adsense

31 October, 2007

Pelaksanaan hukum syariah di Malaysia dalam dilema



Ali Bukhari Amir
Tue | Oct 30, 07 | 7:44:59 am MYT
Isu pelaksanaan hukum syariah mula mendapat tempat dalam akhbar perdana apabila kenyataan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz tersiar di sebuah akhabar - "Mansuhkan Common Law - Ketua Hakim Negara mahu sistem perundangan Inggeris digantikan sepenuhnya."
Kenyataan itu mengundang reaksi pelbagai sama ada dari sudut pelaksanaan dan kesesuaiannya dengan semasa.
Namun, dari sudut lain, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mempamerkan sikap berhati-hati ke atas idea penggunaan perundangan syariah itu walaupun memiliki latarbelakang pendidikan agama dan keturunan alim-ulama.
"Ia perlu dihalusi betul-betul,"kata Abdullah ketika mengulas syor Ahmad Fairuz supaya rujukan kepada Common Law dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara.
Antara hujah Ahmad Fairuz berhubung syor menggunakan undang-undang Islam ialah Common Law menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah.
Namun, yang turut menjadi persoalan dan bahan fikiran sesetengah pihak, adakah kerana tidak mahu kelihatan dijajah, maka Common Law mahu dimansuhkan? Bukankah hukum syariah itu dilaksanakan untuk mencari keadilan?
Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, dalam sebuah ucapannya di Institut Integriti Malaysia (IIM) berkata, hubungan ad-Deen dengan hukum-hakam Islam itu sangat rapat sekali.
"Malah, 'yaum ad-Deen' (Hari Agama) yang disebutkan dalam surah al-Fatihah itu menunjukkan bahawa umat manusia seluruhnya akan dihukum di Padang Mahsyar kelak. Jadi, ad-Deen Islam dan hukum itu sangat rapat," kata beliau.
Ahmad Fairuz dalam kenyataan yang lalu menyifatkan pengamal undang-undang sebagai 'katak di bawah tempurung penjajah' kerana gejala penggunaan Common Law tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.
Tambah beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa.
Di sudut lain, reaksi kaum bukan Melayu dan Non Muslim tidak begitu positif berhubung hal ini.
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, kerajaan perlu meneliti secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan untuk meminda atau menghapuskan sebarang undang-undang yang diguna pakai di negara ini yang telah terbukti berkesan.
"Common Law ialah pendekatan kehakiman secara adil di mana kalau masih tidak ada undang-undang untuk membuat penghakiman kita rujuk kepada keputusan yang pernah dibuat dahulu. "Walaupun undang-undang itu adalah contoh dari Britain dahulu, hakim kita (dalam membuat penghakiman) ambil kira keadaan dan nilai-nilai tempatan kita," kata beliau selepas mesyuarat agung tahunan Persidangan Perwakilan Gerakan Pulau Pinang sebelum ini.
Untuk tidak menambahkan lagi kekeliruan antara penganut agama dan orang Islam di negara ini, Koh, berkata, pendirian itu bukan bermakna parti itu tidak menghormati undang-undang Syariah.
Koh turut mengulas kenyataan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail bahawa sudah tiba masanya untuk semua pihak memikirkan sumber lain selain Common Law Inggeris bagi mendapatkan prinsip-prinsip keadilan.
Sementara itu, Presiden Teras dan Pengerusi Kongres Persidangan NGO Muslim Mohd Azmi Abdul Hamid dalam suatu kenyataannya mengenai isu ini, berkata pihaknya dan kumpulan NGO Muslim sedang berusaha melebarkan lagi debat mengenainya.
"Hal ini pernah berlaku dalam pengalaman rakan-rakan kita di Indonesia . Terdahulu, ada Piagam Jakarta yang dengan jelas menyebut mengenai pelaksanaan hukum syariah Islam dalam negara
"Ayat-ayat yang disusun tiba-tiba dipadam. Rupa-rupanya Sukarno mengguna alasan bahawa penganut Kristian tidak bersetuju untuk dimasukkan ayat tersebut. Kalau tidak, kumpulan itu mahu minta dipisahkan daripada Indonesia.
"Oleh itu," kata Mohd Azmi, "Sukarno menggunakan politiknya untuk berhelah bahawa hukum Islam itu akan laksanakan kemudian.
"Jadi apabila sudah termeterai perjanjian itu, kita lihat sampai sekarang Islam hukum itu tidak ditegakkan. Selepas Reformasi, aktivis Islam ungkit semula hal itu. Mereka kata, kenapa hukum Islam itu tidak dikembalikan sedangkan tuntutan itu semua adalah hak umat Islam?
"Ayat itu berbunyi, iaitu kewajipan pemerintah melaksanakan syariat Islam ke atas penganutnya. Jadi, ternyata hal itu tidak berlaku," kata beliau.
Sesetengah pihak berpendapat, kata Mohd Azmi, soal syariat yang mahu dimasukkan sebagai salah satu daripada undang-undang dasar itu bersifat teknikal.
"Mereka kata, yang lebih penting ialah sikap pemerintah yang menjiwai Islam itu sendiri. Itu yang lebih penting.
"Namun, saya melihat kita perlu bersetuju dengan usul sesetengah pihak yang menyatakan, bahawa apa pun ada baiknya peruntukan mengenai syariah itu dimasukkan kembali dalam undang-undang dasar itu," jelas beliau.
Persidangan antara Skima dan Kerajaan Kelantan te;ah berlangsung pada 27 hingga 28 Oktober ini bagi membincangkan masalah umat Islam di Malaysia secara keseluruhan. - mks.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin