adsense

Showing posts with label anak derhaka. Show all posts
Showing posts with label anak derhaka. Show all posts

09 July, 2007

Punca anak derhaka

Sabda Rasulullah s.a.w. "Berguraulah dengan anak kamu
kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok
dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun
tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak
asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun
kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai
pengajaran)" dimana yang nak dipukul tu? Tapak
kakinya... bukan muka, punggung, telinga dan
ditempat-tempat yang sensitif... itu salah...

"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan
sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau
peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur
mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi
selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan
hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka". Yang
penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah
bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan
sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka.
"Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada
rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat
letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak
rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan
rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di
rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi
sekolah pun seronok. "Mungkin ibu bapa punya alasan
tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh
cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah
tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani
tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya
sentiasa hidup." Jangan kita tunjuk sikap kita yang
panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka,
jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan "bodoh,
kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang
merupakan doa kepada mereka". inilah yang menyebabkan
mereka derhaka kepada kita...

DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL
Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu
mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan
orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur
di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak
tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu
juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak
kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak
tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur
memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah.
Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang
tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur
pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa
tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat
mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa,
tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa
padah.

BERTAUBAT SEBELUM MELARAT
Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan
bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah
meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan
melawan mereka? Bila insaf, selalulah ziarah kubur
emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya.
Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran
yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah
ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah
meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha
dan Allah ampunkan dosa. Allah maha pengampun dan luas
rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat
kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala
turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku
setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat
dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita
buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan
Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua,
bagaimana pula hubungan dengan ibu? "Pastikan hubungan
dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi
menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka
bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."

HUBUNGAN DENGAN BAPA
Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk
perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. "Hubungan

BACA LAGI
tangisan anak mereka sendiri.

04 June, 2007

Santapan Jiwa: DOSA IBU BAPA MENGATASI KESALAHAN ANAK-ANAK



"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu
dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang bahan
bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di atasnya
ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya.
Mereka tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan
mereka tentu melaksanakan apa yang diperintahkan"
[al-Tahrim 66 : 6]

Kadang-kadang saya rasa tersinggung apabila permintaan
saya tidak dihargai. Saya bukan meminta kelebihan. Apa
yang saya pohonkan ialah pada beberapa kotak kosong di
dalam diari bulanan saya, ia adalah masa saya untuk
isteri dan anak-anak.

"Bolehlah ustaz, janganlah macam itu. Anak hari-hari
boleh jumpa. Kami sudah tiada masa lain yang sesuai
untuk menjemput ustaz. Harap ustaz dapat pertimbangkan
permintaan kami", kata seorang pemanggil yang
menelefon saya.

Dialog seperti ini meletakkan saya pada situasi yang
menjadikan saya serba salah. Mengapakah masa seorang
ustaz untuk anak-anaknya tidak dianggap penting?
Bukankah itu sesi beliau menunaikan kewajipan nafkah
kasih sayang, didikan dan perhatiannya kepada anak-
anak. Semasa saya kecil, saya tinggal di sebuah
kawasan perumahan dan seawal usia 10 tahun, saya
pernah membuat kesimpulan bahawa budak-budak jahat
pada masa itu, sama ada anak ustaz, tak pun anak
polis!

Alangkah prejudisnya saya semasa itu. Saya tidak faham
bagaimana saya boleh beranggapan sedemikian rupa.
Mungkin kerana geram saya apabila basikal yang ayah
belikan, dibengkokkan oleh si Samseng Kampung Dusun,
anak seorang ustaz. Tetapi hari ini hati saya menjadi
gundah semula. Terutamanya selepas menerima maklum
balas seperti dialog di atas.

Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Itulah peribahasa Melayu yang amat menusuk perasaan
saya. Ketika saya menaip artikel ini, Saiful Islam dan
Naurah sedang tidur nyenyak di depan saya. Memandang
mereka telah meretak hibakan hati saya.

