adsense

28 June, 2008

Wakil pun boleh tuntut rebet tunai







Oleh SAHLIZAH MOHAMED
sahlizah.mohamed@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Pemilik kenderaan persendirian khususnya yang memperbaharui cukai jalan mulai 1 Jun lepas, boleh melantik wakil untuk menuntut rebat tunai fasa kedua mulai Selasa ini.

Bagaimanapun, pembayaran akan dibuat oleh Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dalam kiriman wang yang akan diposkan kepada pemilik.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, beberapa prosedur mesti dipatuhi oleh wakil tersebut iaitu membawa salinan MyKad sendiri serta pemilik kenderaan asal dan kemudiannya dikepilkan bersama borang Pos Akaun 1.

Katanya, individu itu juga perlu mempunyai maklumat terkini pihak yang diwakilkan seperti nombor telefon dan alamat pemilik kenderaan untuk diisikan ke dalam borang.

"Setelah lengkap diisi, bahagian bawah borang iaitu bahagian C perlu dikoyak sebagai rujukan pelanggan sebelum dimasukkan ke dalam kotak yang disediakan.

"Pelanggan yang tidak layak akan dihubungi oleh Pos Malaysia melalui telefon atau surat dan bagi mereka yang layak, kiriman wang berdaftar akan dihantar dalam tempoh tujuh hari bekerja,'' katanya pada sidang akhbar pengagihan rebat tunai fasa kedua untuk kenderaan persendirian di sini semalam.

Rebat RM625 diberikan kepada pemilik kenderaan sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip sehingga 2,500cc; dan RM150 kepada pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc yang memperharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dari tarikh 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

Tambah beliau, setakat 25 Jun lalu, sebanyak RM528 juta rebat tunai telah diagihkan kepada 1.2 juta pemilik kenderaan, iaitu mewakili 68 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Abu Huraira memberitahu, sebanyak 700,000 pemilik kenderaan yang layak menuntut rebat untuk fasa pertama bermula 12 Jun lalu, masih belum berbuat demikian.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin