tranungkite.net Posted on Tuesday, May 08 @ 16:47:40 MYT by din-cryptos
Oleh emjay
"Hari Jumaat 6 April 07 hari ini merupakan hari terakhir saya bersama kumpulan pelajar 2 SPC. Tamatlah tempuh selama 15 minggu atau 1 semester saya mengajar mereka. Selalunya suasana seperti ini diiringi oleh perasaan sedih kerana saya akan berjauhan dari mereka.
Kelas ini terdiri dari 25 orang pelajar dan kira-kira 7 orang adalah bukan Islam termasuk India, Cina dan Bidayuh. Kelas terakhir seperti ini selalunya saya gunakan untuk menyemak segala markah kerja kursus serta sesi memberi pedoman semoga kelak mereka dapat menjadi bakal guru yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat. Silabus alhamdulillah telah disempurnakan.
Sebelum saya memulakan kelas, seorang pelajar Cina bukan  Islam bernama Jenne bertanyakan satu soalan yang sangat menarik iaitu  mengapa kerasukan hanya menyerang orang Islam sahaja. Saya  tidak menjangkakan soalan sebegini akan keluar dari seorang pelajar perempuan  Cina bukan Islam. Mula-mula saya menjawab secara peribadi secara perlahan khusus  untuk Jenne sahaja tetapi selepas itu pelajar Melayu Islam lainnya meminta saya  menjawab soalan tersebut kepada semua orang. 
Kerasukan adalah isu kebangsaan di Malaysia dan saya  membuat keputusan bahawa semua bakal guru ini wajar sekali diberikan serba  sedikit penjelasan serta bagaimana menangani kes ini sekiranya berlaku disekolah  kelak. Setelah meminta izin kepada pelajar bangsa-bangsa lain serta berlainan  agama dan meminta kemaafan sekiranya ada menyentuh agama lain, saya pun  memulakan penjelasan mengapa histeria atau kerasukan hanya menyerang Melayu  Islam.
 Saya memulakan penjelasan dengan menulis sesuatu di papan  putih:
 Tiba-tiba saya ternampak dua pelajar wanita India menggunakan nandek di dahi dan tangkal tali dilengannya. Dua pelajar Cina juga menggunakan tangkal tali yang lebih tebal berwarna kuning merah dan seorang darinya pula memakai tali tangkal dilehernya dengan berloketkan batu jade.
Saya menyuruh pelajar ini berdiri menunjukkan  tangkal-tangkal mereka sebagai penjelasan kepada semua pelajar lainnya. Saya  menjelaskan bahawa pelajar-pelajar ini berharap kepada tangkal-tangkal ini  semoga memberikan mereka perlindungan kearah kebaikan. Tangkal ini ini juga  sebenarnya adalah satu berhala. Ia menjadi perantaraan antara mereka dengan  Tuhan mereka. Orang Kristian menggunakan tangkal salib dengan harapan memberikan  perlindungan dari syaitan.
 Apabila orang Islam menggunakan tangkal, ia sudah terkeluar  dari Islam dan menjadi sama taraf dengan orang kafir lainnya iaitu menggunakan  perantaraan. Sekiranya menyimpan ayat Kursi atau dan surah Yaasin dalam beg  tangan dengan niat untuk perlindungan juga sudah menjadikan kafir kerana  menggunakan perantaraan.
 Saya menjelaskan bahawa mengaku Islam tidak semestinya  Islam tulen (atau beriman). Ramai orang Islam di Malaysia tidak mengetahui  bahawa mereka ini sudah terkeluar dari Islam kerana menggunakan perantaraan  seperti tangkal dan azimat.
