adsense

Showing posts with label Agong. Show all posts
Showing posts with label Agong. Show all posts

22 July, 2007

Sekeping gambar seribu makna



Posted on Friday, July 20 @ 20:31:18 MYT by greenboc
Analisis Isu Oleh RoslanSMS


aApabila saya melihat gambar-gambar ini di dada-dada akhbar hari ini hati kecil saya berbisik, inilah Raja sebenar yang berjiwa rakyat. Sesungguhnya rakyat Malaysia dahagakan pemimpin apalagi Raja yang dapat menyelami hati sanubari rakyat. Bergembera dengan rakyat diwaktu senang, bersusah dan berduka bersama ketika waktu susah dan nestapa.



Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berada sejak jam 1 petang semalam di HKL bagi menunggu ketibaan helikopter yang membawa mayat wira-wira negara yang terkorban dalam nahas Nuri Jumaat lepas. Saya tidak nafikan ada juga pimpinan lain yang hadir. Tetapi wajah kedua Tuanku mencerminkan betapa ikhlas dan concern nya mereka terhadap nasib rakyatnya. Yang terpancar dari wajah mereka tidak pula kelihatan pada yang lain.

a


Saya percaya terserlah wajah sejuk Raja kita kerana Raja Permaisuri Agong sememangnya mengenakan pakaian menepati syariat Islam yang sememangnya sesuai untuk semua OCCASSION atau majlis. (Tak perlulah nak berselendang memenuhi syarat hanya apabila ada kematian atau upacara keagamaan, kalau di lain tempat selendang entah ke mana.)


\
gambar Utusan Malaysia

Turut tidak kelihan adalah PM Dollah Badawi dan isteri barunya yang rupa-rupanya bercuti pula ke Australia.



Takziah kepada kaum keluarga yang berkenaan

Al Fatihah.

10 May, 2007

Info Hangat: Yang DiPertuan Agong



Bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong

YANG di-Pertuan Agung mempunyai bidang kuasa yang luas seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Fungsi sebagai Ketua Negara dapat dilihat dalam tiga cabang kerajaan, iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Eksekutif

Fasal 39 Perlembagaan memberi kuasa eksekutif kepada Yang di-Pertuan Agong. Walaupun terdapat beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim baginda menerima nasihat dari Kabinet atau lebih khusus, Perdana Menteri.

Walaupun bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang atau sesuatu pertubuhan (selain Kabinet), Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara dalam tiga
fungsi Perlembagaan iaitu:

1. Melantik seorang Perdana Menteri.

2. Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen.

3. Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu.

Perundangan

Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak kepada Parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Yang di-Pertuan Agong sebagai sebahagian komponen Parlimen mempunyai kuasa berikut:

1.
Memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa.
2. Memberhentikan dan membubarkan Parlimen.
3. Memberi ucapan dalam mana-mana majlis Parlimen.
4. Memperkenankan Rang Undang-Undang.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik dua orang senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya serta mempunyai kuasa melantik 40 orang senator lain.

Kehakiman

Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi penting dalam bidang kehakiman. Antara tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong adalah:


1. Melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agung, Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja.

2. Melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (yang mempunyai kuasa sebagai Hakim Mahkamah Tinggi) atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (satu langkah sementara sebelum pelantikan tetap sebagai Hakim Mahkamah Tinggi).

3. Memanjangkan perkhidmatan seorang hakim yang berumur lebih 65 tahun. Bagaimanapun lanjutan perkhidmatan itu tidak melebihi enam bulan setelah mencapai umur 65 tahun.

4. Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri, mengemukakan presentasi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyingkirkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan atas alasan tertentu.

Selepas menerima representasi itu, Yang di-Pertuan Agong akan melantik satu tribunal untuk memberi cadangan dan mungkin atas cadangan tribunal itu menyingkirkan hakim dari jawatannya. Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk menerima atau menolak cadangan tribunal untuk menyingkirkan atau mengekalkan hakim.

5. Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan boleh mengeluarkan Perisytiharan darurat apabila berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau negeri dalam keadaan terancam.

6. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak membuat peruntukan yang menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam negeri berkenaan.

Baginda juga adalah Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Baginda juga melantik jawatan tertentu bagi Negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri berkenaan. Di Sabah dan Sarawak, kuasa pelantikan diturunkan kepada Yang Dipertua Negeri.


Selain tiga fungsi ini, Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi seperti berikut:

1. Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata.

