adsense

03 March, 2008

Najib di Kelantan; dari dua kacamata



BERITA HARIAN

Islam BN bukan sekadar slogan: Najib

Oleh Ismail Mat, Khairul Anuar Abd Samad, Wan Faizal Ismayatim dan Haspaizi Mohd Zain

BACHOK: Datuk Seri Najib Razak berkata, pembangunan Islam yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) mencakupi semua aspek kehidupan umatnya dan bukan sekadar slogan kosong seperti dilaungkan Pas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun BN dan Pas sama-sama mengamalkan Islam, pendekatan BN lebih realistik serta mampu memajukan ummah sehingga dihormati masyarakat antarabangsa.

"Memang BN dan Pas sama-sama mengamalkan Islam tetapi BN tidak mahu Islam itu semata-mata dilihat dari segi luaran dan akidah saja.


"Puak hijau yang di dalamnya kosong itu pun nak Islam, banyak bunyi Islam, sekadar slogan membangun bersama Islam tetapi segalanya kosong," katanya ketika merasmikan Bangunan Baru Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kawasan Tiga Daerah Pasir Puteh di sini, semalam.

Najib berkata, Islam bukan hanya membabitkan soal akidah dan akhlak, sebaliknya turut mencakupi perjuangan membina tamadun yang cemerlang dan hebat.

"Itu bezanya antara Umno dan Pas. Kita perjuangkan bukan saja Islam, tetapi martabat dan maruah umat Islam," katanya
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 2 pula, Najib berkata, Sheikhul Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi, memuji Malaysia yang disifatkan sebagai contoh negara Islam terbaik di dunia.

Beliau berkata, Sheikhul Al-Azhar juga mengiktiraf apa yang dilakukan kerajaan selama ini adalah mengikut al-Quran serta sunnah Rasulullah.

"Islam tidak suka umatnya mundur dan menolak kemajuan. Sebarang usaha kebajikan adalah kehendak Islam, menghapuskan kemiskinan juga Islam, malah menyediakan peluang pekerjaan, itu juga Islam. Jangan kita sempit pengertian Islam.

"Kalau Islam agama pembangunan dan kemajuan, tidak suka tengok umatnya mundur, hidup dalam kemiskinan, terhina serta dijajah orang lain, bukankah itu menjadi asas perjuangan Kerajaan BN selama ini," katanya.

Sehubungan itu, Najib yang mempunyai program padat sempena lawatannya ke negeri ini, berkata rakyat Kelantan tidak seharusnya menolak kemajuan dan perubahan yang mahu dibawa BN.

"Kenapa kita tidak mahu perubahan, sedangkan Islam adalah agama kemajuan, kejayaan, pembangunan dan kemakmuran dunia serta akhirat. Islam bukan agama yang membawa kemunduran kepada umatnya dan kerosakan kepada bumi ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri percaya selepas 18 tahun di bawah Pas, rakyat Kelantan kini semakin bersedia membuka minda dan menerima penerangan yang diberikan BN mengenai usaha membangunkan negeri ini.

Sambil mengarahkan seluruh jentera BN bekerja habis-habisan, Najib berkata: "Kini adalah masa terbaik untuk BN ambil alih Kelantan. Seluruh jentera BN perlu ketepikan soal remeh temeh. Mereka wajib sokong semua calon yang diputuskan parti."

Pada majlis peletakan batu asas Masjid Kubang Sawa dekat Pengkalan Kubor yang bernilai RM1.4 juta, lewat petang semalam, Najib juga mengingatkan rakyat Kelantan supaya tidak membiarkan Pas terus menyempitkan pengertian dan tafsiran Islam.

Katanya, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sudah menyatakan komitmen bagi memastikan semua janji dalam manifesto BN Kelantan akan dilaksanakan sebaik diberi mandat kali ini.

Beliau meminta seluruh pengundi Kelantan, termasuk di luar negeri ini, supaya mengundi BN bagi membolehkan perubahan dibuat ke arah Kelantan Baru, Kelantan Maju.