 Seterusnya saya berpindah topik kepada rahmat dan  perlindungan Allah kepada umat manusia. Apabila Allah dalam konsep Islam  memberikan perlindungan dan rahmatnya sebagai contohnya, syaitan tidak berupaya  mengganggu manusia kerana Allah telah melindungi manusia ini. Manusia dan  syaitan di jadikan oleh Allah dan sangat lemah. Orang yang diganggu syaitan  adalah kerana Allah mengizinkan syaitan untuk mengganggu manusia ini dan ia  adalah satu azab (punishment) dari Allah dan azab ini adalah bertujuan agar  manusia ini kembali kepada jalan lurus yang diredai Allah. Analoginya adalah  sama seperti ayah merotan anak yang mengingini anak ini agar menjadi baik.
 Kerasukan adalah satu bentuk azab dari Allah kepada orang  Islam yang sudah rosak akidahnya akibat contohnya menyimpan tangkal dan  sebagainya. Orang yang rosak akidahnya ini banyak bersifat dengan sifat negatif  seperti takut waktu malam dan lemah semangat dan ini juga adalah merupakan  antara pelbagai azab dari Allah. Orang yang dirahmati Allah banyak mempunyai  nilai positif seperti kuat semangat, rajin, sabar dan tidak takut hantu dan  malam.
 Syaitan diizinkan oleh Allah untuk merasuk orang Islam yang  rosak akidah sehingga histeria adalah sebagai pengajaran agar mereka bertaubat.  Syaitan ini pula menggunakan orang yang dirasuk histeria ini sebagai satu  kesempatan untuk menakutkan orang lain dan hanya orang lain yang lemah semangat  dan kerosakan akidah akan berjaya dirasuk dan proses inilah yang menyebabkan  histeria ini berjangkit dari satu orang ke satu orang lain. Namun orang yang  sentiasa dirahmati Allah iaitu orang lebih mantap akidahnya selalunya tidak akan  dijangkiti histeria ini.
Syaitan menggunakan kesempatan histeria untuk merosakkan akidah lebih ramai umat manusia melalui kaedah berikut:
- Bomoh akan dipanggil merawat mangsa dan bertambah kafirlah manusia “islam” ini.
- Bomoh akan diguna untuk menghalau syaitan. Bertepuklah syaitan.
- Bomoh akan memagar kawasan supaya tidak diganggu syaitan lagi dengan pelbagai tangkal azaimat. Bertepuklah syaitan.
- Pelbagai tangkal dan azimat serta perkara khurafat lain akan diterima daripada bomoh ini sebagai perlindungan.
- Orang yang belum kena dan sudah kena histeria selalunya akan berikhtiar dengan cara menemui bomoh dan mengutip tangkal azimat. Bertepuklah syaitan.
Inilah antara motif utama syaitan merasuk umat “islam” agar  lebih ramai umat Islam sesat dengan kesyirikan. Persoalan seterusnya ialah  mengapa hanya hanya orang Islam yang dirasuk? Jawapannya ialah syaitan hanya  ingin merosak umat Islam semoga masuk neraka bersama mereka atas sifat dengki  semenjak datok nenek mereka iaitu Iblis kerana Allah memuliakan manusia. Orang  kafir tidak perlu dirasuk kerana ia hanya akan membazirkan masa dan tenaga  mereka sahaja tambahan pula orang kafir sudah menjadi sahabat mereka. (sila  rujuk rajah di atas). Apa gunanya mengganggu sahabat baik.
 Untuk merawat mangsa histeria, saya telah jelaskan dalam  artikel saya sebelumnya bertajuk Jampi dan mantera ibarat zina dan jimak  suami isteri, sama tetapi berlainan hukum  dhttp://emjayjb.multiply.com/journal/item/58 i . Namun sebagaimana  diketahui umum bahawa pedoman terpenting sekali bagi perawat ialah perawat  tersebut perlu mempunyai akidah yang benar-benar mantap. 
