Pengalaman saya berhadapan dengan sepasang tunang yang  mengadu menghadapi masalah besar beberapa tahun lalu," beritahu Ustaz Abdullah  Mahmud, penceramah bebas yang dikenali ramai. Tambahnya, beliau memang tidak  hairan dengan pendedahan tersebut kerana sepanjang menjadi penceramah, kaunselor  dan merawat orang, dia didatangi oleh golongan remaja yang mengadu menghadapi  masalah akibat terlanjur terutamanya si wanita yang mengandung setelah berzina  di merata tempat tak kira hutan, hotel, rumah kosong, dalam semak, kereta dan  sebagainya.
"Adakalanya saya menitiskan air mata apabila mengingatkan  pergaulan bebas anak muda kita yang makin menjadi-jadi. Mereka ini langsung  sudah tidak takut bala Tuhan. Mereka sudah tidak dapat membezakan antara halal  dan haram," tegas beliau dengan nada kesal.
 Berbalik kepada pasangan tunang yang datang menemui  beliau di pejabatnya di Batu Caves, Selangor ketika itu, Ustaz Abdullah  menjelaskan pasangan itu yang berumur lingkungan pertengahan 20-an itu datang  untuk meminta pertolongannya. "Apa yang boleh saya bantu encik?" Tanya Ustaz  Abdullah kepada mereka. Si lelaki kelihatan malu-malu untuk menceritakan  masalahnya manakala si perempuan mencubit paha lelaki itu mungkin meminta agar  segera menceritakan masalah mereka.
 Ustaz Abdullah yakin masalah yang dihadapi oleh  pasangan itu agak berat kerana berdasarkan pengalaman, lazimnya hanya mereka  yang menghadapi
masalah besar saja akan pergi menemui kaunselor atau ustaz  bagi mencari jalan agar kekusutan yang dialami mereka terlerai. "Ustaz...macam  ini, saya dan tunang saya ada masalah sikit. Ketika tidur, saya selalu nampak  ular dalam rumah. Begitu juga dengan tunang saya. Seringkali ketika tidur,  tunang saya menjerit-jerit. Dia kata ular besar datang membelitnya.
 "Saya sendiri sudah takut hendak masuk di dalam semak  kerana sering terbayang ada ular," beritahu lelaki itu ringkas. Mendengar  masalah itu, Ustaz Abdullah termenung sejenak. Dia merenung memikirkan  "penyakit" aneh yang dihadapi oleh pasangan itu. "Awak pernah pukul ular ke?"  Ustaz Abdullah mengajukan soalan rambang . Bagaimanapun lelaki itu menggeleng  kepala sambil memberitahu dia tidak pernah memukul ular. Lelaki itu turut  memberitahu dia dan tunangnya jadi fobia kepada ular dan akibat itu badan mereka  menjadi lemah tidak bermaya akibat sering terkejut.
 Mereka juga menyatakan telah pergi menemui beberapa  orang bomoh meminta air penawar agar kelibat ulat tidak tergambar lagi dalam  bayangan matanya tetapi semuanya tidak menjadi. "Selalunya kalau jadi macam ni,  pasti ada sebabnya. Kalau tidak ada sebab tertentu, setahu saya perkara seperti  ini tidak akan berlaku tambahan lagi berdasarkan pengamatan saya, awak berdua  bukan terkena sihir," kata Ustaz Abdullah yang menyedari pasangan tunang itu  cuba menyembunyikan cerita yang sebenar kepadanya.
 Namun lelaki itu tetap berkeras menyatakan mereka tidak  pernah melakukan sesuatu kesalahan seperti memukul ular dan sebagainya."Tak  perlu hendak malu. Saya hendak tahu ini pun, bukannya saya bermaksud hendak  campur hal encik tapi dengan mengetahui puncanya, mudahlah sikit saya berikhtiar  kalau-kalau ada serasi, Allah akan makbulkan permohonan kita," pujuk Ustaz  Abdullah lagi.
