Posted on Sunday, July 01 @ 08:36:33 MYT by SongkokPutih
Oleh Dr Fikrah
Ramai manusia yang mampu berfikir, tetapi lebih ramai lagi yang tidak pandai mengatur pemikirannya. Insya Allah, motivasi kali ini, saya sajikan kepada anda tajuk ini kerana kelemahan manusia seluruh dunia hari ini dari sudut pemikiran. Contoh yang boleh kita bandingkan ialah, cara mengira zaman dahulu sangat berbeza dengan cara pengiraan zaman sekarang.
Mungkin dunia hari ini boleh dikatakan canggih, tetapi kebanyakannya sudah mengalami tabiat malas berfikir kerana segala-galanya sudah di“komputer" kan . Tabiat buruk ini semakin menular dan tersebar di dalam pemikiran-pemikiran manusia sehinggalah satu hari nanti dunia ini diperintah oleh robot!
Kenapakah manusia malas berfikir?
Kecanggihan teknologi yang memudahkan
Kita tidak menafikan bahawa dunia hari ini sudah mengalami kemajuan dari sudut teknologi. Hampir semua teknologi benar-benar memberi kemudahan kepada manusia sehingga manusia hari ini tidak perlu bersusah payah untuk berfikir sehingga “botak” kepala.
Contohnya sistem buku daftar yang semakin “dicanggihkan” dengan kewujudan perisian-perisian Komputer seperti Microsoft Office Access. Semua proses dan fail pendaftaran hanya disimpan di dalam Hard Disk yang mudah dibawa kemana-mana. Berbeza dengan sistem pendaftaran zaman dahulu yang memerlukan kepada fail yang bertimbun-timbun!
Dunia boleh dijelajahi dengan hujung jari
Sepertimana yang kita telah ketahui, kemudahan Internet yang semakin menjadi keperluan manusia hari ini, mampu membuatkan seseorang itu mampu berhubung, mencari maklumat, statistik dan sebagainya. Sangat mudah! Sehingga hendak tempah barang pun hanya perlu mengklik pada tetikus!
Kalau dahulu, sekiranya seseorang itu ingin membuat kajian tentang sesuatu, dia memerlukan kepada kos yang tinggi untuk menjelajah dan memerhatikan sendiri dengan matanya. Tetapi dengan kemudahan Internet, segalanya sudah terisi di dalamnya. Semua maklumat seluruh dunia sudah berada di hadapan mata anda tanpa perlu keluar dari bilik untuk membuat kajian!
Otak manusia dicemari dengan perkara-perkara tidak berguna
Sebab yang ketiga ini adalah punca utama di dalam menjawab persoalan tentang sebab berlakunya kemalasan berfikir. Serangan-serangan pemikiran yang semakin menular di kalangan remaja mampu menjadikan mereka malas berfikir dan hanya bergantung kepada kepuasan hidup semata-mata!
Kita boleh lihat sendiri pada kebanyakan remaja-remaja yang terpengaruh dengan gejala kurang sihat, biasanya mengelami kemerosotan pelajaran. Mereka hanya ingin memastikan kehendak mereka tercapai walaupun terpaksa melakukan kejahatan sekalipun.
Contoh yang lain ialah budaya kuning yang semakin mendapat sambutan hangat di kalangan remaja kita. Lihatlah satu hari nanti remaja-remaja ini akan menjadi “bodoh” kerana kemalasan mereka untuk berfikir. Mereka hanya perlu memastikan kepuasan yang dirasai setiap hari. Bukankah perkara ini menjadikan manusia seolah-olah binatang?
Sekiranya kita lihat masyarakat Malaysia yang semakin dihidang dengan hiburan dan nyanyian yang melalaikan, kita dapat lihat bahawa di sana terdapat satu racun yang menyebabkan otak mereka kurang digunakan untuk berfikir kerana sudah mendapat kepuasan. Lama kelamaan, habislah masyarakat Malaysia , semuanya bodoh-bodoh belaka!
Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya, namun anda sendiri memiliki akal untuk berfikir. Berfikirlah bagaimana saya boleh mengeluarkan pandangan ini. Inilah kepentingan berfikir! Gunakanlah akal anda untuk berfikir. Lebih elok gila, sekiranya tidak mahu berfikir kononnya “menyusahkan otak”.
Allah SWT memberikan kelebihan kepada manusia dengan akal fikiran yang membezakannya dengan binatang-binatang. Sekiranya kita perhatikan kehidupan haiwan-haiwan, kita akan menemui persamaan dengan manusia yang tergila-gilakan nyanyian atau hiburan yang berlebihan. Bukan ini sahaja, ia termasuk jugalah mereka yang sanggup mengorbankan umur mereka dengan permainan-permainan komputer yang tidak membawa faedah.
Walaubagaimanapun, akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita haruslah digunakan. Jangalah kita dirobotkan atau dihambakan dengan kepuasan nafsu kebinatangan semata-mata. Manusia yang banyak membuat dosa dan maksiat adalah mereka yang jarang berfikir! Otak mereka hanya ditempatkan di lutut!
Sebarang kritikan daripada anda saya terima, asalkan anda mengkritiknya dengan menggunakan akal fikiran anda. Biasanya manusia mengkritik menggunakan nafsu, langsung tidak menggunakan akal. Tetapi saya harap sebarang kritikan haruslah menggunakan akal.
Banyakkan berfikir, anda akan menemui jawapan segala kekeliruan, penyelesaian segala permasalahan dan kemudahan segala kepayahan. Berfikirlah.