HARAKAH:

Apa dia teras 'Islam Realistik' yang dikatakan Najib?
Mat Zain Mat Isa
Mon | Mar 03, 08 | 8:57:58 am MYT

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Dato' Seri Najib Razak sekali lagi membuka mulut mengenai Islam. Walaupun beliau tahu perkara itu bukan bidang pengajian atau ruang lingkup pengkhususan ilmunya, Timbalan Perdana Menteri itu barangkali tidak mahu dilihat terlalu naif dalam hal-hal agama.

ImageApatah lagi apabila berkunjung ke Kelantan. Sebagai negeri yang diperintah sebuah parti pembangkang, apa yang ada di Kelantan sebolehnya akan cuba digambarkan sebagai tidak 'realistik' dengan perkembangan semasa.

Najib berada di Kelantan semalam (Ahad). Dalam ucapannya ketika berkempen di Pasir Puteh, dia cuba membandingkan Islam yang dilaksanakan kerajaan BN dengan Islam yang diterimapakai kerajaan Kelantan pimpinan PAS.

Kata Najib, BN lebih realistik dalam melaksanakan Islam. Sedangkan PAS melaksanakan Islam sekadar luaran dan lebih mementingkan akidah. Ada pun BN, kata dia, lebih mengutamakan kemajuan dan pembangunan negeri. Itu antara yang disebutkan beliau.

Kita tidak pasti sejauh manakah rakyat negara ini, khususnya di Kelantan, dapat menerima penilaian dan penegasan dibuat Najib itu. Apakah benar Islam dilaksanakan BN lebih realistik?

Persoalan itu sebenarnya tidak sukar diulas atau dibuat penilaian. Rakyat sudah tahu corak dan bentuk Islam diterimapakai BN sejak sekian lama. Rakyat juga sudah dapat melihat bentuk Islam yang diterap dan dilaksanakan PAS di Kelantan. Beza antara kedua-duanya boleh diperhalusi rakyat sendiri.

Untuk memudahkan keadaan, berikut disenaraikan semula beberapa prinsip asas atau teras pelaksanaan Islam oleh BN, yang dikatakan 'realistik' oleh Najib itu:

ImagePertama, bukan semua hukum, peraturan dan nilai Islam relevan dengan zaman sekarang. Pelaksanaan 'Islam Realistik' mestilah dibuat secara selektif. Apa-apa yang dirasakan sesuai dan menguntungkan BN, akan dilaksanakan. Mana yang menyusah atau merugikan kerajaan, perlu ditinggalkan.

Bank Islam adalah institusi kewangan berkonsep Islam. Ia aktiviti ekonomi yang menguntungkan negara. Universiti Islam boleh melonjakkan nama negara di mata dunia, terutama di kalangan negara-negara Islam. Ia boleh memberi mileage politik kepada BN.

Penghapusan riba dan arak pula bukan langkah bijak. Ia akan mengurangkan hasil negara. Justeru, walau pun hukum agama mengatakan ia haram, hukum itu perlu dikompromikan dengan keadaan ekonomi negara. Barulah Islam kita 'realistik'dengan zaman kini.

Kedua, wanita Islam tidak perlu menutup aurat. Para pemimpin wanita, terutama isteri-isteri kepada pemimpin utama negara, menteri, timbalan mahu pun ahli parlimen wanita tidak perlu 'dibungkus-bungkus'.

Para peneraju institusi utama negara, seperti naib-naib canselor institusi pendidikan, hakim dan majistret, peneraju sektor korporat dan lain-lain mesti berimej global (tanpa tudung).

Imej bertudung adalah kuno, tidak bertepatan dengan perkembangan zaman dan membatasi kebebasan bergerak. Ia sebenarnya tradisi Arab dan tidak ada kena-mengena dengan ajaran Islam. Wanita bertudung tidak realistik dengan perkembangan zaman.

Ketiga, ulama tidak boleh dijadikan pemimpin negara. Tempat ulama hanya di pondok, masjid dan madrasah. Kalau ada ulama yang berhasrat menyertai politik parti pemerintah, ulama itu mesti dengar cakap dan tunduk kepada arahan pemimpin.

Ulama mesti dipimpin, bukannya memimpin. Barulah mereka dianggap 'realistik' dengan keadaan semasa.