 Sebaik saja mendengar kata-kata itu, wajah mereka  tiba-tiba berubah. Si perempuan pula tiba-tiba menitiskan air mata manakala yang  lelaki tunduk ke bawah memandang lantai. Dia kelihatan malu untuk bertentangan  mata dengan Ustaz Abdullah. "Macam ini Ustaz, sebenarnya saya kena belit ular  sawa setahun yang lalu, sejak itu saya mengalami masalah ini, sering diganggu  dengan bayangan ular. Tunang saya juga kena belit ular," akui lelaki itu agak  mengejutkan Ustaz Abdullah.
 Ustaz Abdullah yang tidak begitu faham dengan  penjelasan itu terus bertanya kepada mereka bagaimana cerita yang sebenarnya.  Barangkali setelah yakin dengan keikhlasan Ustaz Abdullah untuk membantu,  akhirnya pasangan itu menceritakan segala-galanya. Cerita lelaki itu, kejadian  itu berlaku sebelum mereka bertunang. Pada suatu hari, mereka yang mengaku  bekerja di sebuah syarikat yang sama di Shah Alam, Selangor mengatur janji untuk  pergi ke sebuah tempat perkelahan di Selangor. Mereka yang kebetulan bekerja  syif malam telah mengambil keputusan untuk pergi pada hari biasa kerana pada  hari tersebut orang tidak ramai maka mudahlah mereka bermadu asmara dan  bercengkerama.
 Menurut lelaki itu lagi, sebelum itupun, mereka pernah  pergi ke situ pada hujung minggu. Bagi mereka, pada hujung minggu tidak sesuai  kerana, pengunjung terlalu ramai, maka menyukarkan mereka untuk bercumbu rayu.  Itupun mereka memilih tempat terlindung tetapi tidak terlepas daripada gangguan  pemuda-pemuda yang suka mengendap. "Hanya dua bulan perkenalan, kami sudah  terlanjur. Ketika saya dibelit ular tempoh hari, saya berkenalan dengan tunang  saya ini sudah enam bulan.
 Banyak kali sudah kami melakukan perbuatan terkutuk  itu," nyata lelaki itu sambil menangis. Sebaik saja sampai di kawasan perkelahan  yang mempunyai sebatang anak sungai itu, dia menyorokkan motosikal di dalam  semak. Manakala tempat mereka bersama terlindung di sebalik pokok balak  berhampiran gigi air sungai. Pada tengahari itu memang sunyi. Seorang manusia  pun tidak kelihatan. 
 Bukan main seronoklah mereka berdua kerana dapat  bermadu kasih tanpa gangguan, meskipun terbit rasa bimbang kalau ada yang  mengintip di sebalik semak atau diserbu pihak berkuasa tapi perasan rindu dendam  yang membara mengatasi segala-galanya. Di situ, pada mulanya mereka berbual-bual  sambil berpegangan tangan. Kemudian melarat ke bahagian lain pula. Seterusnya  nafsu mula menguasai diri masing-masing. Berbekalkan kertas suratkhabar, ia  dijadikan alas untuk mereka berbaring. Pakaian si perempuan dilucutkan satu demi  satu, selepas itu yang lelaki pula menanggalkan pakaian.
 Mereka bercumbu rayu dan terus berzina tanpa menyedari  di dalam rumpun semak di hujung kaki mereka berlengkar seekor ular sawa sebesar  paha orang dewasa sedang mengeram. "Kami tak sedar ada ular. Tengah-tengah buat  benda tu, kaki saya tertendang ular itu menyebabkan dengan pantas ia terus  menyerang dan membelit kami berdua. Ia berlaku dengan pantas sekali, tidak  sempat kami hendak melarikan diri," cerita lelaki itu dengan perasaan kesal.  Akibat belitan ular sawa itu, mereka berdua merasakan ajal mereka akan tiba pada  bila-bila masa kerana setiap kali mereka meronta, semakin kuat ular itu menjerut  tubuh mereka.
 "Saya menjerit sekuat hati meminta tolong. Perasaan  malu sudah tidak ada lagi dalam diri saya pada masa itu. Yang penting, nyawa  kami harus diselamatkan dan pada masa yang sama, saya semakin sesak nafas kerana  belitan ular itu yang sungguh kuat dan mulutnya terngaga luas seperti tidak  sabar-sabar hendak menelan saya," beritahunya tanpa segan silu lagi. Keadaan  kekasihnya semakin lemah. Mukanya pucat lesi seperti sudah kehilangan darah.  Lelaki itu tidak mampu berbuat apa-apa. Kudratnya tidak terdaya menandingi ular  besar itu. 