"Maafkan Abi, wahai anak-anakku, Abi berdosa
mengabaikan kalian", saya sukar menahan hati dari
bersedih.

Saya masih ingat, semasa saya di Ireland, usaha saya
mendidik dan membesarkan Saiful Islam, ternyata amat
mudah. Malah saya setiap hari memanjatkan syukur
kepada Allah kerana Saiful Islam amat mudah untuk
diurus. Dengan tugas saya sebagai Imam, saya tidak
keberatan untuk membawa anak sulung saya ke masjid,
saya baringkan di kepala sejadah dan matanya
berkelip-kelip melihat saya menyampaikan khutbah
Jumaat.

Semasa itu, untuk saya menegurnya ketika dia melakukan
kesalahan, caranya amat mudah. Saya tunding jari,
tanpa perlu membuka bicara, Saiful Islam sudah
menghamburkan air mata takutkan `kemarahan' saya.

Tidak dinafikan, ketika itu mungkin usia anak saya
baru setahun dua. Memang tidak susah menjaganya.
Tetapi apabila saya fikirkan, hari ini saya tetap saya
yang sama. Anak bertambah, usia mereka juga bertambah,
tetapi mereka tetap berayahkan ayah yang sama. Tetapi
kenapa hari ini, fikiran saya selalu kusut memikirkan
mereka?

Ya, suasana di Ireland amat saya rindui. Saya duduk di
negara Kuffar, tetapi usaha mendidik anak memang mudah
dan menggembirakan.

Saya tidak menyesal menjadi `suri rumah' selama
beberapa tahun. Saya bertugas secara sambilan di
beberapa masjid, menyambung pengajian Master secara
distance learning dengan The Open University, UK, dan
sambil itu saya menjaga soal makan minum, hal ehwal
rumah tangga, dan Saiful Islam membesar di depan mata.

Itu lebih baik, daripada saya bekerja sebagai kasyer
di pasar raya, kemudian semua gaji dibayar kepada
nursery yang mencecah harga ratusan Euro sebulan.
Masakan tidak, semua nanny memegang Ijazah Early
Childhood Learning malah mahir pula dengan rawatan
kecemasan Paedriatrik dan first aid.

Namun saya gembira membesarkan anak dengan tangan saya
sendiri. Isteri saya sibuk bekerja di wad kecemasan
hospital, shifnya tidak tentu siang malam. Maka saya
mengambil alih tugas di rumah. Setiap pagi saya
mandikan anak, menyalin bajunya, menggoreng kentang
atau pasta kosong untuk sarapan. Saya bermain
bersamanya seketika, kemudian ke dapur memasak untuk
makan tengah hari. Saiful Islam tidur semula sekitar
jam 11 dan saya naik ke bilik ulangkaji untuk membuat
assignment. Zohor kekadang di masjid, jika cuaca baik.

Tengah hari saya qailulah seketika, solat Asar dan
kemudian membawa Saiful Islam ke hospital untuk
mengambil isteri saya dari tempat kerjanya, pulang
bersama sambil menghirup udara petang yang segar.

Ketika di Naas, kadang-kadang kami melencong ke
belakang hospital bersama roti keras yang saya bawa
dari rumah, untuk memberi burung undan di tasik, makan
petang bersama kami. Saya mencampak roti ke tasik,
Saiful Islam dan Umminya turut sama.

Jika isteri saya oncall, saya akan ke hospital
menghantar nasi dan lauk, khususnya semasa isteri saya
mengandung anak kedua kami, Naurah Sabihah. Suasana
ketika itu memang nyaman, fikiran saya tenang dan
prolifik, kegiatan kemasyarakatan banyak dan saya
sanggup mengayuh mountain bike selama 2 jam untuk
memberi kuliah Tafsir Surah Yasin kepada adik-adik
yang tinggal di South Circular Road, Dublin.