Andai ada ulama yang lantang memperbetulkan kerajaan atas prinsip dan hukum Islam, ulama itu mesti dipecat atau disingkirkan. Yang pegang jawatan dalam kerajaan mesti ditamatkan khidmat. Yang menjadi wakil rakyat mestilah digugurkan.

Ingat lagi apa jadi kepada bekas Mufti Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom dalam kes berhadapan tiga ratu cantik dulu? Apa pula rasional di sebalik pengguguran beberapa tokoh agama Umno sebagai calon pilihan raya kali ini?

Keempat, judi adalah sesuatu yang sangat sentimental dengan masyarakat negara. Jangan sekali-kali bercita-cita untuk mengharamkannya.

Membenarkan judi bererti kita meraikan keperluan rakyat bukan Islam. Judi juga menjadikan negara kita terkenal di dunia. Kita ada pusat judi tercanggih atau terbesar di rantau ini. Negara menjadi tumpuan 'tahi judi' antarabangsa walau pun Perdana Menteri kita Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Itulah 'Islam Realistik' namanya!

Menyediakan tempat judi ibarat keperluan menyediakan tandas. Jika tidak disediakan kemudahan untuk itu, orang ramai akan terpaksa membuang air merata tempat.

Bagi mengelakkan rakyat berjudi merata tempat, mereka perlu disediakan tempat khas. Logik 'bangang' itu pernah disebut seorang ulama Umno yang juga bekas Menteri Besar sebuah negeri.

Paling penting, judi memberikan hasil lumayan kepada negara. Ribuan juta hasil judi itu boleh dimanfaatkan untuk kemajuan dan pembangunan. Tengok Kelantan, betapa ia tidak maju dan tidak membangun apabila PAS tidak mendapat hasil daripada aktiviti judi. Sebab itu Islam dilaksanakan PAS, kata Najib, tidak realistik!

ImageKelima, 'Islam realistik' perlu membenarkan lelaki dan wanita bukan mahram bergaul secara bebas.

Contoh yang hidup di atas prinsip ini ialah apa yang dilakukan Imam Nombor Satu BN. Di satu ketika, dialah imam, dialah wali. Di ketika lain, dia pun peluk wanita, pimpin tangan, pegang bahu dan paut pinggang wanita bukan mahram.

Itulah mesra namanya. Islam begitulah yang dianuti BN. Itulah 'Islam Realistik' menurut pendirian Najib.

Prinsip ini tidak diterimapakai kerajaan Kelantan. Sebab itu Kelantan tidak maju. Menteri Besarnya, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz, tidak pernah pegang tangan wanita. Ustaz Nik Amar, Exconya juga tidak menunjukkan sikap mesra terhadap Maya Karin, pelakon yang berkunjung ke Kelantan beberapa bulan lalu. Sepatutnya Ustaz Nik Amar bersalam atau pegang tangan Maya, barulah nampak mesra, bukan?

Kelantan turut mengasingkan tempat duduk lelaki-wanita dalam majlis rasmi, perhimpunan dan seumpamanya. Ini juga tidak 'realistik', berdasarkan pendirian Najib itu.

Kelantan juga mewujudkan kaunter bayaran berasingan mengikut gender di pasaraya-pasaraya. Akibatnya semua gedung beli-belah di Kelantan lengang dan tidak dikunjungi pelanggan. Ia hanya menunggu masa untuk ditutup. (Ehem!)

Bagi memulihkan keadaan ini, Kelantan mesti diperintah BN. Hanya BN boleh melaksanakan Islam yang 'realistik'.

Keenam, apabila bertembung antara tuntutan agama dengan kepentingan politik atau negara, maka hukum agama perlu dikompromi. Kepentingan politik dan negara mesti diutamakan.

Kes Perhimpunan Agung Umno bertembung dengan solat Jumaat adalah contoh klasik betapa Islam diamalkan Umno sangat realistik. Mereka mengundi bagi menentukan sama ada ramai bersetuju mesyuarat diterus atau ditangguhkan untuk solat Jumaat.

