Berita Harian:
Oleh Shamshul Azree Samshir
KATA SEPAKAT: Abdul Rashid (tengah), Musa dan Abdul Gani (kanan) berbincang selepas sidang media di Pusat Media SPR, semalam. |
Polis kesan cubaan tipu babitkan empat individu di tiga negeri
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penggunaan dakwat khas bagi menanda kuku atau jari pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu ini atas faktor perundangan, ketenteraman dan keselamatan awam.
Keputusan itu dibuat selepas SPR menerima laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung empat individu yang dikatakan sudah membeli dakwat khas dari luar negara untuk dicalit pada kuku pengundi sebelum hari pengundian.
Empat kes berasingan itu dilaporkan antara 16 hingga 21 Februari lalu, iaitu dua kes di Perlis serta masing-masing satu kes di Kedah dan Kelantan. Kes yang diklasifikasikan sebagai cubaan menipu oleh empat lelaki berusia antara 33 tahun hingga 40-an itu sedang disiasat polis.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata SPR memandang serius beberapa masalah undang-undang, ketenteraman dan keselamatan awam yang dikenal pasti boleh berlaku jika cadangan menggunakan dakwat khas dilaksanakan.
"Proses pengundian serta ketenteraman dan keselamatan awam tidak boleh sekali-kali dikompromi. SPR amat dukacita atas keputusan yang dibuat ini.
"Namun begitu, demi menunaikan kewajipan dan tanggungjawabnya dalam menjamin kelancaran proses pengundian, dan demi ketenteraman dan keselamatan awam, SPR perlu mengambil keputusan tegas dan muktamad ini," katanya pada sidang media di Pusat Media SPR di sini, semalam.
Turut hadir, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Musa berkata, siasatan awal polis mendapati pihak yang terbabit cuba menimbulkan kekeliruan ketika pilihan raya ini dan disebabkan itu polis menghantar laporan kepada (SPR) bagi mereka menimbangkan penggunaannya, Sabtu ini.
"Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai cubaan menipu dan Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan sedang menyiasat," katanya.
SPR sebelum ini mengumumkan cadangan menggunakan dakwat khas dari India itu untuk menanda kuku atau jari pengundi bagi mengelak penipuan pada pilihan raya umum. Tanda dakwat itu bagaimanapun tidak terpakai bagi pengundi pos yang perlu membuat pelbagai pengisytiharan bagi menentukan kesahihannya.
Tanda dakwat berwarna hitam yang membabitkan kos kurang RM1 juta itu bertujuan memuaskan hati semua pihak berikutan pelbagai desakan oleh parti politik selepas pilihan raya umum 2004, supaya SPR menyekat perbuatan yang dianggap sebagai penipuan dalam proses pengundian.
Abdul Rashid berkata, kegiatan itu (mengecat kuku) dikesan berlaku terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.
"Mereka ini mungkin dianggap sebagai telah mengundi apabila datang pada hari pengundian. Selain itu, kemungkinan ada pengundi yang terpedaya itu tidak keluar mengundi kerana takut dianggap telah melakukan kesalahan.
"Jika pengundi itu hadir mengundi, sudah tentu akan timbul keraguan di kalangan ejen calon dan petugas SPR mengenai status mereka. Ini boleh menyebabkan tercetusnya kekecohan di tempat mengundi yang mungkin sukar dikawal jika berlaku secara berleluasa," katanya.
Beliau berkata, pembatalan itu juga disebabkan peruntukan undang-undang perlu digubal bagi mengadakan peruntukan yang membenarkan pengundi yang kukunya dicalit dan pengundi yang enggan berbuat demikian, diberikan kertas undi.
Jika tanda dakwat itu hendak diperkenalkan, ia tidak boleh menjejaskan hak pengundi untuk mengundi selaras Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang bermakna hak pemilih berdaftar tidak boleh dinafikan kecuali jika pemilih berdaftar itu hilang kelayakan untuk mengundi mengikut undang-undang.
"Peruntukan undang-undang yang perlu digubal didapati tidak akan mencapai maksud asal SPR memperkenalkan penggunaan tanda dakwat itu. Berdasarkan cadangan asalnya, seseorang yang kukunya telah dicalit dengan dakwat tidak boleh diberi kertas undi.
"Dari sudut praktiknya, jika SPR masih perlu memberikan kertas undi kepada pengundi sedemikian, kaedah tersebut tidak akan membawa makna atau memberi kesan positif, malah berpotensi besar menimbulkan perselisihan faham serta pertengkaran dan pergaduhan di tempat mengundi," katanya.
Batal celup dakwat, Rashid perlu letak jawatan !
Wan Nordin Wan Yaacob Wed | Mar 05, 08 | 8:22:48 am MYT | |
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Hrkh) - Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat celup jari semasa hari pembuangan undi 8 Mac ini disifatkan sebagai langkah untuk menyelamatkan Barisan Nasional (BN) semata-mata. Dalam respon awal Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng mendesak Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul rahman yang sering dipertikai integritinya meletak jawatan segera berikutan pembatalan itu. Pengerusi SPR, membuat pengumuman tersebut dengan bersama-sama dengan Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan. DAP katanya mengecam keras tindakan itu kerana ia sekali lagi mengkhianati amanah rakyat, kerana SPR sebelum ini menyatakan bahawa badan itu benar-benar telus dan adil dalam mengendalikan proses pilihan raya. Namun segala kenyataan itu sebenarnya satu penipuan, selepas SPR sekali lagi membuat tindakan yang hanya akan memberi faedah besar kepada BN sahaja, kata Lim hari ini. "Pembatalan awal ini membayangkan bahawa SPR sebenarnya tidak ada komitmen untuk menjalankan proses pilihan raya di negara ini secara telus, adil dan wibawa," katanya. Beliau juga mengutuk alasan SPR berhubung pembatalan penggunaan dakwat itu di saat akhir, selain mempersoalkan pembaziran RM2 juta wang rakyat untuk membeli 47000 botol dakwat tersebut. Beliau seterusnya menggesa masyarakat negara ini serta antarabangsa mengutuk dan memprotes tindakan SPR ini yang hanya mengesahkan bahawa badan itu sebenarnya dipergunakan sebagai jentera memenangkan BN. Sementara itu Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) dalam satu kenyataan awal kepada penyokong berkata, berikutan dengan pengumuman SPR untuk membatalkan penggunaan dakwat kuku sebenter tadi, penyokong Bersih diminta bertenang. Tindakan Rashid mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat kuku empat hari sebelum hari mengundi dilihat sebagai satu unsur provokasi yang boleh membangkitkan kemarahan penyokong-penyokong parti pembangkang dan Bersih. Sebelum ini, Bersih mendapat laporan bahawa t-shirt badan itu telah dicetak sebanyak 2000 helai di Klang , Selangor oleh pihak yang disyaki penyokong BN. Baju berkenaan dikatakan akan digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan huru-hara yang boleh merosakkan imej pembangkang. Jesteru itu penyokong-penyokong Bersih diminta agar tidak terpengaruh dengan sebarang tindakan provokasi dan menunggu kenyataan rasmi daripada pimpinan Bersih. Cetak |