adsense

26 April, 2007

Isu Hangat: Yang di-Pertuan Agong ke-13 ditabal hari ini


KUMPULAN Nobat Diraja Terengganu bersiap sedia sempena
pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin
dan Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah
di Istana Negara hari ini. Tiupan nafiri dan paluan
nobat lagu ‘Raja Berangkat’ akan mengiringi
keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong
ke Balairong Seri. Istiadat pertabalan itu akan dihadiri
Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri,
menteri Kabinet, Menteri Besar dan ketua menteri,
kerabat diraja Seri Paduka, wakil negara
asing serta tetamu kehormat dari
dalam dan luar negara.

KUALA LUMPUR: Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin secara rasminya akan memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 hari ini pada upacara pertabalan yang meneruskan tradisi beraja di negara ini.

Tradisi beraja dan upacara pertabalan yang mungkin hanya dapat disaksikan sekali dalam tempoh lima tahun itu, diadakan di Balairong Seri, Istana Negara jam 10 pagi ini dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Mengikut atur cara pentadbiran Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri, tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’ oleh Kumpulan Nobat Diraja Terengganu akan mengiringi keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah ke Balairong Seri.

Istiadat itu akan dihadiri Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, menteri Kabinet, menteri Besar dan ketua menteri, kerabat diraja Seri Paduka, wakil negara asing serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara.

Atur cara istiadat akan bermula dengan barisan diraja masuk ke Balairong Seri, didahului Datuk Paduka Maharaja Lela Yang Mulia Tengku Farouk Tengku Jalil berserta panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama.

Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak yang menjadi sebahagian alat kebesaran diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.

Mereka akan diiringi juruiring Seri Paduka dan panglima yang membawa alat kebesaran diraja.

Tuanku Mizan, 45, akan berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok ‘Dendam Tak Sudah’.

Seri Paduka akan memakai Pending Diraja, diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengahnya, berserta tali bengkung daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga.

Di pinggang Seri Paduka pula akan tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.

Tuanku Nur Zahirah, 33, pula akan memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja, pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian.

Seri Paduka berdua akan bersemayam di singgahsana yang diukir dengan motif menggabungkan ciri-ciri awan larat dari Semenanjung serta Sabah dan Sarawak bagi melahirkan identiti kebangsaan yang unggul, sepanjang upacara pertabalan itu.

Datuk Penghulu Istiadat Datuk Wan Safiain Wan Hasan yang juga Datuk Pengelola Bijaya Diraja akan

membawa masuk naskhah Al-Quran manakala Keris Kerajaan, surat perisytiharan dan watikah ikrar dibawa pegawai Istana Negara yang diketuai oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dengan iringan paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’.

Naskhah al-Quran, lambang kemuliaan Islam agama rasmi negara, akan disembahkan kepada Seri Paduka oleh Datuk Paduka Maharaja Lela.

Seri Paduka akan mengucup dan meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda, diikuti pembacaan surat perisytiharan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ditulis jawi di atas kulit kambing.

Datuk Paduka Maharaja Lela akan menyembahkan Keris Kerajaan atau Keris Panjang Diraja, iaitu alat kebesaran negara yang utama, tanda kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.

Seri Paduka kemudian akan menghunus, mengucup dan menyarungkan kembali keris itu sebelum meletakkannya di meja sebelah kiri baginda di hadapan naskhah al-Quran. Ini akan diikuti dengan titah Seri Paduka melafazkan ikrar sebagai pemerintah utama negara.

Sebaik saja selesai warkah ikrar dibaca, nafiri akan ditiup dan lagu nobat ‘Raja Bertabal’ dimainkan, dan diikuti dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang diikuti oleh hadirin.

Tembakan meriam 21 das dan lagu ‘Negaraku’ yang dimainkan oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia menyusul selepas itu.

Abdullah akan menyembah ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan serta rakyat Malaysia dan diikuti dengan Tuanku Mizan menyampaikan titah Diraja.

Selepas itu Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Rahman Mohd akan membaca doa selamat. Sebelum selesai majlis istiadat pertabalan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan menerima balik naskhah al-Quran daripada Seri Paduka dan mengisytiharkan istiadat itu sudah disempurnakan, diikuti keberangkatan Seri Paduka berdua meninggalkan Balairong Seri.

Tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’ akan mengiringi keberangkatan Seri Paduka berdua yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan diikuti Datuk Penghulu Istiadat membawa naskhah al-Quran, panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama serta alat-alat kebesaran Diraja.

Tuanku Mizan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Disember 2006.


No comments:

Blog Widget by LinkWithin