Maslan Yusoh, Foto Rizal Tahir Mon | Oct 29, 07 | 7:24:49 pm MYT | |
KOTA BHARU, 29 Okt - Pertemuan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di pentas yang sama, begitu menarik perhatian rakyat Kelantan dan seluruh negara. Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menggunakan peluang pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu menarik perhatian Perdana Menteri bagi memastikan anugerah minyak dan gas yang diberi Allah Taala dimanfaatkan rakyat tempatan. Menteri Besar Kelantan itu berkata, kita jangan mengsia-sia atau terlepas pandang terhadap nikmat gas dan minyak diberi Allah Taala di perairan negeri ini. "Jangan dibiarkan ia hanya dihirupkan oleh amir-amir politik sahaja, sedangkan rezeki yang dikurniakan itu sepatutnya turut dinikmati rakyat. "Kalau kita tidak sempurnakan sekarang, ia akan disempurnakan oleh Allah Taala di akhirat kelak. Oleh itu gas dan minyak perlu didaratkan di Pantai Senok," katanya ketika berucap pada pelancaran ECER di Wakaf Mek Zainab di sini petang ini. Ribuan hadir menyaksikan majlis penuh bersejarah itu apabila khemah besar yang disediakan penuh sesak dengan kebanjiran orang ramai. Ramai lelaki berkopiah dan muslimah hadir. Kehadiran tersebut jauh mengatasi jumlah orang ramai semasa Abdullah Ahmad Badawi meletak batu asas pembinaan jambatan Sultan Yahya kedua pada Ogos lalu. Turut hadir petang tadi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh, Menteri Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub, Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Effendi Norwawi. Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Aziz Shamsuddin, Speaker Dun Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Negara dan Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican. Ucapan berterus terang Tuan Guru Nik Abdul Aziz menarik perhatian orang ramai yang hadir sehingga mereka bertepuk tangan dan bersorak. Katanya juga sepanjang 17 tahun menjadi ketua kerajaan, pertemuan petang tadi mencatat satu sejarah apabila dapat duduk bersama dengan Perdana Menteri di atas satu pentas. "Petang ini saya berada di atas satu pentas dengan pemimpin negara. Ada manisnya kalau perkara seperti ini berlaku sejak dahulu lagi. Penyatuan pentas yang gemilang menggantikan jalur hitam. "Ini menjadi satu detik bersejarah bagi menjalinkan kerjasama rapat di antara kerajaan negeri dan pusat," katanya yang berkali kali mendapat tepukan gemuruh ribuan yang hadir. Menteri Besar Kelantan juga melahirkan rasa kagum di atas keupayaan Perdana Menteri melancarkan tiga projek besar yang melibatkan banyak peruntukan. Menurutnya rakyat pun turut hairan dengan keupayaan kerajaan sekarang sehingga mempunyai peruntukan besar bagi menjayakan program pembangunan di tiga wilayah secara serentak. "Biar apa pun rakyat Kelantan bersyukur. Kerajaan negeri menerima segala pelan pembangunan yang dirancang tanpa sebarang perasaan curiga. Semua aspek telah diambil kira," katanya. Pada ucapan yang sama beliau berharap segala projek yang dirancang dilaksanakan dan tidak hanya tinggal janji semata-mata. Ketika berucap Tuan Guru Nik Abdul Aziz sempat menyelitkan beberapa rangkap pantun yang bermesej politik, sehingga Abdullah meminta perkara lama usah diingat semula. Perdana Menteri pula memberi jaminan tidak akan menyisihkan Kelantan daripada arus pembangunan seperti dinikmati negeri-negeri lain. "Saya tidak ada niat yang lain. Kita tidak toleh ke belakang lagi dan akan terus pandang ke hadapan. ECER dilaksanakan dengan harapan untuk membantu rakyat Kelantan," katanya. Terdapat 23 senarai projek dan anisiatif utama ECER di Kelantan termasuk pembinaan kampus tetap Universiti Malaysia Kelantan di Bachok dan Jeli, projek agropolitan di Gua Musang, taman perikanan di Tok Bali, halal hab di Pasir Mas dan lembah agro di Bachok. - mj/ mr |
ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
31 October, 2007
Nik Aziz hulur kerjasama, Abdullah janji tidak lagi membeza
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment