adsense

04 June, 2007

Santapan Jiwa: DOSA IBU BAPA MENGATASI KESALAHAN ANAK-ANAK



"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu
dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang bahan
bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di atasnya
ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya.
Mereka tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan
mereka tentu melaksanakan apa yang diperintahkan"
[al-Tahrim 66 : 6]

Kadang-kadang saya rasa tersinggung apabila permintaan
saya tidak dihargai. Saya bukan meminta kelebihan. Apa
yang saya pohonkan ialah pada beberapa kotak kosong di
dalam diari bulanan saya, ia adalah masa saya untuk
isteri dan anak-anak.

"Bolehlah ustaz, janganlah macam itu. Anak hari-hari
boleh jumpa. Kami sudah tiada masa lain yang sesuai
untuk menjemput ustaz. Harap ustaz dapat pertimbangkan
permintaan kami", kata seorang pemanggil yang
menelefon saya.

Dialog seperti ini meletakkan saya pada situasi yang
menjadikan saya serba salah. Mengapakah masa seorang
ustaz untuk anak-anaknya tidak dianggap penting?
Bukankah itu sesi beliau menunaikan kewajipan nafkah
kasih sayang, didikan dan perhatiannya kepada anak-
anak. Semasa saya kecil, saya tinggal di sebuah
kawasan perumahan dan seawal usia 10 tahun, saya
pernah membuat kesimpulan bahawa budak-budak jahat
pada masa itu, sama ada anak ustaz, tak pun anak
polis!

Alangkah prejudisnya saya semasa itu. Saya tidak faham
bagaimana saya boleh beranggapan sedemikian rupa.
Mungkin kerana geram saya apabila basikal yang ayah
belikan, dibengkokkan oleh si Samseng Kampung Dusun,
anak seorang ustaz. Tetapi hari ini hati saya menjadi
gundah semula. Terutamanya selepas menerima maklum
balas seperti dialog di atas.

Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Itulah peribahasa Melayu yang amat menusuk perasaan
saya. Ketika saya menaip artikel ini, Saiful Islam dan
Naurah sedang tidur nyenyak di depan saya. Memandang
mereka telah meretak hibakan hati saya.

"Maafkan Abi, wahai anak-anakku, Abi berdosa
mengabaikan kalian", saya sukar menahan hati dari
bersedih.

Saya masih ingat, semasa saya di Ireland, usaha saya
mendidik dan membesarkan Saiful Islam, ternyata amat
mudah. Malah saya setiap hari memanjatkan syukur
kepada Allah kerana Saiful Islam amat mudah untuk
diurus. Dengan tugas saya sebagai Imam, saya tidak
keberatan untuk membawa anak sulung saya ke masjid,
saya baringkan di kepala sejadah dan matanya
berkelip-kelip melihat saya menyampaikan khutbah
Jumaat.

Semasa itu, untuk saya menegurnya ketika dia melakukan
kesalahan, caranya amat mudah. Saya tunding jari,
tanpa perlu membuka bicara, Saiful Islam sudah
menghamburkan air mata takutkan `kemarahan' saya.

Tidak dinafikan, ketika itu mungkin usia anak saya
baru setahun dua. Memang tidak susah menjaganya.
Tetapi apabila saya fikirkan, hari ini saya tetap saya
yang sama. Anak bertambah, usia mereka juga bertambah,
tetapi mereka tetap berayahkan ayah yang sama. Tetapi
kenapa hari ini, fikiran saya selalu kusut memikirkan
mereka?

Ya, suasana di Ireland amat saya rindui. Saya duduk di
negara Kuffar, tetapi usaha mendidik anak memang mudah
dan menggembirakan.

Saya tidak menyesal menjadi `suri rumah' selama
beberapa tahun. Saya bertugas secara sambilan di
beberapa masjid, menyambung pengajian Master secara
distance learning dengan The Open University, UK, dan
sambil itu saya menjaga soal makan minum, hal ehwal
rumah tangga, dan Saiful Islam membesar di depan mata.

