Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
|
SINGGAH di kediaman baru penyanyi Amy Search di Villa Damansara, wangi setanggi menyemarak ke rongga hidung. Saat jarum jam sudah menjengah ke angka 8.40 malam, alunan bacaan al-Quran beralun lembut dari sisi radio yang terhias cantik di ruang tamu menyambut tiba tetamu.
"Ini bukan bau setanggi, ini bau haruman Hajarul Aswad,'' kata Norish seraya mempersilakan kami duduk di sofa.
Amy dan Norish bersama empat saudara yang lain baru pulang daripada mengerjakan umrah di Mekah.
Kemudian Amy muncul dengan anak lelakinya Xander dan menceritakan pengalamannya di Mekah. Selama dua minggu, Amy melakukan sesi umrah sebanyak enam kali, sementara isterinya sebanyak lapan kali.
Banyak pengalaman indah lagi berharga sepanjang empat hari di Madinah dan 10 hari di Mekah.
Orang kata, rockers biasanya berjiwa keras dan kasar, tetapi itu bagi yang tidak mengenali siapa Amy secara luar dan dalamnya. Amy bukan hanya seorang rockers yang cemerlang, tetapi pancaran aura seorang ayah dan suami yang baik.
Dia bercakap dengan bahasa yang lemah lembut, hormati orang lain dan berbudi orangnya. Dalam pertemuan itu, Amy menyatakan kerinduan untuk ke Tanah Suci lagi jika diberi rezeki.
*Pemberian Tuhan
Kepada Amy mengerjakan umrah adalah anugerah yang tidak ternilai. Meskipun beberapa kali tertangguh, akhirnya dia kembali mengadu kepada Yang Maha Kuasa untuk mendapatkan peluang mengerjakan umrah pada Jun ini.
"Memang mulanya sedih sangat bila dua kali tertangguh. Ada masalah visa, ada masalah masa yang membuatkan kami terbantut untuk pergi lebih awal.
"Saya memohon supaya Allah sampaikanlah hajat saya kali ini. Alhamdulillah akhirnya kami berangkat juga dan selamat kembali tiga hari lalu," kata Amy.
Berkongsi pengalamannya, setelah 25 tahun melibatkan diri kepada dunia seni, di Tanah Suci menurut Amy, adalah ketenangan dan kedamaian yang sama sekali berbeza.
Dia sudah lama mengidamkan saat-saat ini. Tatkala berada di Mekah dan Madinah, hati tiba-tiba luluh. Dia ingat kepada Allah dan Rasulullah, perjuangan sahabat-sahabat dan kemurnian Islam.
"Saya dan isteri tidak berfikir lain selain dari ibadat, sebab bukan mudah untuk datang ke sana lagi," tegas Amy.
Katanya, mereka datang dari jauh, berpisah dengan keluarga, anak-anak untuk menziarah dan beribadat di Tanah Suci.
Masjid Nabawi yang punya tarikan tersendiri, menjadikan masa lapang Amy tidak di bilik penginapan. Setiap solatnya di masjid yang dijanjikan pahala seribu kali berbanding masjid-masjid lain selain Masjidilharam itu.
Begitu juga ketika di Mekah. Amy berusaha sedaya mungkin berada di saf hadapan pada setiap kali solat, berdepan dengan Kaabah.
"Keindahan yang tidak boleh diceritakan kepada sesiapa sahaja. Selepas sembahyang, mengucup Hajarul Aswad, memang momen paling bahagia dalam kehidupan seorang manusia,'' kata Amy lagi.
*Doa di Raudah
Peluang beribadat di Raudah, yang terletak berhampiran dengan makam Rasulullah s.a.w. Amy sempat menitipkan doa indah. Yang dipinta sebaik pulang ke Malaysia hatinya kekal dengan kasih dan sayang, cinta yang sarat kepada kebaikan.
"Biarlah rasa cinta ini selama-lamanya. Doa saya supaya jangan tutup pintu hati kepada Allah. Jangan malas sembahyang, jangan malas buat kebaikan. Juga kepada anak-anak semoga punya masa depan yang indah," katanya.
Rockers terkenal ini juga tidak dilupakan bagi menitipkan doa kesejahteraan dan murah rezeki untuk seluruh peminat yang selama ini mengangkat dirinya ke tahap sekarang.
Sebagai penyanyi, Amy percaya apa yang dikecapi hari ini adalah dengan sokongan dan dorongan peminatnya.
"Entah mengapa ketika di sana, saya menjadi semakin sentimental mengenangkan pengorbanan peminat-peminat selama ini," ujarnya. Justeru selama di sana, dia tidak putus turut mendoakan semua peminat di tanah air yang selama ini menjadi pendorong.
Biarlah mereka juga dibuka pintu rezeki untuk sama-sama ke Tanah Suci dan melakukan ibadat sebaik mungkin di sana suatu masa nanti.
Apa yang paling puas kepada Amy ialah melalui wang yang diterima hasil titik peluh menyanyi selama ini, dia diterima sebagai tetamu Allah di Tanah Suci.
Kata Amy, mungkin kerana dia rockers, ada yang menyangka dia tidak ingat Tuhan. Sebab itu ada yang hairan bila mendapat tahu Amy mahu ke Mekah.
"Saya sendiri pelik kenapa ada tanggapan sebegitu sedangkan kita sebagai manusia adalah sama saja," tegas Amy.
Bagi Amy, persepsi bahawa orang seni mungkin tak ingat Tuhan adalah silap sebab apabila dia dipilih sebagai tetamu Allah, itu tuah dan rezekinya.
*Menyesal tak bawa anak
Sepanjang berada di Tanah Suci, kedua- dua anak kecilnya, Xander dan Sonia dijaga oleh ibu mentua Amy. Meskipun begitu kata Norish, sesampai saja di sana, hatinya kesal kerana meninggalkan dua anak itu dan tidak membawa bersama-samanya.
Norish yang bertudung semenjak April lalu juga berhadapan dengan pelbagai pengalaman indah sepanjang di Tanah Suci.
"Melihat jemaah lain mengendong anak kecil ada yang lebih kecil daripada Sonia, saya menyesal tidak membawa mereka bersama. Lain kali kalau diizinkan lagi ke sana, insya-Allah kami akan membawa anak-anak bersama,'' katanya.
Melihat pengalaman wanita dari negara lain yang membawa anak-anak masing-masing, Norish merasakan bukan sesuatu yang terlalu sukar untuk mereka menjaga anak sendiri sepanjang beribadat di Mekah.
*Semoga Yayasan Isabella jadi realiti
Ada satu perkara yang belum menjengah menjadi realiti. Amy berhasrat semoga suatu hari nanti cita-cita untuk menubuhkan badan kebajikan atas nama Yayasan Isabella akan menjadi kenyataan.
"Itu akan menjadi komitmen saya kepada masyarakat. Kerana mereka mengangkat saya, mereka mengangkat Search sampai masanya untuk kami mengembalikan semula segala-galanya kepada mereka pula.
Sumber