 Jalan mudah bagi guru di sekolah sama ada yang beragama  Islam atau bukan Islam dalam menangani orang yang kerasukan ialah dengan  menjauhkan mangsa tadi dengan mengasingkannya ke satu bilik atau bilik stor yang  cukup jauh dari pelajar lain dan seterusnya dibiarkan orang kerasukan ini di  dalamnya. Syaitan insya-Allah akan give up dari terus merasuk pelajar ini kerana  matlamatnya untuk menakutkan dan menjangkitkan histeria kepada pelajar lain  dengan memperdengarkan hilaian dan jeritannya sudah gagal. Kalau tidak ada bilik  yang terasing jauh dari pelajar lain, mungkin membawa balik dan mencutikan  pelajar ini adalah satu pilihan yang wajar. Namun satu perkara yang perlu dingat  ialah tenaga orang yang kerasukan walaupun sekadar wanita yang bertubuh kecil  adalah menyamai 8 orang lelaki.
 Tiba-tiba satu pelajar bernama Anis mencelah “encik,  padanlah kat sekolah saya dulu, ada seorang pelajar tu kerap kena histeria. Bila  dibawa ke bilik sakit dia akan aman dan pulih sendiri dari kesan gangguan  histeria. Bilik sakit ini kebetulan jauh dari pelajar lain.”. Gembira hati saya  menerima komen sedemikian dari pelajar ini kerana ini menunjukkan beliau jelas  faham tentang apa yang saya telah jelaskan. 
 Merawat pelajar yang histeria sebenarnya tidak begitu  penting. Kurung mereka dalam bilik stor yang berjauhan daripada pelajar lain  sudah mencukupi untuk merawat atau hanya sekadar menjauhkan pelajar lain dari  gangguan gelagat dan hilai jeritannya. Apa yang paling penting ialah memulihkan  pelajar bermasalah ini secara total sehingga beliau tidak akan menjadi bahan  permainan syaitan pada masa akan datang. Jalan penyelesaiannya tidak ada dua dan  hanya satu iaitu bersihkan tangkal dari tubuh, persekitaran dan rumah dari  segala tangkal, azimat, gambar binatang dan manusia dan seterusanya mengisi ilmu  tauhid sehingga pelajar ini benar-benar mantap. Apabila pelajar ini mula  mengenali konsep tauhid, insya-Allah akan dapat dilihat perkembangan pelajar ini  berubah tabiaatnya dan tidak lagi menjadi mangsa histeria. Ingatlah bahawa Islam  tidak boleh diwarisi dan ianya hanya boleh dipelajari. 
 Anis menambah lagi “kesian pelajar yang kerap histeria di  sekolah saya tu. Akhirnya dia kena buang dari sekolah. Barulah aman sekolah tu”.  Begitulah sedihnya mengenangkan seorang wanita Melayu diberhentikan sekolah  kerana kerap menggangu pelajar lain dengan gangguan histerianya. Pastinya ibu  bapa pelajar ini telah banyak berusaha dan berhabis ribuan RM untuk memulihkan  anak perempuannya namun di Malaysia ini, kebanyakan ibu bapa pelajar seperti ini  hanya akan menambahkan kesesatan dengan bertemu pelbagai bomoh yang sekadar  menambah koleksi tangkal dan azimat serta air jampi. Bagaimana Allah akan  memberikan rahmatNya apabila usaha yang dilakukan ibu bapa seperti ini bukan ke  arah tauhid Islam yang lurus tetapi semakin sesat bertemu bomoh. Situasi ini  semakin amat merbahaya kerana ramai bomoh sesat ini bertopengkan  “PENGAMAL PERUBATAN ISLAM DENGAN PELBAGAI IKLAN DI MAJALAH DAN AKHBAR  TABLOID TERTENTU SERTA INTERNET. 
 Kalau ibu bapa mangsa histeria mengambil wudhu dan terus  bersolat hajat secara bersungguh mohon rahmat dari Allah insya-Allah gejala  seperti ini dapat dibasmikan.
 Perbincangan saya dengan pelajar ini tamat pada pukul 12.40  tgh jauh melewati masa tamat sepatutnya iaitu 11.50 pagi. Sedih meninggalkan  mereka namun itulah asam garam kehidupan, berjumpa bakal berpisah.
 Sekian untuk kali ini wassalam wallahualam
 Layarilah Laman Emjay di  http://emjayjb.multiply.com/
 Emjay

 
