adsense

Showing posts with label perogol bersiri. Show all posts
Showing posts with label perogol bersiri. Show all posts

30 June, 2007

Perogol bersiri cari 'kucing' gemparkan Kg Baru



28-06-2007 10:32:22 PM

KUALA LUMPUR: "Kucing abang hilang. Kucing itu lawa. Adik boleh tolong cari kucing itu tak? Nanti abang bagi upah."

Itulah taktik seorang lelaki, dipercayai perogol bersiri, yang menjadikan kanak-kanak perempuan sebagai sasaran sebelum mencabul atau merogol mereka di sekitar Kampung Baru di sini.

Dalam kejadian terbaru yang berlaku pagi semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun menjadi mangsa nafsu lelaki tersebut.

Ketika kejadian 11 pagi itu, budak perempuan itu yang sedang menunggu ibunya setelah tamat waktu sekolah agama, dipercayai dipujuk lelaki terbabit sebelum dibawa ke satu lokasi tidak diketahui.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC II Ahmad Ibrahim berkata, kehilangan kanak-kanak perempuan itu disedari ibunya yang datang menjemput anaknya di sekolah.

"Ibu bapa mangsa telah mencari anak mereka kira-kira lima jam di kawasan sekitar dan mereka hanya menjumpai mangsa kira-kira pukul 5 petang setelah lelaki itu menurunkan mangsa di tepi jalan," katanya.

Beliau berkata kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan separuh bogel dan terdapat kesan darah pada bajunya serta kesan lebam pada badannya.

Kanak-kanak itu, yang turut mengalami trauma yang serius, kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut dan laporan awal mendapati dia mengalami kecederaan di bahagian sulitnya, dipercayai akibat dirogol.

"Kita syak kanak-kanak ini dirogol tetapi kita masih menunggu laporan penuh HKL. Polis juga belum lagi mengambil keterangan mangsa kerana keadaan beliau tidak tenteram," kata Ahmad.

Beliau berkata polis sedang memburu lelaki berkenaan dan harap orang ramai yang mempunyai maklumat akan tampil untuk bantu siasatan polis.

Seorang peniaga, yang hanya ingin dikenali sebagai Abang Mat, kenalan rapat keluarga mangsa, mendakwa kejadian seumpama itu adalah yang ketiga di kawasan Kampung Baru dalam tempoh sebulan ini.

Menurutnya kejadian pertama berlaku pada cuti penggal sekolah lalu melibatkan budak perempuan berusia lapan tahun, manakala kes kedua berlaku awal bulan lalu melibatkan mangsa berusia tujuh tahun.

Seorang peniaga dikenali sebagai Agus, mendakwa anaknya hampir menjadi mangsa perogol bersiri itu pada cuti penggal sekolah yang lalu.

"Anak saya keluar bersama adik-adiknya ke pasar minggu dan mereka beritahu seorang lelaki yang menaiki motosikal hitam menghampiri mereka dan meminta mencari kucingnya yang hilang," katanya.

Agus berkata anaknya terselamat kerana dia tidak sukakan kucing dan menolak permintaan lelaki itu dengan berkata: "Kita orang tak beranilah pakcik tangkap kucing."

Sebelum meninggalkan kanak-kanak itu, lelaki berbadan kurus dan bertopi itu sempat berkata bahawa dia akan mencari orang lain untuk membantu mencari kucingnya yang hilang. BERNAMA





Blog Widget by LinkWithin