Roy Rasul Mon May 28, 07 05:33:23 PM
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) – Kongres Kesatuan Sekerja  Malaysia (MTUC), mendesak kerajaan supaya memastikan pekerja swasta juga  terbela, sebagaimana dilakukan terhadap kakitangan awam baru-baru ini, iaitu  dengan memastikan peruntukan gaji minimum antara RM900 dan RM,1000 sebulan.  http://www.harakahdaily.net/ads/hdaily_doc/hd_page1.html-->
Tegas Presidennya, Syed Shahir  Syed Mohamud, jika kerajaan tidak melayan pemintaan MTUC itu, mereka akan  mengadakan mogok sehari di seluruh negara.
"Tindakan MTUC kali ini serius  kerana pekerja swasta juga perlu dibela lebih-lebih berjuta pekerja di negara  ini yang berpendapatan di bawah RM1,000," katanya yang dihubungi Harakahdaily  hari ini.
Beliau berkata keputusan itu diputuskan selepas satu mesyuarat khas  majlis MTUC diadakan pada 25 mei lalu.
Katanya, dalam mesyuarat tersebut, dua  isu penting dibincangkan iaitu mengenai gaji pekerja kakitangan kerajaan yang  dinaikkan baru-baru ini juga pembayaran kola.
Ekoran itu juga katanya, MTUC  akan kemukakan kepada kerajaan beberapa tuntutan kepada Perdana Menteri, Dato'  Seri Abdullah Ahmad Badawi pada minggu ketiga bulan Jun depan.
"Antara yang  akan dibawa ialah gaji minimum mesti diperkenalkan iaitu berdasarkan kepada  RM900 dan kedua elaun sara hidup (COLA) sebanyak RM300 kepada semua pekerja  tidak kira di mana mereka berada," katanya lagi.
Katanya, MTUC juga akan  meminta suaya kenaikan gaji pekerja swasta dinaikkan berdasarkan kepada kerajaan  beri kepada pekerjanya iaitu daripada 7.5 peratus hingga 35 peratus.
Bayaran  gaji baru itu katanya perlu dibayar oleh para majikan bermula Julai  depan.
Katanya, selepas daripada tarikh tersebut iaitu daripada 20 hingga 27  Jun depan sekiranya tidak ada sebarang respon ke atas permohonan tersebut,  pihaknya akan satu perhimpunan pekerja di tempat tempat yang ditetapkan iaitu  tempat strategik seperti di Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Johor atau  Pulau Pinang.
Kemudian katanya jika kerajaan dan majikan sektor swasta masih  gagal memenuhi tuntutan MTUC, mogok sehari akan dilancarkan.
"Tindakan  tersebut perlu diambil bagi membantu pekerja-pekerja khasnya yang berpendapatan  RM1000 kerana pada masa ini pendapatan itu tidak mencukupi.
"Saya dapat tahu  berjuta pekerja yang berpendapatan di bawah RM1000. Jumlah itu bukan besar lagi  dalam Malaysia kerana harga barang, kos perkhidmatan, tambang dan sebagainya  meningkat bahkan tidak munasabah lagi pendapatan sebegitu," katanya.
Kerana  itu, katanya satu ketetapan akan diambil untuk memberi isyarat kepada kerajaan  bahawa MTUC serius dalam isu tersebut terutama sekali golongan yang  berpendapatan rendah. - mks

 
