KUALA LUMPUR: Mohd Rizal Mohd Yusof, bekas pramugara MAS yang dikenakan hukuman penjara dua tahun lepas kerana mengedar rakaman aksi lucah, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut teman wanitanya untuk mengedar rakaman video mengaibkan.
Mohd Rizal, 35, dari Shah Alam, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan teman wanitanya berusia 24 tahun, seorang jururawat pelatih, bahawa dia akan menyebarkan gambar-gambar rakaman video yang mengaibkan dengan niat menakutkan wanita itu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah teman wanitanya di Menara Orkid, Bandar Baru Sentul dekat sini, pada pukul 11.30 malam, 23 Feb lepas.
Dia ditahan pihak polis empat hari selepas itu.
Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi membantah Mohd Rizal dibenarkan diikat jamin dengan alasan tertuduh mengenali mangsa dan dia juga telah pernah disabitkan dengan kesalahan mengedar bahan lucah.
Pada 17 Dis 2004, Mohd Rizal didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Ampang terhadap tuduhan menghasilkan VCD yang mengandungi adegan seks lucah dengan tujuan mengedarkannya kepada umum.
Dia dihukum penjara 18 bulan.
Hakim Noradidah Ahmad membenarkan pelaksanan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Mohd Rizal hari ini merayu kepada mahkamah supaya dibenarkan diikat jamin bagi membolehkan dia mencari pekerjaan dan menyara ibu bapa serta dua anaknya yang masih kecil.
"Tolong bagi saya jaminan. Saya bukan orang yang ganas, saya tidak buat kesalahan itu, ini adalah salah faham dengan teman wanita saya.
"Beri saya peluang untuk cari pekerjaan. Nak cari peguam sekarang pun saya tak mampu, dan saya dah bayar RM18,000 sebagai jaminan untuk kes dulu (di Mahkamah Sesyen)," kata Mohd Rizal, yang memakai kemeja biru dan seluar panjang berwarna hitam.
Dia juga memohon supaya mahkamah tidak mengaitkannya dengan sabitan dalam kes terdahulu memandangkan kes itu sedang di peringkat rayuan.
Majistret Azniza Mohd Ali membenarkan Mohd Rizal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat dia hendaklah melaporkan diri ke balai polis minggu pertama setiap bulan dan diperintahkan supaya tidak mengganggu saksi kes ini.
Mahkamah menetapkan 10 April ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan Mohd Rizal melantik peguam bela. BERNAMA