adsense

30 May, 2007

Isu Hangat: Ciri-Ciri Keruntuhan Bangsa



Hadith: Ciri-Ciri Keruntuhan Bangsa
Posted on Tuesday, May 29 @ 07:42:20 MYT by din-cryptos

Bicara Agama Oleh
Abu Syakir

Bermaksud : Dari Abdullah bin Umar ra katanya: Rasulullah saw datang berjumpa kami lalu baginda menyampaikan ucapannya: “ Wahai Kaum Muhajirin! Lima perkara, aku memohon perlindungan dengan Allah swt semoga kamu tidak sempat menimpa kamu; Tindak merebaknya perlakuan terkutuk ( zina ) dalam sesuatu bangsa sehingga mereka melakukannya secara terang-terangan melainkan merebak jualah taun dan wabak penyakit yang belum pernah berlaku kepada manusia terdahulu. Tidaklah mereka mengurangkan sukatan dan timbangan melainkan mereka dihukum dengan kelmarau panjang, kesempitan hidup dan kezaliman pemerintah. Tidak mereka menahan harta mereka dari mengeluarkan zakat melainkan mereka ditahan dari mendapat hujan dari langit. Kalau tidak kerana binatang ternak, pasti mereka tidak mendapat hujan. Tidaklah mereka membatalkan perjanjian Allah dan perjanjian rasulnya melainkan Allah menjadikan musuh dari kalangan orang luar menguasai (dan memerintahkan) mereka dan merampas sebahagian hak mereka. Tidaklah pemerintah-pemerintah di kalangan mereka memerintah tanpa berpandukan kitab Allah dan memilih-milih dalam melaksanakan perkara yang telah diperturunkan oleh Allah, melainkan Allah menjadikan kemusnahan mereka berlaku (kerana perbalahan) sesama mereka.

Pendahuluan:

Hadith ini antara bicara Rasulullah saw tentang fitnah ( huru-hara dan malapetaka ) yang menimpa umatnya selepas kewafatan baginda. Di atas sifat baginda sebagai rahmat kepada sekelian alam, tunjuk ajar dan panduan baginda bukan sahaja kepada sahabat sekelilingnya. Sebaliknya umat yang datang selepasnya juga mendapat rahmat dari tunjuk ajar dan panduan baginda saw.

Hadith ini memberi amaran malapetaka dan bala bencana yang menjadi hukuman dan balasan Allah kepada lima jenis pelakuan manusia. Salahlaku ini menjadi dosa dan kesalahan besar sehingga mengundang kemurkaan Allah lalu mengenakan hukuman cepat di dunia ini sebelum hukuman akhirat.

Kesalahan ini pula adalah berlaku secara berleluasa, terang-terangan dan tersebar luas dalam kelompok manusia sehingga tidak terkawal dan tidak pula mendapat bantahan. Seolah-olah ia dianggap perkara biasa yang tidak dianggap sebagai satu kesalahan.Kerana itulah, hukuman Allah juga sifatnya menyeluruh dan yang menerima akibat dan bencananya pula adalah masyarakat keseluruhannya.

Justeru, peringatan Rasulullah saw ini amat patut diberi renungan dan mendapat perhatian yang selayaknya demi memelihara kesejahteraan umat dan mengawal mereka dari perlakuan dan sikap yang boleh mengundang bahaya langit lantaran kemurkaan Allah swt. Apatah lagi setelah hadith ini membawa pembuktian mukjizat Rasulullah saw apabila perkara yang disebut oleh baginda ini benar-benar terjadi dan dapat ditonton dengan sejelas-jelasnya oleh kita pada hari ini.

Keterangan Hadith.

1. Perlakuan zina secara berleluasa mengundang penyakit yang tiada ubatnya.

Dalam kehidupan bermasyarakat, hubungan di atara golongan lelaki dan perempuan mestilah terkawal. Islam meletakan batasan dan sempadan yang jelas dalam hal ini. Zina adalah salahlaku sosial terbesar dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Islam bukan sahaja melarang pelakuan zina, bahkan menutup setiap pintu dan jalan yang membawa kepada zina. Perbualan, pandangan, pembacaan, tontonan, sentuhan dan langkahan yang mengerakkan nafsu untuk perlakuan maksiat ini adalah dosa dan dianggap zina kecil.

Zina yang berlaku secara tersembunyi adalah satu dosa besar bagi pelakunya yang memerlukan taubat yang bersungguh-sungguh. Namun apabila terbongkar maka di sinilah letaknya tanggungjawab masyarakat dan kerajaan Islam untuk membendungnya dan melaksanakan hukum Allah bagi kesalahan zina. Hukum Allah dalam perkara sangat jelas dalam perundangan jenayah syariah, iaitu 100 rotan bagi yang belum berkahwin dan rejam sehingga mati bagi yang telah berkahwin.