Itulah suasana saya membesarkan anak ketika di
Ireland. Memang hati kami sunyi tidak mendengar
laungan azan dari menara masjid bertahun lamanya.
Namun derita melihat laungan azan tidak diendahkan di
Malaysia, lebih menghiris rasa.

Hari ini saya sudah pulang ke Malaysia. Cabaran
membesarkan anak- anak semakin meruncing.

Semasa di Ireland, saya pernah berbual dengan isteri
sambil merenung daun-daun perang gugur di petang musim
luruh.

"Abang rasa, kita hanya boleh tinggal di Ireland
sampai usia anak kita mencecah umur tadika. Apabila
dia perlu bersekolah, kita harus pulang ke Malaysia",
saya meluahkan pandangan tentang perancangan masa
depan kami.

Isteri saya mengangguk tanda setuju.

Saya berfikiran begitu kerana saya khuatir dengan
Aqidah anak saya. Tentu sahaja saya patut risau.
Semasa bertugas sebagai Pengetua dan guru di Belfast
Islamic School, saya ada banyak pengalaman yang
menakutkan. Selain kisah di Belfast Zoo dan cerita
evaluation test anak-anak murid kami, saya juga tidak
lupa kepada suatu insiden di sebuah pasar raya di
Lisburn Road, Belfast. Seorang anak muda bekerja
sebagai kasyer di situ dan tag namanya tertulis
"OMER". Wajahnya ada iras Irish dan ada sedikit iras
Asia.

Apabila ditanya sama ada beliau Muslim atau tidak,
beliau termenung seketika dan berkata, "my father is a
Moslem!"

Aduh, adakah krisis identiti itu yang mahu saya
risikokan kepada anak-anak dengan menyekolahkan mereka
di Ireland? Tentu sekali tidak.

Tetapi selepas pulang ke Malaysia, pandangan saya
berubah sama sekali. Kadang-kadang saya menangis
sambil merenung jauh dari tingkap rumah kami, "apakah
selamat anakku membesar di Malaysia?"

Ya, semasa di Ireland, saya kira amat mudah untuk saya
gariskan batas-batas Iman dan Kufur kepada anak-anak.

"Jangan ikut perangai Spencer itu, dia bukan orang
Islam!", saya boleh menyebut begitu kepada Saiful
Islam dan Naurah.

Apabila anak-anak pulang ke rumah, saya boleh
berbicara dengan mudah bahawa yang jahat itu bukan
Islam, bagi mereka agama mereka, dan bagi kita Islam
yang satu. Garis hitam putih amat jelas.

Tetapi bagaimana di Malaysia? Spencer, Ah Meng, Ravin,
Shahril, semuanya lebih kurang sama. Perangai dan
akhlak tidak banyak berbeza. Grey area melebar luas.
Nak dikatakan tidak Islam, dia Islam. Tetapi
kelakuannya tidak mencerminkan agama di kad
pengenalannya. Habis, mudahkah saya menerangkan semua
ini kepada anak-anak? Saya tabik kepada rakan yang
sanggup menyekolahkan anak- anak di SRJK(C), walau pun
terpaksa berulang ke sekolah menghantar bekal makanan
sendiri. Semuanya kerana mereka mahu anak-anak
membesar di dalam suatu suasana yang garis hitam dan
putihnya jelas.

Mampukah saya begitu? Entahlah...

Lebih menyedihkan, sabar saya tidak seperti sabar saya
semasa di Ireland. Hari ini apabila anak-anak buat
semak, ada kalanya macam mudah benar untuk darah saya
tersirap. Terutamanya apabila saya pulang ke rumah
selepas dua jam meredah lautan kereta. Syukurlah saya
banyak berusaha membaca dan belajar tentang
topik-topik yang membina sikap pro aktif. Saya cuba
menapis setiap insiden, agar saya memberikan respond
yang tepat dan bukannya marah berbalas marah, geram
berbalas geram, degil berbalas cubit dan sebagainya.

Saya sentiasa berasa malu apabila membaca kisah
keluarga Stephen Covey. Profesyennya sama seperti
saya. Kami selalu out station untuk memberikan
training. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey,
mempunyai 9 anak dan dia tidak pernah terlepas
daripada menghadiri majlis dan peristiwa yang penting
berkaitan dengan anak-anaknya.

Bukan suatu yang mudah untuk seorang American
membesarkan 9 anak. Saya yang dua ini pun sudah pening
kepala.

Sebab itu jugalah saya tidak suka memarahi anak-anak
dengan tengking dan leteran. Lagi banyak kita
menengking, lagi cepatlah bisanya hilang. Saya tidak
percaya kepada pendekatan marah sebagai teknik default
menegur kesalahan anak. Berapa ramai yang menjadi baik
hasil siri marah di sepanjang usia membesarnya? Apa
yang pasti, anak yang selalu dimarahi akan menjadi
pemarah dan kemudiannya bakal memarahi anak-anaknya
pula suatu hari nanti. Ingat, anak kita mungkin gagal
mengikut kata-kata kita, tetapi mereka tidak akan
gagal meniru perangai dan tingkah laku kita sebagai
ibu dan bapa.

Jika anak kita buruk kelakuan, jangan cari sebab yang
jauh. Anak- anak adalah cermin wajah ibu dan bapa
mereka.

Ya memang marah itu perlu, tetapi ia bukan pendekatan
harian saya. Saya lebih suka bercakap dengan anak-anak
dan cuba memahamkan mereka kenapa satu-satu perbuatan
itu betul atau salah. Jika Saiful Islam naik angin,
saya akan tangkap dia dan mandikan agar `sejuk',
kemudian saya ke bawanya ke bilik dan kami berdialog.

Biar pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang
berpusing ke belakang, saya sentiasa setia melayan.
Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau sengal
badan, semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar
isi bualan yang ingin dikongsi oleh Saiful Islam dan
kini Naurah juga. Biar pun isunya hanya soal kad
Grandsazer dan Kamen Rider. Itulah wasilah saya
mendengar dan menunjukkan kasih kepada anak-anak.

Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak
tergamak untuk memarahi anak saya, ialah kerana saya
rasa berdosa kepada Allah terhadap mereka. Malah
kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz dan tidak
aqil aligh ini kepada saya dan ibu mereka, tidak
terbanding dengan dosa saya dan isteri terhadap
mereka.

Masakan tidak. Saya telah memilih isteri yang solehah
dan sebahagian cita-cita saya, agar akhlak mahmudah
isteri akan tumpah kepada anak-anak suatu hari ini.
Saya percaya, ramai dari kalangan kita yang melakukan
perkara yang sama. Pendidikan anak-anak bermula dengan
memilih ibu yang baik untuk mereka.

Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak?
Turunkah baik saya kepada anak-anak? Sukar untuk
menjawab soalan ini kerana orang sebenar yang
membesarkan anak-anak hari ini, adalah guru di tadika
atau pembantu rumah Indonesia. Alhamdulillah jika yang
Indonesia itu orangnya baik, bersolat dan menjaga
batas-batas agama. Bagaimana dengan yang berpembantu
rumah seorang penyembah berhala dari Myanmar, Thailand
atau Filipina.

Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah
letih. Kita sudah hilang seri di wajah dan jiwa malah
bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk ketika saya
sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya
kita menumpahkan akhlak mahmudah kita kepada
anak-anak?

Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah
pembantu rumah, guru nursery, dan entah siapa lagi.
Ibu dan ayah di mana?

Jawapannya mudah sahaja, SIBUK BEKERJA.

Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa
yang baik hanya kerana makan pakai anak-anak sudah
cukup. Itu hanya taraf lembu membesarkan anak-anaknya.
Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar
dari itu. Soal makan, minum, pakaian, perlindungan,
pendidikan, makanan emosi dan spiritual, semuanya
mesti diharmonikan bersama bekalan yang tidak
putus-putus. Apa yang paling utama adalah soal jumlah
masa yang kita luangkan bersama mereka. Sudah cukupkah
untuk meyakinkan mereka, bahawa kita benar-benar
kasihkan mereka?

