
Renungkan kisah ini:-
  
 “SAYA hendak balik kampung hujung minggu ini,” Hamisah membuka mulut dengan  nada riang.
“Mengapa tiba tiba-tiba saja hendak balik kampung, apahal  ni?” Adilah menjawab dengan penuh kehairanan. “Hai, tak tahu hujung minggu ini,  12 Mei, adalah Hari Ibu?,” kata Hamisah.
“Bila kali terakhir awak balik  kampung tengok emak awak?,” tanya Adilah.
“Enam bulan lalu, masa  Aidilfitri. Apakah awak tidak mahu balik kampung untuk meraikan Hari Ibu bersama  emak?” tanya Hamisah.
“Saya sentiasa memuliakan dan mengingati emak saya  sebanyak lima kali sehari, sehabis solat lima waktu, saya mendoakan  kesejahteraannya, saya pulang ke kampung sebulan sekali untuk memberikannya wang  bulanan sebanyak RM500,” jawab Adilah, tegas.
“Banyaknya awak bagi duit  kat mak awak, habis awak hendak makan apa?”, tanya Hamisah, hairan.
“Jasa  dan pengorbanan emak mengandung dan melahirkan saya tisak ternilai. Emak  berjuang dalam keadaan antara hidup dan mati masa melahirkan saya. Kemudian,  emak membesarkan saya dengan penuh kasih sayang tanpa syarat, dari saya sebesar  ibu jari. Emak didik saya menjadi orang beriman, menyekolahkan saya hingga jadi  warga yang tahu erti tanggungjawab. Tidak ternilai harganya dan tidak terhitung  budinya! Semoga Allah merahmati emak saya,” kata Adilah.
“Tetapi mengapa  susah-susah sangat, kena balik kampung, kan duit tu awak boleh masukkan saja  dalam akaun dia, cukuplah,” kata Hamisah.
Jawab Adilah: “Sebenarnya, saya  sangat rindukan renungan redup mata emak. Saya rasa tenang berada bersamanya.  Saya pun dapat rasa, emak juga amat rindu pada anak-anaknya. Saya mahu balik  memeluknya, mahukan restunya dalam apa saja yang saya kerjakan.
“Lagipun  Rasulullah pernah mengatakan, memandang wajah ibu bapa dengan penuh kasih sayang  adalah satu ibadat. Awak pun tahu, bukan senang hendak buat pahala zaman  sekarang ni. Allah bagi pahala percuma, hanya dengan kita melihat wajah ibu  kita, Subhanallah.
“Lagipun, emak saya dah tua, kita tak tahu, bila-bila  masa saja Allah akan menjemputnya. Saya rasa masa saya untuk melihatnya semakin  sedikit. Kita masih muda,  duit boleh dicari, tetapi umur ibu tidak akan menjadi lebih muda.
Jawapan  itu membuatkan Hamisah sebak. Dalam suara tersekat-sekat, dia berkata, “Terima  kasih, Adilah, kata-kata awak tu benar-benar mengusik hati saya. Saya rasa  tiba-tiba saja hati menjadi sayu. Saya akan tatap wajah tua emak saya. Saya  hendak peluk dan cium emak saya sepuas-puasnya. Saya akan layan dia seperti  seorang permaisuri apabila saya balik kampung nanti.
“Saya berjanji saya  akan sentiasa mendoakannya paling minimum lima kali sehari semalam ketika dia  hidup dan juga apabila meninggal dunia kelak. Saya tidak mahu kesusahan hidup  menjadi alasan untuk tidak menunjukkan prihatin dan kasih sayang kepada emak  saya. Kesibukan bekerja dan urusan peribadi bukan alasan untuk saya tidak  menjenguk dan bertanya khabar emak yang kesunyian di kampung.”
Perbualan  dua sahabat itu mengingatkan kita kepada sebuah hadis Rasulullah saw. Daripada  Mu'awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada Rasulullah, lalu berkata:  “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku sekarang datang minta  nasihat kepada tuan.”
Baginda bertanya: “Apakah kamu masih mempunyai  ibu?”
Dia menjawab: “Masih.”
Baginda bersabda: “Uruslah dia,  kerana syurga di bawah kedua kakinya.” (Hadis riwayat Nasa'i, Ahmad dan Ibnu  Majah)
Rasulullah memahami keinginan Jahimah untuk pergi berperang dan  pada masa sama mengetahui ibu Jahimah sakit dan perlukan penjagaan. Namun,  Baginda memerintahkannya mengurus ibunya kerana dengan mengurus ibunya, dia akan  mendapatkan balasan syurga. Subhanallah, ada saat tertentu di mana menjaga ibu  sakit lebih utama daripada berjihad di jalan Allah.