Dalam hadith ini, Nabi saw memberi amaran keras jika masyarakat Islam mengambil sikap tidak bertanggungjawab dengan membiarkan perlakuan terkutuk ini berlaku tanpa ditangani dengan hukum Allah swt. Allah maha berkuasa, meninggalkan hukum Allah sebenarnya mengundang hukuman dari Allah yang tidak diduga, iaitu penyakit baru yang belum wujud pernah wujud di masa lepas.Natijahnya, manusia tidak menemui ubat dan rawatan yang mampu merawat dan mencegah penyakit ini.

Dunia perubatan moden dikejutkan dengan penyakit yang dinamakan AIDS yang belum diketemui pencegahnya. Penyakit yang telah menyebabkan kematian jutaan manusia dan jutaan yang lain pula sedang terseksa dipaksa untuk bertarung dengan penyakit ini tanpa rawatan. Bagi umat Islam, kejadian ini sepatutnya menambahkan iman mereka kepada Allah dan RasulNya dan menimbulkan keinsafan untuk kembali kepada hukum Allah dalam kehihudapan mereka.

2. Penipuan dalam sukatan dan timbangan menyebabkan kelmarau panjang, kesempitan hidup dan kezaliman penguasa.

Lapangan perekonomian mendapat perhatian seadilnya di dalam sistem islam yang syumul. Ekonomi Islam tegak di atas sifat jujur dan amanah dalam hubungan sesama manusia. Peniaga yang jujur dan amanah dihimpun bersama para nabi dan siddiqin dan syuhada’ pada hari Qiamat. Peranan mereka yang sangat besar dalam membawa kebahagian kepada kehidupan dunia manusia dengan cara yang diredhai Allah melayakkan mereka dihimpunkan sebaris dengan manusia-manusia berbakti yang lain.

Penyakit manusia yang paling besar dalam urusan perniagaan ialah menipu untuk mendapat keuntungan lebih.Mereka yang melakukan penipuan mengharapkan kemewahan hidup, mula menghintung hari-hari mendatang yang senang lenang dan mula berkuasa dalam memenuhi segala kehendak dan keinginan. Tiba-tiba hukuman dari Allah kepada bangsa yang berleluasa di dalam penipuan ini ialah tahun-tahun bencana ( kelmarau yang berpanjang ) , kesukaran dalam mengharungi tekanan menyara kehidupan dan penindasan yang dilakukan oleh pemerintah yang rakus dan zalim.

3. Menahan harta dari zakat seperti menahan hujan dari langit.

Zakat menjadi rukun Islam yang paling besar dalam hubungan sesama manusia sebagaimana sembahyang adalah rukun paling besar dalam hubungan manusia dengan Alllah. Zakat diambil dari harta tertentu dalam kadar tertentu untuk golongan tertentu. Zakat menjadi syiar kehidupan bermasyarakat secara Islam yang menghendaki supaya mereka yang senang menolong yang susah, yang mampu membantu mereka yang kurang mampu. Ia lahir dari aqidah bahawa harta ini adalah milik Allah, Dia menguji sebahagian manusia dengan harta sebagai amanah. Maka Allah ingin melihat siapa di kalangan mereka yang boleh menunaikan amanah dan siapa pula yang terpedaya dengan harta benda.

Zakat melambang sifat rahmat, belas kasihan, bertanggngjawab dan mensyukuri nikmat Allah. Sebaliknya tidak mengeluarkan zakat pula adalah alamat sifat kedekut, mementingkan diri, kufur nikmat dan tidak mengambil tahu kesusahan orang lain. Dengan sebab itu, layak Allah menghukum bangsa yang tidak membudayakan zakat dan sedekah ini dengan tertahannya hujan dari langit. Hujan dari langit adalah rahmat dari Allah. Mereka yang hilang sifat rahmat kepada penduduk bumi, tidak layak mendapat rahmat Allah dari langit.

4. Tidak memelihara perjanjian dengan Allah dan Rasul mengundang musuh luar berkuasa.

Memelihara perjanjian dengan Allah dan Rasul ditafsirkan oleh ulama sebagai menghormati peraturan dan garis sempadan yang telah ditetapkan. Ia juga ditafsirkan sebagai menjaga wasiat dan pesanan Allah dan Rasul. Dengan kata lain, Memelihara perjanjian ini adalah dengan menghargai kemuliaan anugerah agama yang suci ( Islam ), kitab yang tinggi ( al Quran ) dan Sunnah yang ditinggal oleh Nabi saw.