Tetapi zaman ini, zaman membesarkan anak-anak
diswastakan kepada pihak lain. Kita sibuk bekerja dan
kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai mungkin
semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian
kita.

Ingatlah, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan
bapa terhadap anak-anak, lebih besar berbanding
kesalahan mereka kepada kita.

Insaflah wahai ibu dan bapa, jangan mudah melenting,
sebelum cukup kasih diberi.

Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal
dikosongkan, janganlah heret saya ke suasana yang
menjadikan saya tersepit. Saya ada tanggungjawab
kepada anak-anak, anda juga sama. Anak-anak dan isteri
saya, adalah mad'u pertama saya.

Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh,
kita singgah di Tapah untuk Solat dan makan. Kemudian
kita meneruskan perjalanan ke Ipoh. Tetapi selepas 15
minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang
anak kita tiada. Ketika itu kita kelam kabut mencari
U-Turn dan mulut tidak henti-henti berdoa agar anak
yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada
mudarat.

Ya, jika kita tercicir anak di perjalanan dunia, kita
ada jalan untuk berpatah balik menyelamatkan keadaan.
Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis, jurutera,
pegawai bank dan kita-kita semua yang ketika dalam
perjalanan memanjat tangga kenaikan pangkat, kita
tertinggal isteri dan anak-anak di belakang. Jika
lebuh raya kita boleh berpatah balik. Tetapi jika
mereka ditinggalkan dari Tarbiah dan didikan Islam,
ketika kita tersedar yang mereka yang sudah jauh
ketinggalan di belakang, apakah ada jalan pulang?
Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.

Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam
kerjaya, jangan lupa kepada pengorbanan anak-anak
selama ini. Jangan lupa dosa kita terhadap mereka.

Saya hairan semasa membaca sabda Nabi SAW betapa tanda
Kiamat itu adalah pada ibu yang melahirkan tuannya.
Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa suasana begitu
boleh terjadi?

Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak durhaka di
akhir zaman, bermula dengan dosa ibu dan bapa yang
sibuk bekerja. What you give, you get back!

Maafkan Abi dan Ummi!

21 May, 2007

Santapan Jiwa: Azab Anak Derhaka Hadapi Sakaratul

"Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya.
Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya
tidak mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke
katilnya. Di sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang
menangis tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang
perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal menggelepar kesakitan dan
berdoa semoga Jalal cepat sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan
meronta sambil tangan dan kakinya terikat kemas dikatil.

"Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya dah tak tahu
apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni," kata salah
seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai.


Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya
segera datang untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu
mereka itu.

"Apa sakitnya ni?" tanya saya. "Entahlah ustaz, doktor pun tak tau."

Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit kesakitan.
Kali ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya. Jeritannya
menakutkan dan menyedihkan.

"Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit mak,
sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya." Berserta
raungan yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti
dipanggang di dalam api yang marak. Mukanya berkerut sementara
matanya terbelalak akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di
wad berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu menyebabkan saya
tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa?
Apa pula kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya?

"Panggil ibunya segera," kata saya.

Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma
terdiam, menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri.

"Kenapa ni?" tanya saya.

Dengan perlahan abang Jalal bersuara, "Ustaz, ibu kami baru sahaja
meninggal dunia dua minggu lepas."

"Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada
melakukan kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia menanggung
azab yang begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja
yang dapat membantu," kata saya berterus terang.

Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin kuat. Saya
semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang itu
insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan
kesakitan Jalal.

"Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku."

"Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu
kami," jawab salah seorang daripada mereka.

Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal menceritakan
kepada saya kisah yang sebenarnya, kisah yang cukup menyayat hati
saya. Menurutnya, Jalal adalah anak bongsu daripada mereka enam
beradik, empat perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka, Jalallah
yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sejak
kecil hinggalah dia bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa
sahaja melawan dan menyanggah kata-kata ibunya. Nasihat dan teguran
ibunya pula dipandang rendah serta tidak diendahkan. Syurga anak di
bawah telapak kaki ibunya. Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal
sentiasa sahaja kekurangan wang, seolah-olah tidak dirahmati
rezekinya. Berterusanlah keadaan itu hingga dia berumahtangga.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya di
sebuah syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang
lebih banyak di syarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak
berubah, malah menjadi semakin parah. Walau di syarikat manapun yang
Jalal bekerja, dia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa
kepada dia meletakkan jawatan. Dalam kegawatan itulah Jalal mula
meminjam wang daripada sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama
hutangnya semakin banyak, namun dia masih tidak mampu melunaskannya.
Rumahtangga Jalal mula kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya = supaya
mencagarkan tanah mereka di kampung kepada bank. Tanah seluas 12
ekar itu ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia tiga
tahun sebelum itu.

"Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi RM500,000. Saya
nak duit tu buat berniaga," katanya kasar.

"Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik kamu," jawab
si ibu.

"Ahhh, saya tak kira."

"Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti bukannya engkau
nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang," jawab ibunya.

Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak
membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang
dengan hati kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah
berkenaan walau dengan apa cara sekalipun. Suatu hari, Jalal datang
ke rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali
lagi pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat
menyedihkan. Ketika kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak
ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk di
pintu. Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok di
lantai, rebah tidak sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke hospital
sementara Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya.
Akibat pendarahan otak yang serius, ibunya meninggal dunia tanpa
sempat melafazkan keampunan kepada Jalal. Bermulalah azab dalam
hidup Jalal. Kira-kira seminggu selepas kematian ibunya, Jalal
dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang
membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit yang dihadapinya.
Jalal sebaliknya meraung, menjerit, meronta dan menggelepar
kesakitan. Dalam raungannya itulah dia meminta ampun kepada arwah
ibunya kerana tidak sanggup menanggung azab yang pedih.
Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya dipanggil.
Dalam waktu itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat apa-apa
kecuali mengikat Jalal di katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali
untuk menidurkannya.

"Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain," kata saya.

Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin
untuknya. Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit
kepanasan. Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan.

"Aduh panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke
situ emak, panas. Jangan bawa saya ke situ. Saya tak mau, sakit,
sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya bersalah."

Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang dimaksudkannya
dengan 'ke situ'? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa 'ke situ' dan apa
yang dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal
terpaksa dibogelkan. Tangan dan kakinya terus diikat ke katil.
Selepas puas mencuba tapi keadaan Jalal masih tidak berubah, saya
meminta diri untuk pulang. Satu ingatan saya tinggalkan kepada
mereka, "Jika Jalal masih hidup selepas zuhur ini, insya-Allah
nyawanya masih panjang. Kalau tidak..." Ketika itu lebih kurang
pukul 10 pagi.

Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu, telefon bimbit
saya berdering.

"Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak," kata si abang.

Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya, saya lihat Jalal
begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan. Keluarganya
semakin cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya
bacakan Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul
husna. Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar.
Keadaan senyap seketika. Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-
ayat suci al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka. Tiba-tiba,
ketenangan itu dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal. Dia
mengerang sambil tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata terjegil
seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga
najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau najis
menusuk hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya adalah seperti
sesuatu yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa,
roh, najis, organ-organ dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh
terhambur keluar secara serentak. Di bahagian atas, semuanya seperti
hendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di
bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut.
Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata,
peluh serta najisnya. Selepas 'rentapan' itu, Jalal tidak bernafas
lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap Allah SWT
untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak
derhaka.

Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara keluarga
Allahyarham menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan
terpaksa keluar kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka.
Demikianlah sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang
dijelaskan di dalam al-quran dan hadis, ia datang dengan menyentap,
merentap dan merenggut nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah
berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang
menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan
sakaratulmaut menjemput Jalal cukup memilukan hati saya.
Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah berakhir, namun
mayatnya meninggalkan keaiban yang amat sangat. Matanya terbonjol
seperti hendak terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut
wajahnya, jelas sekali Allahyarham baru sahaja menanggung kesakitan
dan azab yang amat pedih. Saya cuba pejamkan mata Allahyarham, namun
gagal. Kelopak mata tidak berupaya untuk menutup biji matanya yang
tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya mata putih sahaja yang
kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham dileraikan dan
tangannya dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi
saya menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan
kerana duburnya terpancut keluar dan membonjol di celah
kelengkangnya. Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda
dengan apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh
Allahyarham, jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu
menguruskan jenazah tersebut di rumah mereka di salah sebuah taman
perumahan di sebuah negeri di pantai barat semenanjung. Rupa-rupanya
keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa Allahyarham
keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba keempat-empat shock
absorbernya patah secara serentak. Van yang cuma membawa lima orang,
mayat yang badannya sederhana sahaja, dua orang abang dan kakaknya,
pemandu serta seorang pembantu, boleh patah shock absorbernya?
Kelindan van bergegas memanggil kami. Maha suci Allah, Tuhan yang
Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu kami
rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat oleh kira-kira 15
orang. Selesai masalah itu, satu lagi masalah timbul - tidak ada van
atau kereta yang berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan
sebuah lori kosong yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit
lalu di tempat kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke
rumahnya. Apa yang membingungkan kami ialah walaupun mayat berkenaan
terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak pula patah. Lori bertolak
ke rumah Allahyarham sementara saya pula memandu pulang ke rumah.
Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan

di sebelah kubur ibunya. Namun diceritakan juga kepada saya bahawa
tanah yang ditambun ke atas kuburnya tidak mencukupi. Untuk
mengelakkan kubur Allahyarham berlubang, tanah lain terpaksa diambil
dan ditambur ke atasnya.

Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada
keluarga Allahyarham.

"Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada ustaz."

"Apa masalahnya itu?" tanya saya.

"Kubur adik saya berlubang ustaz."

Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada
anak yang derhaka kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham,
kewujudan lubang itu disedari sehari selepas Allahyarham
dikebumikan. Lubang tersebut bermula dari bahagian tengah kubur
hinggalah mencecah kepada papan yang menutup liang lahad. Tambah
abang Allahyarham lagi, mereka mengambusnya dengan tanah, namun
keesokan harinya kubur tersebut berlubang semula.

"Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan ke dalam
lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi," kata saya.

Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi
saya memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang
membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak
berubah, masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu
dikebumikan. Bukan itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur
ibunya juga hidup segar sedangkan pokok yang ditanam di kubur
adiknya mati kelayuan. Pada hari kelima, saya menghubungi abang
Allahyarham.

"Begini sajalah," kata saya. "Mulai malam ini buatlah majlis Yassin
dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin
sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan
doa supaya diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam
bahasa Melayu dan ulang doa itu sebanyak tujuh kali."

Seperti yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan mereka mengadakan
majlis itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut
menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari ketujuh, kubur
berkenaan tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah berlaku empat
tahun lepas namun masih terbayang-bayang di mata saya. Setiap kali
tibanya hari raya aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa tersebut
menjelma dalam ingatan kerana ia terjadi cuma beberapa hari selepas
kita berhari raya. Sungguh menyentuh hati saya, ketika orang sedang
bergembira berhari raya, ketika itulah keluarga tersebut ditimpa
petaka, si ibu meninggal dunia dan anaknya yang derhaka diazab
hingga ke akhir hayatnya.

Kisah ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun
keluarganya, tapi supaya kita dapat mengambilnya sebagai pedoman dan
iktibar. Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah

Blog Widget by LinkWithin