Menerusi hadis itu,  Baginda dengan tegas menerangkan keistimewaan yang Allah berikan kepada ibu,  pemegang kunci syurga anak-anaknya. Jika anak mereka berbakti kepada ibunya  sesuai dengan tuntutan Islam, Allah akan memudahkan mereka masuk ke syurga.  Sebaliknya, jika anak itu derhaka kepada ibunya, pintu syurga menjadi sukar  untuk mereka lalui.
Kehormatan tinggi seperti ini hanya menjadi hak  seorang ibu dan tidak menjadi hak seorang bapa. Ini membuktikan bahawa Islam  benar-benar mengangkat martabat dan darjat kaum wanita, memperlakukannya begitu  terhormat sehingga dijadikan penentu bagi anak-anaknya untuk memasuki syurga  stau sebaliknya.
Firman Allah, yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada  manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya mengandungkannya dengan  susah payah, melahirkan dengan susah payah pula, mengandungkannya,  menyusukan sehingga 30 bulan, sehingga apabila dia dewasa dan berumur 40 tahun,  dia berkata: Wahai Tuhanku, tunjuklah aku supaya aku mensyukuri nikmatmu yang  dengannya Engkau merahmati aku dan ibu bapa, dan supaya aku dapat membuat amal  salih yang Engkau redai, berilah kebaikan (perbaikilah aku) kepadaku, dengan  memberikan kebaikan kepada anak cucuku. Sesungguhnya, aku bertaubat kepada  Engkau, dan aku termasuk orang yang berserah diri. Mereka itulah orang yang kami  terima daripada mereka amal yang baik, yang mereka kerjakan, dan kami ampuni  kesalahan mereka bersama penghuni syurga sebagai janji benar yang dijanjikan  kepada mereka,” (Surah al-Ahqaf, ayat 15-16).
Sesungguhnya, memuliakan  ibu bukan hanya setakat merayakan sebuah hari yang dinamakan ‘Hari Ibu’.  Menyanjung ibu bukan sekadar memperingatinya setahun sekali dengan pelbagai  upacara, peraduan, makan-makan, atau memberinya hadiah serta pengisytiharan  luaran bersifat material.
Memang benar, sambutan Hari Ibu ada agenda  baik di dalamnya, iaitu menjana perhubungan erat antara enak dan ibu bapa. Namun  begitu, di dalam Islam, terdapat pendidikan dan pengajaran mengenai amalan dan  konsep berbakti kepada ibu bapa yang mencerminkan ketulenan dan keikhlasan,  berbanding sambutan Hari Ibu yang seolah-olah menampakkan kepura-puraan dan  bersifat materialistik.
Berbakti kepada ibu bapa tidak harus dijadikan  sebagai ‘budaya setahun sekali’, sebaliknya, ia mesti dijadikan budaya sepanjang  tahun supaya amanah memulia dan memperingati ibu tercinta, dilakukan setiap  masa. Malah, banyak ayat dalam al-Quran dan hadis, memberi galakan dan mengajar  umat cara berbakti kepada ibu bapa, sama ada mereka masih hidup atau sudah  tiada.
Kita  seharusnya menjadikan Hari Ibu sebagai ‘peringatan’, apakah semua ibu (wanita)  telah diberi ruang dan waktu sesuai dengan fitrah mereka diciptakan. Begitu  banyak yang dikerjakan oleh tangan seorang ibu/wanita yang boleh disimpulkan  kepada dua. Pertama, betapa berat tanggungjawab ibu/wanita, dan kedua, begitu  besar cintanya kepada anak, tanpa membezakan sama ada anaknya perempuan atau  lelaki.
Semoga Hari Ibu tahun ini menjadi peringatan kepada kita, juga  bagi ibu/wanita, untuk menggunakan ‘tangannya’ dengan sebaik-baiknya, supaya  insan kecil yang dididik dan didodoinya, membesar menjadi manusia yang hebat  membacakan ayat suci dan tidak memperlecehkan kedudukan  wanita/ibu.
Semoga dari ‘tangan’ ibu/wanita ini, akan lahir manusia  berbudi luhur yang mengambil berat nasib dan penderitaan insan lain, supaya  negara tidak dipenuhi manusia yang hanya tahu memikirkan diri sendiri dan  merosakkan alam serta masyarakat sekelilingnya.