adsense

28 June, 2008

MP berbasikal sebagai duta PM rasmikan gaya hidup berjimat








Adnan Ibrahim
Fri | Jun 27, 08 | 10:51:49 am MYT

Poi pokan naik basikal
tongah hari tongah paneh

Bait lagu nyanyian Ito Blues Gang bukanlah mengambarkan budaya berbasikal masyarakat kota masa kini tetapi sekurang-kurangnya ia memberi gambaran bahawa kesediaan empat Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berpeluh berbasikal ke sidang Dewan Rakyat.

ImageAhli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin, Tian Chua (Batu), N. Gobalakrisnan (Padang Serai) dan Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) dilaporkan masuk Malaysian Book of Record sebagai Ahli Parlimen pertama naik basikal ke Parlimen.

Tindakan keempat-empat mereka itu berbasikal ke Parlimen secara tidak langsung merasmikan upacara perasmian untuk melancarkan cara hidup berjimat yang lupa dirasmikan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru rakyat ubah gaya hidup.

Pada kebiasaan acara perasmian Perdana Menteri, akan menepung tawar, memotong riben, memandu jengkaut, traktor dan lain-lain tetapi kenapa dalam perkara besar untuk mengubah gaya hidup tidak diatur sedemikian rupa bagi memberi pendidikan kepada rakyat.

Sepatutnya berbasikal ke Parlimen dilaksanakan Abdullah bersama pemimpin kanan mereka untuk dijadikan acara perasmian sebaliknya telah didahulukan oleh empat Ahli Parlimen KeADILan yang seolah-olah bertindak sebagai duta Perdana Menteri bahkan dapat masuk dalam rekod.

Mereka yang dapat sanjungan ini, rupanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pula mengeji.

Beliau sifatkan perbuatan itu sebagai kebudak-budakan yang langsung tidak mencerminkan tahap keupayaan pemikiran anggota Parlimen.

Katanya, mereka cuba mencari publisiti murahan sedangkan sebagai anggota Parlimen banyak lagi tindakan lebih matang boleh dilakukan bagi membantu kerajaan berhadapan dengan fenomena kenaikan harga minyak global.

Bagi negara maju di Eropah dan negara membangun Asia Timur, berbasikal ke pejabat menjadi amalan yang sudah biasa dan bukanlah satu pandangan yang aib menggambarkan kehidupan peribadi miskin sebagaimana pandangan mata kasar rakyat Malaysia.

Sesungguhnya berbasikal di Malaysia memalukan seperti lagu Ito tadi berbasikal ke bandar kerana tidak berkemampuan disebabkan bekerja menorah getah. Sambungan daripada rangkap diatas tadi:

apo dayo motong gotah
apo nak dikato
kalau buleh nak jadi cikgu sekolah kek kolo pilah

Oleh yang demikian tindakan keempat-empat ahli parlimen tersebut boleh memecah kebuntuan penyakit keegoaan masyarakat supaya dapat melihat berbasikal itu bukan kerana kemiskinan tetapi merupakan jentera paling jimat masa kini dan tidak mencemarkan alam sekitar di samping melahirkan rakyat yang cergas dan sihat.

Bagaimanapun empat ahli parlimen itu belum berjaya untuk melahirkan matlamat sedemikian rupa walaupun sudah ada ke arah tersebut kerana mereka bukanlah pemimpin yang sepatutnya menjadi tauladan sebagaimana slogan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepimpinan melalui tauladan.

Bagi mencapai cita-cita berbasikal menjadi amalan, kerajaan sepatutnya kena bertindak terlebih dahulu, menjadi contoh kepada rakyat.

Mahligai Abdullah dengan bangunan Jabatan Perdana Menteri tidak berapa jauh. Abdullah boleh menunjukkan contoh suspen kepada kakitangan dan rakyat dengan tiba-tiba muncul berbasikal ke pejabat, sebagai langkah pengajaran.

Perbuatan tersebut tidak bermaksud menyuruh Abdullah berbasikal setiap hari tetapi memadai beliau menjadikan amalan baik kerana sekurangnya Perdana Menteri dapat menjiwai rakyat bawahan yang miskin dan berbasikal.

Jika amalan tersebut berterusan bolehlah rakyat anugerahkan pemimpin berjiwa rakyat. Kalau dahulu beliau turun padang dikatakan berjiwa rakyat tetapi ia tidak lebih daripada lakonan seperti berlakon naik basikal tadi.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin