pusat pengguguran janin itu ditutup sepanjang masa,  seolah-olah tiada sebarang aktiviti di dalamnya.
 Selain itu, tiada sebarang papan tanda perniagaan  dilekatkan sedangkan deretan rumah kedai dua tingkat di Jalan Yong Peng - Air  Hitam itu dipenuhi perniagaan lain seperti kedai minum, bengkel kenderaan dan  kedai alat ganti kenderaan.
 Keadaan belakang premis itu juga dijaga dengan rapi,  selain mempunyai sistem penggera manakala pintu premis itu hanya dibuka ketika  menerima penghantaran bungkusan kain.
 “Tapi, apa yang menyedihkan ialah melihat wanita  membawa beg plastik berisi janin yang disedut mesin pengguguran. Sebak setiap  kali melihat keadaan itu, saya rasa tidak bermaya sepanjang hari,”  katanya.