adsense

16 October, 2008

Update Isu Melamin





Melamin: Larangan Pengimportan Agen Penaik 'Ammonium Bicarbonate' Dari China

PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Kerajaan hari ini melarang serta-merta pengimportan agen penaik 'ammonium bicarbonate' dari negara China berikutan bahan itu didapati mempunyai tahap melamin melebihi piawaian yang dibenarkan.

Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata bahan penaik itu yang diimport dari negara-negara lain pula diletakkan di bawah pemeriksaan rapi sebelum dibenar masuk ke pasaran tempatan.

Beliau berkata tindakan larangan itu diambil apabila analisis yang dilakukan terhadap sampel produk dua kilang biskut tempatan, Khong Guan di Johor dan Khian Guan di Pulau Pinang mendapati 18 daripada 47 sampel biskut yang dianalisa melebihi tahap melamin yang dibenarkan iaitu 2.5 mg/kg atau 2.5 ppm.

"Hasil analisa menunjukkan hanya agen penaik 'ammonium bicarbonate' mengandungi paras melamin yang tinggi iaitu 33.4 ppm bagi kilang biskut jenama Khong Guan dan 508 ppm bagi kilang biskut jenama Khian Guan, dan sumber 'ammonium bicarbonate' bagi kedua-dua kilang biskut itu adalah dari negara China," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Serentak itu, Liow berkata kementerian telah mengarahkan 12 biskut jenama Khong Guan iaitu Biskut Soda, Biskut Lemon Puff, Biskut Lemon Pof, Biskut Butter Cream, Biskut Baby Fish, Biskut Healthy Cracker, Biskut Cocoa Puff, Biskut Sandwich Oren, Biskut Family Crackers, Biskut Bentuk Binatang, Biskut Gulung dan Biskut Mini Puff ditarik balik dari pasaran.

Enam biskut berjenama Khian Guan iaitu Biskut Creamy Chocolate, Biskut Lemon Puff, Biskut Square Puff, Biskut Cocoa Puff, Biskut Jagung Puff dan Biskut Campuran (Party) turut menghadapi tindakan yang sama, dan kementerian akan memantau dan memusnahkan mana-mana biskut itu jika masih berada di pasaran, katanya.

"Kami juga meminta mereka (Khong Guan dan Khian Guan) untuk menarik balik produk mereka yang lain secara sukarela sehingga ia mendapat kebenaran dari kementerian, dan mereka memberi kerjasama yang baik," katanya.

Liow berkata kementerian sedang mengenal pasti pengimport, pengedar dan pembekal 'ammonium bicarbonate' dari negara China, selain menjalankan pemeriksaan terhadap kilang biskut di seluruh negara dan jika terdapat 'ammonium bicarbonate' dari negara China digunakan, bahan serta biskut berkenaan akan disita dan sampel akan diambil bagi tujuan analisis.

Mengenai laporan CBC News semalam bahawa 'Julie's Crackers' yang diimport dari Malaysia telah dikesan mengandungi melamin melebihi tahap yang dibenarkan dan telah ditarik balik dari pasaran Taiwan, Liow berkata kementerian sedang menyiasat perkara itu.

Berkaitan laporan akhbar tempatan hari ini yang melaporkan bahawa susu pekat tawar jenama 'Mali' yang dikeluarkan syarikat Thailand mengandungi paras melamin yang tinggi, Liow berkata kementerian sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Thailand mengenai hal berkaitan.

"Kita nak pastikan bahawa produk ini masuk ke negara ini atau tidak, dan jika ya kita akan arahkan larangan untuk pastikan ia tidak masuk ke pasaran tempatan," katanya.

Sementara itu Liow berkata, 14 lagi sampel produk makanan yang dianalisis kementerian didapati mematuhi piawaian melamin yang ditetapkan, menjadikan keseluruhan jumlah produk yang diisytihar bebas melamin sehingga kini ialah 138.

Produk-produk itu ialah Amoy Flour Vermicilli (Shun Shun Fuk), Animal Biscuits Chocolate Cream Certified (ZQ), Coconut Biscuits (Bairong), Creamy Peanut Butter (Lady's Choice), Creamy Peanut Butter (Skippy), Crunchy Peanut Butter (Kinus), Durian Cream Biscuits (Sanwa), Magic Chew Candy (Cap Layang), Marsh Mellow Blueberry Flavour Candy (Ego), Marsh Mellow Grape Jam Candy (Ego), Magnum Mini Classic Vanilla Flavoured Ice Cream With Chocolate Coated (WALL's), Peanut Butter & Chocolate Rice Crisp (Lady's Choice), Peanut Butter & Strawberry Flavoured Stripes (Lady's Choice) dan Sesame Paste Cookies (C7OK), katanya.

Liow berkata kementerian juga sedang cuba meningkatkan keupayaan makmal supaya sebarang analisa dapat dibuat dengan lebih pantas, termasuk peningkatan dari segi jumlah makmal, jumlah pekerja dan peralatan.

Pada masa ini kementerian mempunyai 14 makmal di seluruh negara, dan usaha penambahbaikan sedang dijalankan supaya analisa produk makanan, sepertimana yang dilakukan berkaitan kes pencemaran melamin ini dapat dibuat dengan lebih intensif, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Widget by LinkWithin