 Dalam keadaan cemas, tiba-tiba muncul seorang pemuda  dari sebalik semak sambil memegang sebatang kayu untuk memukul kepala ular itu  yang hendak membaham kepala lelaki tersebut. Pemuda itu teragak-agak untuk  memukul kepala ular sawa itu mungkin bimbang kalau terkena kepala lelaki itu.  "Saya menjerit dan merayu agar ditolong dengan nada yang tersekat-sekat kerana  sesak nafas. Kemudian pemuda itu dengan laju menghayun kayu sebesar betis itu  beberapa kali mengenai kepala ular tersebut.
 "Akhirnya, ular itu terkulai dan belitannya terurai.  Saya tidak mampu bergerak lagi manakala kekasih saya pengsan. Pemuda itu  memakaikan semula baju kami. Kemudian dia pergi meminta bantuan orang untuk  menghantar kami ke hospital. Dia hanya seorang diri. Saya tidak pasti siapa  pemuda itu dan dari mana dia datang. Saya syak mungkin pada mulanya dia sedang  mengintai saya buat "projek," cerita lelaki itu lagi. Akibat belitan ular  tersebut, pasangan itu mengalami kecederaan agak teruk iaitu si lelaki patah  satu tulang rusuknya manakala kekasihnya patah dua batang tulang rusuk.  
 Empat bulan selepas kejadian itu, mereka melangsungkan  pertunangan dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat setelah didesak  oleh keluarga yang mengetahui kejadian itu. Bagi mereka, masalah sering dihantui  oleh bayangan ular lebih perit daripada menanggung kesakitan akibat patah tulang  rusuk. Akibat "badi" itu, tidur malam mereka terganggu setiap malam dan walau  kemana sekalipun berada,mereka terbayang berhampiran mereka ada banyak ular.  Mendengar penjelasan lelaki itu, fahamlah Ustaz Abdullah apa sebenarnya yang  terjadi. Namun sebelum merawat pasangan itu, beliau telah menasihatkan mereka  agar bertaubat kerana telah melakukan perbuatan zina.
 Ustaz Abdullah juga memberitahu mereka, berkemungkinan  peristiwa dibelit ular itu adalah balasan Tuhan di dunia di atas perbuatan  mereka itu. "Awak berdua patut bersyukur. Saya rasa Allah sayangkan awak berdua.  Dia bagi azab kecil kepada awak berdua mungkin supaya awak insaf dan segera  bertaubat. Kalau nak ikutkan, ramai orang berzina tetapi Allah tidak mahu  menunjukkan balanya di dunia ini, maka kerana tidak pernah dijatuhkan bala itu,  mereka ini berterusan melakukan zina," nasihat beliau membuatkan pasangan itu  menangis tersedu-sedu sambil berjanji akan bertaubat serta berkahwin secepat  mungkin.
 Ustaz Abdullah memberi sebotol air penawar. Air itu  digunakan untuk mandi dan minum. Di samping itu, Ustaz Abdullah menasihatkan  pasangan itu agar sering mengingati Tuhan semoga penyakit fobia mereka hilang.  Mereka pulang dengan wajah riang dan tidak lama kemudian lelaki itu menghubungi  Ustaz Abdullah memberitahu mereka berdua telah sembuh sepenuhnya dan menjemput  beliau hadir ke majlis perkahwinan mereka.
 
DIRIWAYATKAN OLEH IBNUL JAUZI BAHAWA  :
"SESUNGGUHNYA NERAKA JAHANAM MEMILIKI TUJUH BUAH PINTU. YANG PALING  MENAKUTKAN, PALING PANAS DAN PALING BUSUK BAUNYA ADALAH PINTU YANG DIPERUNTUKKAN  KEPADA PARA PENZINA YANG MELAKUKAN PERBUATAN TERSEBUT SETELAH MENGETAHUI  HUKUMNYA."