CAMP PENDLETON(California): Seorang askar Marin Amerika Syarikat semalam mengakui membuang air kecil ke atas satu daripada 24 mayat orang awam Iraq yang dibunuh unitnya dalam kejadian di Haditha, pada November 2005.
Sarjan Sanick Dela Cruz, yang mendapat kekebalan daripada pendakwaan selepas tuduhan melakukan pembunuhan ke atasnya digugurkan, memberi alasan tindakan biadapnya itu disebabkan rasa marahnya di atas kematian seorang rakan sepasukannya dalam letupan bom sebelum pembunuhan orang awam berkenaan.
Dela Cruz juga mengakui menyaksikan sendiri ketua unitnya menembak mati lima penduduk awam berkenaan yang menyerah diri.
Dalam keterangan penuh dramatik praperbicaraan bagi tujuh askar Marin yang disabitkan dengan pembunuhan kejam di Haditha dan merahsiakan fakta sebenar.
Dela Cruz mengemukakan bukti dalam pertuduhan ke atas Kapten Marin Randy Stone yang dituduh gagal menyiasat dengan sempurna kematian 24 warga Iraq terbabit.
Tuduhan itu adalah jenayah perang paling serius membabitkan askar Amerika sejak menceroboh Iraq pada 2003. Tiga askar Marin berdepan dakwaan melakukan pembunuhan, manakala empat lagi kerana menyembunyikan kejadian itu.
Dela Cruz turut menceritakan rasa marahnya selepas mayat rakannya, Lans Koperal Miguel Terrazas atau TJ, bersepai akibat letupan bom.
“Saya tahun tindakan (membuang air kecil) ke atas mayat itu sememangnya teruk. Tetapi saya melakukannya kerana terlalu geram dan marah di atas kematian TJ. Saya kencing di atas kepala seorang mangsa,” kata Dela Cruz dengan selamba tanpa memaparkan sebarang emosi di kamar mahkamah tentera di Camp Pendleton di utara San Diego, California.
Dela Cruz berkata, dia turut melihat ketua skuad, Sarjan Frank Wuterich menembak lima lelaki yang tangan mereka diikat ke sebuah kereta.
“Saya turut menembak lima lelaki berkenaan yang terbaring di tanah.”
Katanya, Wuterich menghampirinya dan memberitahu: “Jika sesiapa bertanya, katakan yang mangsa cuba lari dan terpaksa ditembak.” – Reuters
No comments:
Post a Comment