Inilah kemuliaan jatiditi Islam yang membawa kepada kemenangan demi kemenangan yang diperolehi oleh generasi awal Islam. Mereka mengalahkan Rom dan Parsi dalam satu masa dan akhirnya membuka daerah pemerintahan sehingga ke Andalus di barat jauh dan ke Mindanao di timur jauh. Umar ibnu al Khattab memberi jawapan kepada dunia yang tertanya-tanya tentang kemenangan Islam yang luar biasa itu : “ Kami adalah bangsa yang diberi kemuliaan dengan Islam. Jika kami mencari kemuliaan lain dari kemuliaan yang dikurnia Allah ini, pasti kami akan dihina Allah ”.

Sebaliknya, apabila umat Islam mula merasa jemu dan tidak lagi berbangga dengan Islam, mereka akan mencari cara dan budaya hidup baru dari bangsa lain. Kita dapat melihat bagaimana umat Islam mutakhir ini memilih isme-isme dari barat dan timur sebagai cara hidup moden mereka yang dianggap mampu mendatangkan kemajuan dan kebahagian. Akhirnya berlaku apa yang diberi amaran oleh Rasulullah saw iaitu mereka hidup terjajah dan terbelenggu oleh kuasa luar yang mencipta isme-isme ini ( yang merupakan agama-agama baru ) untuk kepentingan mereka. Umat Islam terpaksa berkiblatkan kuasa-kuasa luar ini dan mengikut telunjuk mereka.

5. Tidak melaksanakan pemerintahan Islam menyebabkan kehancuran dari perpecahan sesama sendiri.

Jika Kehidupan ini ibarat bangunan, maka Islamlah asasnya dan pemerintahlah pengawalnya. Demikianlah kata-kata pujangga yang dinukilkan oleh al Imam al Ghazali bagi membayangkan besarnya tanggungjawab pemerintah bagi memelihara kepentingan hidup berteraskan Islam. Pemerintahan Islam melaksanakan amanah dan syariat Allah bagi menjamin keadilan dan kesaksamaan di kalangan rakyat jelata. Pemerintahan Islam juga menyelesaikan kemelut dan permasalahan yang timbul dengan hukum Allah. Hukum Allah sahajalah yang mampu membawa penyelesaian yang akhirnya memulangkan hak kepada yang berhak, menyembuhkan hati yang luka, menghiburkan mereka yang kecewa, dan memberi keadilan kepada yang teraniaya.

Memerintah tidak mengikut hukum dan syariat Allah sebenarnya mencabar kebijaksanaan Allah swt. Pemerintah yang membelakangkan peraturan Allah seolah-olah mendabik dada bahawa caranya lebih baik dari ketetapan Allah. Natijahnya sangat buruk; Permasalah tanpa penyelesaian, pengabaian hak, keadilan yang tidak terbela,kezaliman yang berleluasa, kekecewaan golongan yang teraniaya dan penindasan golongan lemah hina. Maka berlakulah apa yang disebut oleh Rasulullah saw di dalam hadith ini iaitu hukuman Allah yang menjadikan kisah kehacuran mereka adalah berlaku kerana perpecahan sesama mereka kerana timbulnya perasaan kecewa dan tidak puas hati.

Pengajaran hadith :

1. Menolak bala dari Allah dengan menghidupkan budaya menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam hidup. Tanpa budaya ini, manusia menjadi lalai dan maksiat menjadi berleluasa. Jika inilah yang berlaku,maka bala Allah boleh berlaku bila-bila masa dan bala tentera Allah berada di mana jua.

2. Hukuman Allah adalah dari jenis perbuatan manusia. Mengubat kemahuan nafsu dengan berzina mengakibatkan penyakit yang tiada ubatnya. Menipu untuk mendapat kemewahan membawa kepada kesempitan hidup. Menahan harta dari zakat akibatnya Allah menahan langit dari turunnya hujan. Mencari cara hidup lain dari Islam akhirnya terperangkap dalam penjajahan asing. Tidak menyelesaikan urusan mengikut peraturan Allah menatijahkan permasalahan tanpa penyelesaian.

3. Rahmat hidup berpandukan ajaran Islam. Rasulullah saw meninggalkan kita di atas landasan yang sangat jelas. Segala perkara telah diberitahu oleh Rasulullah saw. Bermula dari punca permasalahan, kesan dan natijahnya sehinggalah kepada jalan penyelaesaiannya. Terpulang kepada kitalah untuk menerima dan mengamalkannya. Tiada lagi hujah dan alasan kita di hadapan Allah

No comments:

Blog Widget by LinkWithin