adsense

05 September, 2007

Ababil... Sunnatullah Yang Diperlekehkan



Oleh Muhammad Ibn 'Az

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala Puji Bagi Allah Tuhan sekalian alam yang PenguasaanNya meliputi segala alam yang zahir, ghaib dan juga alam-alam yang tidak pernah dikenali manusia. Diatas RahmatNya juga, kita muslimin tidak teraba-raba mencari persoalan Siapakah Dia yang patut kita sembah dan berterima kasih kerana kita telah pun dianugerahkanNya dengan Islam yang membawa kita mengenal Pencipta kita. Dengan RahmatNya juga kita dianugerahkan dengan Al-Quran sebagai panduan hidup dan penggerak kemajuan bagi setiap Muslim benar-benar beriman. Al Quran, wahyu yang diturunkan Allah melalui perantaraan Ruhul Quddus kepada Nabi Muhammad s.a.w. Rahmatan lil 'Alamin, membentuk peribadi Rasullullah s.a.w. menjadi contoh manusia teragung yang seharusnya dijadikan ikutan semua yang bergelar muslim.

Sebelum Keputeraan Baginda pada 12 Rabiulawal, tahun 570 masihi meyaksikan satu peristiwa bersejarah terpahat dalam lipatan ingatan umat Islam diseluruh dunia. Sejarah yang menyaksikan ketamakan, kebencian dan kekufuran yang menguasai jiwa seorang Gabenor bongkak Dari Yaman. Abrahah Ashram, Gabenor yang dimaksudkan mengumpulkan segala kekuatan ketenteraan yang ada pada kerajaannya, mengorak langkah menghala satu tujuan tekad untuk menyerang Mekah dan menghancurkan Kaabah, rumah Allah yang menjadi Kiblat bagi umat Islam sehingga kiamat.

Dilengkapi dengan kenderaan perang antara yang paling digeruni di zaman tersebut, gajah; menjadi petanda yang diingati oleh penduduk Mekah zaman tersebut lalu dipahatkan kedalam lipatan sejarah dimana tahun berlakunya serangan tersebut dikenali juga sebagai Tahun Gajah. Terdorong oleh hasutan Iblis dan kekecewaan diatas "Kaabah' buatannya sendiri yang tidak dapat menarik tumpuan pedagang dan saudagar-saudagar kedaerahnya, Abrahah dengan angkuh mencabar Allah, mengimpikan kehancuran Baitullah, binaan yang dibuat atas perintah wahyu Allah kepada Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Abrahah Ashram yang berasal dari kerajaan Kristian Abyssina (Ethiopia kini), menjadi Gabenor Yaman setelah berjaya merampas kuasa dan menjatuhkan kerajaan pimpinan golongan Yahudi Himyarite Yaman. Gerakan untuk menghancurkan Kaabah ini bermula dengan fanatisme agama yang melampau yang menguasai kerajaan pimpinannya dan orang-orang yang menyokongnya. Kaabah mesti dihancurkan! Tekad melampau ini diterjemahkan melalui pengumpulan ketumbukan tentera yang tidak langsung terlawan oleh penduduk dan penjaga Kota Suci Mekah.

Dimabukkan dengan cinta dunia yang melampau, dihanyutkan pula oleh hedonisme yang tiada batasan serta kealpaan dan kesesatan dalam penyembahan berhala yang lama berakar umbi, tiada jiwa yang bangun menentang kerana takut serta tidak berkeupayaan untuk berbuat demikian. Masing-masing jiwa sibuk menyelamatkan diri , harta benda serta anak pinak masing-masing. Tanggungjawab dikirikan, keduniaan dikinikan. Tetapi yakin segelintir dari mereka kepada Allah tidak pernah luntur. Bagi mereka ini rumah Allah, Allah lah yang memeliharanya dan seharusnya Rumah Allah, Allah lah yang patut mempertahankanya. Inilah tekad dan yakin Abdul Mutallib, nenda kesayangan Rasullullah s.a.w. Ternakan, harta benda dan keluarganya diselamatkan dulu kerana itu adalah miliknya dan dialah yang seharusnya mempertahankannya.

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

(Al-Baqarah : 255)

Allah, hanya Dia mencukupi. Allah hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Allah, jika Dia mahukan, tentulah Abrahah Ashram ini mati serta dihancurkan sebaik melangkah keluar dari Yaman. Dan Allah, jika Dia mahukan tentulah seluruh alam yang terkandung makhluk-makhlukNya yang kufur kepadaNya ini Dia Binasakan sama sekali.

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya (kerana ngeri dan takutnya kepada kemurkaan Allah terhadap penduduk bumi yang lupakan kebesaran Allah sehingga menyeleweng dari jalan yang benar); dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Asy - Syuura : 5)

Tetapi, Dia Yang Maha Mengetahui mengenai segala tindakanNya. Ditangguhkan hukumanNya di dunia keatas Abrahah dan tentera-tenteranya itu merupakan satu rahmat, peringatan dan pengajaran bagi Muslimin supaya diambil akan iktibar. Sebaik Abrahah menghampiri kota Mekah, Allah Yang Maha Kuasa mengirimkan tentera-tenteraNya untuk menghancurkan gerombolan tentera bergajah ini. Tentera-tentera yang dikirimkan Allah merupakan burung-burung yang membawa bersama mereka ketul-ketul batu dari 'tanah liat keras yang dibakar' sebagai senjata untuk dihumbankan ke atas angkatan bergajah tersebut. Langit pun mula diselubungi bayangan azab Allah yang sedang menanti Abrahah dan tentera-tenteranya.


No comments:

Blog Widget by LinkWithin