adsense

16 May, 2007

Isu Hangat: Mazidul ambil dadah?

Pengacara TV3 dituduh ambil pil khayal
Oleh HASNURUL MOHAMED

JOHOR BAHRU 14 Mei – Wartawan penyiaran TV3 yang juga bekas pengacara program penyiasatan 999, Mazidulakmal Sidek, 40, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyalahgunakan dadah jenis methamphetamine (pil khayal).

Mazidul didakwa di hadapan Majistret Rashidah Roslee bersama penerbit program 360 terbitan TV3, Fadzli Ramli, 40; rakannya, Johari Sarkon, 34 dan dua wanita iaitu Tumijah Adras, 34 serta Umaisyah Abd. Rahim, 25.

Kelima-lima tertuduh menghadapi tuduhan yang sama iaitu menyalahgunakan methamphetamine ketika ditangkap dalam satu serbuan polis di sebuah disko di Jalan Abdullah Tahir di sini kelmarin.

Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka iaitu Johari menghadapi tuduhan kedua kerana memiliki pil Eramin 5 ketika ditahan.

Ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, kesemua mereka mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Mazidul yang hadir di mahkamah dengan memakai kemeja T tanpa kolar berwarna coklat serta berseluar jean biru kelihatan bersahaja ketika tuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia dan Fadzli diwakili peguam bela A. Vimala manakala tiga lagi tertuduh iaitu Tumijah, Umaisyah dan Johari tidak diwakili peguam.

Rashidah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin. Majistret menetapkan kes itu dibicarakan mulai 24 September depan.

Mengikut pertuduhan, Mazidul yang beralamat di Petaling Jaya, Selangor didakwa telah memasukkan atau memberikan dadah berbahaya methamphetamine kepada diri sendiri.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 12 Mei 2007 kira-kira pukul 2.45 pagi di dalam sebuah bilik bernombor 88, Groove City Sdn. Bhd., Jalan Abdullah Tahir di sini.

Tertuduh ketiga, Johari yang juga didakwa atas tuduhan yang sama, turut didakwa atas satu lagi tuduhan berasingan memiliki pil Eramin 5.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Sementara itu, seorang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut ditahan di dalam bilik itu bersama pengacara TV3 itu turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret lain di sini.

Mohd. Nasir Jamil, 23, yang digantung tugas tinggal di Kuarters Depoh, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor dekat sini manakala Johari Mohamed, 34, pula bertugas sebagai anggota penguat kuasa JPJ.

Majistret Rashidah yang juga mendengar kes itu membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin setiap seorang. Perbicaraan juga ditetapkan pada tarikh 24 September depan.

Pendakwaan di kedua-dua mahkamah itu dikendalikan oleh pegawai pendakwa Cif Inspektor David Chong.



ape cite nie mazidul.. dalam 999 banyak mulut sangat... "korg nie takde mak bapak ke rempit sana sini nie?", " nak jadi ape korg nie isap dadah?"

pastu siap berlari masuk semak, kejar penagih sana sini... last2 die yang kantoi...hahhaa...

tapi betol ke die amik dadah?


No comments:

Blog Widget by LinkWithin