Itu lebih baik, daripada saya bekerja sebagai kasyer
di pasar raya, kemudian semua gaji dibayar kepada
nursery yang mencecah harga ratusan Euro sebulan.
Masakan tidak, semua nanny memegang Ijazah Early
Childhood Learning malah mahir pula dengan rawatan
kecemasan Paedriatrik dan first aid.

Namun saya gembira membesarkan anak dengan tangan saya
sendiri. Isteri saya sibuk bekerja di wad kecemasan
hospital, shifnya tidak tentu siang malam. Maka saya
mengambil alih tugas di rumah. Setiap pagi saya
mandikan anak, menyalin bajunya, menggoreng kentang
atau pasta kosong untuk sarapan. Saya bermain
bersamanya seketika, kemudian ke dapur memasak untuk
makan tengah hari. Saiful Islam tidur semula sekitar
jam 11 dan saya naik ke bilik ulangkaji untuk membuat
assignment. Zohor kekadang di masjid, jika cuaca baik.

Tengah hari saya qailulah seketika, solat Asar dan
kemudian membawa Saiful Islam ke hospital untuk
mengambil isteri saya dari tempat kerjanya, pulang
bersama sambil menghirup udara petang yang segar.

Ketika di Naas, kadang-kadang kami melencong ke
belakang hospital bersama roti keras yang saya bawa
dari rumah, untuk memberi burung undan di tasik, makan
petang bersama kami. Saya mencampak roti ke tasik,
Saiful Islam dan Umminya turut sama.

Jika isteri saya oncall, saya akan ke hospital
menghantar nasi dan lauk, khususnya semasa isteri saya
mengandung anak kedua kami, Naurah Sabihah. Suasana
ketika itu memang nyaman, fikiran saya tenang dan
prolifik, kegiatan kemasyarakatan banyak dan saya
sanggup mengayuh mountain bike selama 2 jam untuk
memberi kuliah Tafsir Surah Yasin kepada adik-adik
yang tinggal di South Circular Road, Dublin.

Itulah suasana saya membesarkan anak ketika di
Ireland. Memang hati kami sunyi tidak mendengar
laungan azan dari menara masjid bertahun lamanya.
Namun derita melihat laungan azan tidak diendahkan di
Malaysia, lebih menghiris rasa.

Hari ini saya sudah pulang ke Malaysia. Cabaran
membesarkan anak- anak semakin meruncing.

Semasa di Ireland, saya pernah berbual dengan isteri
sambil merenung daun-daun perang gugur di petang musim
luruh.

"Abang rasa, kita hanya boleh tinggal di Ireland
sampai usia anak kita mencecah umur tadika. Apabila
dia perlu bersekolah, kita harus pulang ke Malaysia",
saya meluahkan pandangan tentang perancangan masa
depan kami.

Isteri saya mengangguk tanda setuju.

Saya berfikiran begitu kerana saya khuatir dengan
Aqidah anak saya. Tentu sahaja saya patut risau.
Semasa bertugas sebagai Pengetua dan guru di Belfast
Islamic School, saya ada banyak pengalaman yang
menakutkan. Selain kisah di Belfast Zoo dan cerita
evaluation test anak-anak murid kami, saya juga tidak
lupa kepada suatu insiden di sebuah pasar raya di
Lisburn Road, Belfast. Seorang anak muda bekerja
sebagai kasyer di situ dan tag namanya tertulis
"OMER". Wajahnya ada iras Irish dan ada sedikit iras
Asia.

Apabila ditanya sama ada beliau Muslim atau tidak,
beliau termenung seketika dan berkata, "my father is a
Moslem!"

Aduh, adakah krisis identiti itu yang mahu saya
risikokan kepada anak-anak dengan menyekolahkan mereka
di Ireland? Tentu sekali tidak.

Tetapi selepas pulang ke Malaysia, pandangan saya
berubah sama sekali. Kadang-kadang saya menangis
sambil merenung jauh dari tingkap rumah kami, "apakah
selamat anakku membesar di Malaysia?"

Ya, semasa di Ireland, saya kira amat mudah untuk saya
gariskan batas-batas Iman dan Kufur kepada anak-anak.