Kes seorang perenang Malaysia menyeberangi Selat Inggeris beberapa tahun lalu juga satu contoh. Tidak mengapa meninggalkan solat fardhu kerana mengangkat nama negara di mata dunia. Itu fatwa penasihat agama kerajaan mengenai kes itu. Ulama macam ni lah contoh ulama realistik!

Ketujuh, maksiat adalah tanda kemajuan negara. Dalam keadaan tertentu, ia adalah penguji keimanan. Menutup tempat maksiat bukan sahaja tidak realistik dengan perkembangan zaman, bahkan turut menutup ruang umat Islam diuji keimanan mereka. Ia sekaligus menyebabkan lahirnya umat tidak kompeten dan tidak teruji.

Sebab itu ada pandangan mengatakan di antara sebab mengapa Kota Bharu tidak layak diiktiraf sebagai bandaraya ialah kerana ia belum cukup jumlah pusat maksiat. Lihatlah Kuala Terengganu, meski pun prasarana, perkembangan ekonomi, jumlah penduduk dan beberapa kriteria sosio-ekonomi lain jauh terkebelakang berbanding Kota Bharu, ia sudah boleh diiktiraf sebagai bandaraya.

Dalam dunia moden, penilaian kemajuan sesuatu tempat atau negeri diukur berdasarkan status bandar yang ada. Sudah tentu negeri yang ada bandaraya dianggap lebih maju dan ke hadapan berbanding negeri yang tiada bandaraya.

Jika rakyat Kelantan mahu Kota Bharu diiktiraf sebagai bandaraya, berilah peluang BN memerintah. Nescaya dalam masa singkat parti itu akan membuka pusat-pusat maksiat dengan banyak. Islam sebegitulah yang lebih 'realistik' dengan tuntutan kemajuan, sebagaimana diimpikan Najib dan BN.

Ada banyak lagi teras atau prinsip 'Islam Realistik' dilaksanakan BN. Penulis percaya para pembaca sendiri boleh menyenaraikannya lebih panjang.

Apa yang penting, bagi menentukan Islam yang tepat, umat Islam perlu mendalami al-Quran, menyelami hukum Tuhan.

Apakah kita perlu menggadai prinsip agama semata-mata untuk dilihat 'realistik' terhadap perkembangan zaman? Apakah kita tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan dunia semasa kiranya terus berpegang kepada Islam?

Jangan perjudikan masa depan agama. Rakyat negara ini, terutama di Kelantan jangan buat eksperimen dan cuba-cuba memilih BN, walau pun untuk satu penggal. Sekali negeri punah, amat sukar untuk diperbaikinya kembali.

6 comments:

Anonymous said...

TAKBIR...TAKBIR...TAKBIR!!!

Anonymous said...

aku xpaham sebab apa insuran motorsikal nek hampir sekali ganda tp xda makluman kepada rakyat plak..????kerajan mencekik la ke?

Anonymous said...

Alasan tuuu..Kelantan x maju..Buu,malunye..Nak tutup kesalahan..Tabur fitnah merata2,alasan banyak,kalo pas kalah tutup muka nik aziz pakai tudung.Kah2..Marah ke?Kah2..

Anonymous said...

hang kutuk nik aziz..celaka kau..

mrboo said...

tahniah najib bcoz anda telah dilantik sbg seorang pembohong besar kepada rakyat..taburlah pelbagai fitnah kerana anda akan tanggung semuanya d akhirat nanti..syabas betty

Anonymous said...

dh mmg x maju org ckpla.islam ajar org mengutuk org ker.x taula klu nik aziz 2 mmg arif dlm bidang ugama.professor or yg setaraf ker.x kn.korang yg hegeh2 label dia tggi.dia pn teruja lalu membuat fatwa sendiri.klaka la korang ni.klu bttla dia 2 btl,tuhan mesti tlgkn.tp........................................
pndi2 nilaila beb.orang sokong pas ader yg pkii seluar pendek,keluarga dia yg wanita x pki tdg pn(keluarga islam ok).mmg kelakar korang ni.meludah ke langit jatuh ke muka sendiri.hahaha

Blog Widget by LinkWithin