
Jaga keharmonian -- Pihak cetus ketegangan kaum  dikenakan tindakan tegas – PM
 Oleh HATA WAHARI dan SAIFULIZAM MOHAMAD
 KUALA LUMPUR 28 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari  ini memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap  pihak-pihak yang cuba mencetuskan ketegangan kaum.
 Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, apa yang dilakukan oleh pihak  terbabit boleh memporak-perandakan rakyat dan negara ini.
 Menurut Abdullah, negara boleh rosak sekiranya wujud golongan yang sengaja  mengeluarkan kenyataan melampau tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat pelbagai  kaum.
 ''Orang seperti ini langsung tidak fikir pasal kebaikan, perpaduan dan  sensitiviti orang lain.
 ''Saya sebenarnya tidak kisah mereka memberi pandangan tetapi jangan sampai  ia boleh memporak-perandakan rakyat dan negara,'' katanya selepas  mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Ibu Pejabat UMNO di  sini. 
 Beliau menambah: ''Jika apa yang mereka katakan itu melampau dan boleh  mencetuskan ketegangan kaum, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka.'' 
 Abdullah berkata demikian ketika ditanya mengenai kecenderungan sesetengah  pihak mengeluarkan kenyataan sensitif yang dikhuatiri boleh mencetuskan  ketegangan kaum jika tidak dibendung.
 Ketika diminta mengulas lanjut isu itu, Perdana Menteri memberitahu, golongan  tersebut memang wujud dan akan cuba melakukan apa sahaja asalkan matlamat mereka  tercapai.
 ''Mereka ini jenis manusia yang tiada kerja lain. Mereka hanya tahu bohong,  bohong dan terus berbohong,'' katanya. 
 Perdana Menteri berkata, kumpulan itu juga sering menyebarkan fitnah yang  sebenarnya boleh mencetuskan kemarahan rakyat.
 ''Dalam Islam, fitnah ini merupakan dosa paling besar dan Allah akan melaknat  mereka yang sengaja menyebarkan fitnah. 
 ''Namun begitu, mereka ini bukan manusia yang faham mengenai kesan buruk  akibat fitnah. Mereka tetap mahu melakukan kerja-kerja itu,'' jelasnya.
 Sambil memberikan contoh khabar angin kononnya berlaku rusuhan kaum di Johor,  beliau berkata, ia merupakan maklumat yang langsung tidak boleh dipercayai. 
 ''Mengarut... mengarut. Ini merupakan satu lagi cubaan orang yang sengaja  mahu menimbulkan satu isu yang boleh membuatkan rakyat rasa marah. 
 ''Mereka pada asalnya tidak berjaya mempengaruhi rakyat, dan kerana itu  mereka sengaja mengada-adakan terdapat ketegangan kaum di Johor. Ini semua satu  bentuk pembohongan,'' ujarnya.
 Menurut Abdullah, Malaysia dibentuk melalui satu nilai persefahaman yang jitu  antara kaum sejak lima dekad lalu dan hubungan baik itu harus dipelihara sampai  bila-bila.
 ''Sepanjang 50 tahun merdeka, kita telah menempuh hidup dengan rasa harmoni  dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Perasaan ini perlu terus dipupuk  dan dipelihara sepenuhnya,'' jelas beliau.
So sendrik mau ingat beb..