2. Mempunyai kuasa mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

3. Menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

4. Sumber penghormatan dan kebesaran.

5. Fungsi diplomatik dengan melantik diplomat Malaysia di luar negara dan menerima mengadap diplomat asing.

6. Menghadiri pelbagai majlis dan acara.

Senarai Yang Di-Pertuan Agong Malaysia

SENARAI YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA (beserta Raja Permaisuri Agong dan Tempoh Memerintah )
  1. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad
    Tuanku Puan Besar Kurshiah binti Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin
    31 Ogos 1957 - 1 April 1960
  2. Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah
    Tengku Ampuan Jemaah binti Raja Ahmad
    14 April 1960 - 1 September 1960
  3. Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail
    Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail
    21 September 1960 - 20 September 1965
  4. Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III
    Tunku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja
    21 September 1965 - 20 September 1970
  5. Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah
    Tunku Hajah Bahiyah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman
    21 September 1970 - 20 September 1975
  6. Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra
    Tengku Zainab binti Tengku Mohammad Petra
    21 September 1975 - 30 Mac 1979
  7. Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah
    Tengku Hajah Afzan binti Tengku Mohammad Panglima Perang
    26 April 1979 - 25 April 1984
  8. Baginda Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail
    Sultanah Zanariah bintii Tengku Ahmad Panglima Raja
    26 April 1984 - 25 April 1989
  9. Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu- lahu
    Tuanku Siti Bainun binti Mohd Ali
    26 April 1989 - 25 April 1994
  10. Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman
    Tunku Najihah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin
    26 April 1994 - 25 April 1999
  11. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj
    Tuanku Siti Aisyah binti Abdul Rahman
    26 April 1999 - 21 November 2001
  12. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
    Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid
    13 Disember 2001 - 12 Disember 2006
  13. Duli Yang Maha Mulia Al Wathiqu Billah, Al-Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Al-Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj
    13 Disember -
Rujukan: Berita Harian Online & Wikipedia Malaysia

26 April, 2007

Isu Hangat: Yang di-Pertuan Agong ke-13 ditabal hari ini


KUMPULAN Nobat Diraja Terengganu bersiap sedia sempena
pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin
dan Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah
di Istana Negara hari ini. Tiupan nafiri dan paluan
nobat lagu ‘Raja Berangkat’ akan mengiringi
keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong
ke Balairong Seri. Istiadat pertabalan itu akan dihadiri
Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri,
menteri Kabinet, Menteri Besar dan ketua menteri,
kerabat diraja Seri Paduka, wakil negara
asing serta tetamu kehormat dari
dalam dan luar negara.

KUALA LUMPUR: Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin secara rasminya akan memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 hari ini pada upacara pertabalan yang meneruskan tradisi beraja di negara ini.

Tradisi beraja dan upacara pertabalan yang mungkin hanya dapat disaksikan sekali dalam tempoh lima tahun itu, diadakan di Balairong Seri, Istana Negara jam 10 pagi ini dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Mengikut atur cara pentadbiran Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri, tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’ oleh Kumpulan Nobat Diraja Terengganu akan mengiringi keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah ke Balairong Seri.

Istiadat itu akan dihadiri Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, menteri Kabinet, menteri Besar dan ketua menteri, kerabat diraja Seri Paduka, wakil negara asing serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara.

Atur cara istiadat akan bermula dengan barisan diraja masuk ke Balairong Seri, didahului Datuk Paduka Maharaja Lela Yang Mulia Tengku Farouk Tengku Jalil berserta panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama.

Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak yang menjadi sebahagian alat kebesaran diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.

Mereka akan diiringi juruiring Seri Paduka dan panglima yang membawa alat kebesaran diraja.

Tuanku Mizan, 45, akan berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok ‘Dendam Tak Sudah’.

Seri Paduka akan memakai Pending Diraja, diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengahnya, berserta tali bengkung daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga.

Di pinggang Seri Paduka pula akan tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.

Tuanku Nur Zahirah, 33, pula akan memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja, pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian.

Seri Paduka berdua akan bersemayam di singgahsana yang diukir dengan motif menggabungkan ciri-ciri awan larat dari Semenanjung serta Sabah dan Sarawak bagi melahirkan identiti kebangsaan yang unggul, sepanjang upacara pertabalan itu.

Datuk Penghulu Istiadat Datuk Wan Safiain Wan Hasan yang juga Datuk Pengelola Bijaya Diraja akan

membawa masuk naskhah Al-Quran manakala Keris Kerajaan, surat perisytiharan dan watikah ikrar dibawa pegawai Istana Negara yang diketuai oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dengan iringan paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’.

Naskhah al-Quran, lambang kemuliaan Islam agama rasmi negara, akan disembahkan kepada Seri Paduka oleh Datuk Paduka Maharaja Lela.

Seri Paduka akan mengucup dan meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda, diikuti pembacaan surat perisytiharan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ditulis jawi di atas kulit kambing.

Datuk Paduka Maharaja Lela akan menyembahkan Keris Kerajaan atau Keris Panjang Diraja, iaitu alat kebesaran negara yang utama, tanda kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.

Seri Paduka kemudian akan menghunus, mengucup dan menyarungkan kembali keris itu sebelum meletakkannya di meja sebelah kiri baginda di hadapan naskhah al-Quran. Ini akan diikuti dengan titah Seri Paduka melafazkan ikrar sebagai pemerintah utama negara.

Sebaik saja selesai warkah ikrar dibaca, nafiri akan ditiup dan lagu nobat ‘Raja Bertabal’ dimainkan, dan diikuti dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang diikuti oleh hadirin.

Tembakan meriam 21 das dan lagu ‘Negaraku’ yang dimainkan oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia menyusul selepas itu.

Abdullah akan menyembah ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan serta rakyat Malaysia dan diikuti dengan Tuanku Mizan menyampaikan titah Diraja.

Selepas itu Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Rahman Mohd akan membaca doa selamat. Sebelum selesai majlis istiadat pertabalan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan menerima balik naskhah al-Quran daripada Seri Paduka dan mengisytiharkan istiadat itu sudah disempurnakan, diikuti keberangkatan Seri Paduka berdua meninggalkan Balairong Seri.

Tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’ akan mengiringi keberangkatan Seri Paduka berdua yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan diikuti Datuk Penghulu Istiadat membawa naskhah al-Quran, panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama serta alat-alat kebesaran Diraja.

Tuanku Mizan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Disember 2006.


Blog Widget by LinkWithin