"Jangan ikut perangai Spencer itu, dia bukan orang
Islam!", saya boleh menyebut begitu kepada Saiful
Islam dan Naurah.

Apabila anak-anak pulang ke rumah, saya boleh
berbicara dengan mudah bahawa yang jahat itu bukan
Islam, bagi mereka agama mereka, dan bagi kita Islam
yang satu. Garis hitam putih amat jelas.

Tetapi bagaimana di Malaysia? Spencer, Ah Meng, Ravin,
Shahril, semuanya lebih kurang sama. Perangai dan
akhlak tidak banyak berbeza. Grey area melebar luas.
Nak dikatakan tidak Islam, dia Islam. Tetapi
kelakuannya tidak mencerminkan agama di kad
pengenalannya. Habis, mudahkah saya menerangkan semua
ini kepada anak-anak? Saya tabik kepada rakan yang
sanggup menyekolahkan anak- anak di SRJK(C), walau pun
terpaksa berulang ke sekolah menghantar bekal makanan
sendiri. Semuanya kerana mereka mahu anak-anak
membesar di dalam suatu suasana yang garis hitam dan
putihnya jelas.

Mampukah saya begitu? Entahlah...

Lebih menyedihkan, sabar saya tidak seperti sabar saya
semasa di Ireland. Hari ini apabila anak-anak buat
semak, ada kalanya macam mudah benar untuk darah saya
tersirap. Terutamanya apabila saya pulang ke rumah
selepas dua jam meredah lautan kereta. Syukurlah saya
banyak berusaha membaca dan belajar tentang
topik-topik yang membina sikap pro aktif. Saya cuba
menapis setiap insiden, agar saya memberikan respond
yang tepat dan bukannya marah berbalas marah, geram
berbalas geram, degil berbalas cubit dan sebagainya.

Saya sentiasa berasa malu apabila membaca kisah
keluarga Stephen Covey. Profesyennya sama seperti
saya. Kami selalu out station untuk memberikan
training. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey,
mempunyai 9 anak dan dia tidak pernah terlepas
daripada menghadiri majlis dan peristiwa yang penting
berkaitan dengan anak-anaknya.

Bukan suatu yang mudah untuk seorang American
membesarkan 9 anak. Saya yang dua ini pun sudah pening
kepala.

Sebab itu jugalah saya tidak suka memarahi anak-anak
dengan tengking dan leteran. Lagi banyak kita
menengking, lagi cepatlah bisanya hilang. Saya tidak
percaya kepada pendekatan marah sebagai teknik default
menegur kesalahan anak. Berapa ramai yang menjadi baik
hasil siri marah di sepanjang usia membesarnya? Apa
yang pasti, anak yang selalu dimarahi akan menjadi
pemarah dan kemudiannya bakal memarahi anak-anaknya
pula suatu hari nanti. Ingat, anak kita mungkin gagal
mengikut kata-kata kita, tetapi mereka tidak akan
gagal meniru perangai dan tingkah laku kita sebagai
ibu dan bapa.

Jika anak kita buruk kelakuan, jangan cari sebab yang
jauh. Anak- anak adalah cermin wajah ibu dan bapa
mereka.

Ya memang marah itu perlu, tetapi ia bukan pendekatan
harian saya. Saya lebih suka bercakap dengan anak-anak
dan cuba memahamkan mereka kenapa satu-satu perbuatan
itu betul atau salah. Jika Saiful Islam naik angin,
saya akan tangkap dia dan mandikan agar `sejuk',
kemudian saya ke bawanya ke bilik dan kami berdialog.

Biar pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang
berpusing ke belakang, saya sentiasa setia melayan.
Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau sengal
badan, semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar
isi bualan yang ingin dikongsi oleh Saiful Islam dan
kini Naurah juga. Biar pun isunya hanya soal kad
Grandsazer dan Kamen Rider. Itulah wasilah saya
mendengar dan menunjukkan kasih kepada anak-anak.

Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak
tergamak untuk memarahi anak saya, ialah kerana saya
rasa berdosa kepada Allah terhadap mereka. Malah
kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz dan tidak
aqil aligh ini kepada saya dan ibu mereka, tidak
terbanding dengan dosa saya dan isteri terhadap
mereka.

Masakan tidak. Saya telah memilih isteri yang solehah
dan sebahagian cita-cita saya, agar akhlak mahmudah
isteri akan tumpah kepada anak-anak suatu hari ini.
Saya percaya, ramai dari kalangan kita yang melakukan
perkara yang sama. Pendidikan anak-anak bermula dengan
memilih ibu yang baik untuk mereka.

Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak?
Turunkah baik saya kepada anak-anak? Sukar untuk
menjawab soalan ini kerana orang sebenar yang
membesarkan anak-anak hari ini, adalah guru di tadika
atau pembantu rumah Indonesia. Alhamdulillah jika yang
Indonesia itu orangnya baik, bersolat dan menjaga
batas-batas agama. Bagaimana dengan yang berpembantu
rumah seorang penyembah berhala dari Myanmar, Thailand
atau Filipina.

Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah
letih. Kita sudah hilang seri di wajah dan jiwa malah
bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk ketika saya
sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya
kita menumpahkan akhlak mahmudah kita kepada
anak-anak?

Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah
pembantu rumah, guru nursery, dan entah siapa lagi.
Ibu dan ayah di mana?

Jawapannya mudah sahaja, SIBUK BEKERJA.

Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa
yang baik hanya kerana makan pakai anak-anak sudah
cukup. Itu hanya taraf lembu membesarkan anak-anaknya.
Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar
dari itu. Soal makan, minum, pakaian, perlindungan,
pendidikan, makanan emosi dan spiritual, semuanya
mesti diharmonikan bersama bekalan yang tidak
putus-putus. Apa yang paling utama adalah soal jumlah
masa yang kita luangkan bersama mereka. Sudah cukupkah
untuk meyakinkan mereka, bahawa kita benar-benar
kasihkan mereka?

Tetapi zaman ini, zaman membesarkan anak-anak
diswastakan kepada pihak lain. Kita sibuk bekerja dan
kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai mungkin
semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian
kita.

Ingatlah, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan
bapa terhadap anak-anak, lebih besar berbanding
kesalahan mereka kepada kita.

Insaflah wahai ibu dan bapa, jangan mudah melenting,
sebelum cukup kasih diberi.

Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal
dikosongkan, janganlah heret saya ke suasana yang
menjadikan saya tersepit. Saya ada tanggungjawab
kepada anak-anak, anda juga sama. Anak-anak dan isteri
saya, adalah mad'u pertama saya.

Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh,
kita singgah di Tapah untuk Solat dan makan. Kemudian
kita meneruskan perjalanan ke Ipoh. Tetapi selepas 15
minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang
anak kita tiada. Ketika itu kita kelam kabut mencari
U-Turn dan mulut tidak henti-henti berdoa agar anak
yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada
mudarat.

Ya, jika kita tercicir anak di perjalanan dunia, kita
ada jalan untuk berpatah balik menyelamatkan keadaan.
Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis, jurutera,
pegawai bank dan kita-kita semua yang ketika dalam
perjalanan memanjat tangga kenaikan pangkat, kita
tertinggal isteri dan anak-anak di belakang. Jika
lebuh raya kita boleh berpatah balik. Tetapi jika
mereka ditinggalkan dari Tarbiah dan didikan Islam,
ketika kita tersedar yang mereka yang sudah jauh
ketinggalan di belakang, apakah ada jalan pulang?
Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.

Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam
kerjaya, jangan lupa kepada pengorbanan anak-anak
selama ini. Jangan lupa dosa kita terhadap mereka.

Saya hairan semasa membaca sabda Nabi SAW betapa tanda
Kiamat itu adalah pada ibu yang melahirkan tuannya.
Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa suasana begitu
boleh terjadi?

Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak durhaka di
akhir zaman, bermula dengan dosa ibu dan bapa yang
sibuk bekerja. What you give, you get back!

Maafkan Abi dan Ummi!

No comments:

Blog Widget by LinkWithin