adsense

Showing posts with label beruk. Show all posts
Showing posts with label beruk. Show all posts

27 June, 2007

Alkisah beruk orang bela



Mat Daik tinggal di Tumpat, Kelantan. Dia ada seekor beruk peliharaan yang pandai memanjat pokok kelapa. Pendapatan sampingan Mat Daik ialah menggunakan beruk peliharaannya itu untuk mengambil upah memetik kelapa dari masyarakat sekitar Tumpat.

Tetapi malang sungguh nasib Mat Daik apabila suatu hari beruk peliharaannya telah mati akibat suatu kejadian yang sungguh menyayat hati (sehingga tidak mampu di taip dengan sebarang perkataan pun...fuh!).

Akibat tragedi tersebut, Mat Daik selalu murung dan bersedih. Kesedihan Mat Daik turut dirasai oleh orang kampungnya dan juga mereka yang pernah mendapat khidmat daripada beruk Mat Daik.

Untuk menghilangkan kesedihannya, Mat Daik telah pergi ke rumah sahabatnya yang bernama Rani. Rani tinggal di Marang, Terengganu. Rani sebenarnya adalah teman seperguruan Mat Daik semasa mereka menuntut ilmu pemeliharaan beruk suatu ketika dahulu. Kedatangan Mat Daik disambut gembira oleh Rani dan pemergiannya ke kampung Rani lebih-lebih menggembirakan Mat Daik. Ini adalah kerana Rani mempunyai seekor beruk yang saling tak tumpah dengan beruknya dahulu. Rani memanggil beruknya sebagai Bob. Kesedihan Mat Daik sedikit terubat apabila dia berada bersama-sama dengan Bob. Tetapi yang lebih menjadikan Mat Daik teruja ialah kerana kecekapan dan kehebatan Bob dalam mematuhi semua arahan daripada Rani. Bob akan memanjat pokok kelapa dengan tangkasnya apabila disuruh dan akan memetik kelapa yang tua atau kelapa muda hanya dengan arahan daripada Rani.

Setelah hampir 1 minggu di Marang, Mat Daik ingin pulang ke Tumpat. Tetapi dia mempunyai satu harapan iaitu ingin membawa Bob bersama-samanya. Dia tidak tergamak untuk menyuarakan keinginan itu kerana mengenangkan persahabatannya dengan Rani. Bagi diri Rani, dia memahami suara hati sahabatnya itu, lalu dia membenarkan Mat Daik untuk membawa pulang Bob bersamanya selama sebulan. Mat Daik sangat gembira dan terus memeluk Rani dan berjanji akan menjaga Bob sebaik mungkin. Rani kemudiannya mengajar Mat Daik arahan-arahan yang perlu diberi kepada Bob untuk memetik kelapa nanti.

Orang kampung Mat Daik sangat gembira apabila melihat dia sudah pulang dengan wajah yang ceria dan bersamanya seekor beruk yang seiras dengan beruknya dahulu.

Mat Daik menceritakan segala yang telah berlaku sewaktu di Marang dan berulangkali memberitahu akan kehebatan Bob. Dengan tidak berlengah dia terus membawa Bob dan orang kampungnya pergi ke kebun kelapa Pak Majid. Di situ juga dia berkata kepada Bob, " Panjat Bob...panjat". Sebaik menerima arahan tersebut, Bob yang dari tadi asyik menggigit batang tebu terus mencampakkan tebu itu dan mulalah memanjat pokok kelapa itu. Orang kampung mulalah bersorak gembira melihat kehebatan Bob memanjat pokok itu yang begitu pantas sekali. Mat Daik tersenyum girang mendengar sorakan orang kampungnya. " Ha..ambik hok tuo..hok tuo..jange hok mudo!"(Ha ..ambil yang tua..yang tua..jangan yang muda) Mat Daik memberikan arahan seterusnya.Akan tetapi ...si Bob tidak bergerak. Dia hanya memandang ke bawah terkebil-kebil. " Bob...kawe kato ambik nyor tuo tu...ha...tu hok tuo depe demo tulah."( Bob.. saya kata ambil kelapa tua tu...ha..tu yang tua kat depan kau tulah) sambung Mat Daik lagi. Bob masih tidak berganjak dan terus terkebil-kebil memandang ke arah Mat Daik dan orang kampungnya.

Bila melihat Bob yang tidak berganjak itu, Mat Daik merasa hairan lalu terfikir mungkin Bob keletihan kerana perjalanan yang jauh. Dia berkata " Ha ..turun..turun ." Bob terus turun bila mendapat arahan itu.

Pada keesokan harinya. Mat Daik membawa Bob memanjat pokok kelapa di depan rumahnya. Perkara yang sama telah berlaku . Bob hanya menerima arahan 'panjat' dan 'turun' sahaja. Mat Daik merasa hairan dengan kejadian ini. Segala kehebatan Bob yang diwar-warkannya kepada orang kampung tidak dapat dibuktikan. Mat Daik mula merasa malu dengan orang kampungnya. Kejadian ini berlarutan selama 6 hari dan masuk hari ke 7, Mat Daik telah menelefon Rani dan menceritakan segala apa yang telah berlaku. Rani berjanji akan pergi ke Tumpat pada keesokan harinya.

Malam itu Mat Daik tidak dapat melelapkan matanya. Bermacam-macam kemungkinan bermain di benaknya. Mungkinkah Bob sakit? Atau mungkinkah Bob rindukan Rani? Pelbagai kemungkinan dibayangkannya sehinggalah ke waktu Subuh.

Lebih kurang pukul 12 tengahari kelibat Rani pun kelihatan dan Mat Daik menyambut Rani dengan penuh kegusaran pada wajahnya. Berulang-ulang kali lagi dia meminta maaf daripada Rani atas segala kesulitan tersebut. Rani dibawa ke kebun kelapa Pak Majid. Rani meminta Mat Daik tunjukkan bagaimana arahan yang diberikannya kepada Bob supaya mengambil kelapa tua. " Ha ...panjat Bob..gi ambik nyor tuo tigo butir."(Ha ..panjat Bob.. pergi ambil/petik kelapa tua tiga biji) Bob pun mulalah memanjat pokok itu tetapi seperti 6 hari yang lalu dia hanya memanjat dan kemudian terkebil-kebil memandang Mat Daik di bawah. Rani pun tersenyum kerana dia mula dapat mengagak akan masalah yang sebenarnya. Rani meminta Mat Daik menyuruh Bob memetik kelapa muda pula. " Bob..demo ambik nyor mudolah pulok..ha ..nyor mudo..mudo."(Bob..kau petik kelapa mudalah pulak..ha...kelapa muda..muda) Bob hanya terkebil-terkebil sahaja.

Rani pun segera mengeluarkan arahannya "Bob..ambik hok MUDER...HA..MUDER.." (Bob petik yang muda..ha...muda) mendengar sahaja arahan itu terus Bob memetik kelapa muda beberapa biji. " HA..HOK TUER..TUER.."(Ha..yang tua..tua) Rani memberi arahan selanjutnya. Bob terus memetik beberapa biji kelapa tua sebagaimana yang diarahkan. Mat Daik pun menggaru kepalanya akan insiden ini sambil Rani ketawa terbahak-bahak kerana baginya ia amatlah menggelikan hatinya. Rupa-rupanya Bob adalah seekor beruk dari Marang, Terengganu yang tak faham akan loghat Tumpat, Kelate dari Mat Daik....kah..kah..kah!!!


Moral: Jangan pelihara kucing Parsi kalau tak tahu cakap Parsi. Binatang pun faham loghat tempat asal dia aje.
Blog Widget by LinkWithin