adsense

25 October, 2007

Cosmonout, Astronout, Coconout dan tiket naik Soyuz



Posted on Wednesday, October 24 @ 12:21:16 EST by reformis

Oleh Hishammuddin Rais

Saya masih di Tokyo. Hari ini 23 Oktober 2007, akhbar Japan Times telah melaporkan satu berita di muka 4 – First Malaysian in space back home with a bump – pulang kepala bengkak. Ini mungkin kerana semasa Soyuz mendarat berlaku sedikit kesilapan teknikal. Dalam berita yang sama dinyatakan juga bagaimana Malaysia membayar 23 juta dolar ‘duit tambang’ untuk menaiki Soyuz.

Juga dilaporkan kembali – ya beda bedoo - bagaimana coconout opps… angkasawan Malaysia dapat menumpang Soyuz kerana Najib Razak yang tidak ada bersangkutan apa-apa dengan Altantuya atau Ziana Zain telah bersetuju membeli 18 buah jet pejuang Sukhoi pada tahun 2003 dahulu dengan harga 900 juta dolar. (Jangan tuduh saya tidak patriotik – ini laporan dari akhbar Jepun).



Apa yang hendak saya tulis di sini bukan tentang terbunuhnya gadis dari Mongolia atau kenapa 6 orang pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan diberhentikan kerja. Ini kisah lama, kisah yang telah saya baca dari Laman Mahazalim – laman fitnah dan tohmah yang sudah lama gulung tikar.

Apa yang ingin saya timbulkan di sini ialah satu persoalan yang semakin sarat mencari jawapan: Apakah betul manusia telah sampai ke bulan? Apakah kita semua telah dikelentong oleh NASA?

(Saya menggunakan perkataan kelentong. Maaf kerana menggunakan perkataan ini. Ada pakar bahasa telah menghantar pesanan ringkas kepada saya dan menerangkan asal-usul perkataan kelentong ialah dari dua perkataan - Keling dan tong. Ini kerana awal dahulu ada orang Keling yang membeli botol dan tin kosong sebagai punca mata pencarian. Saya tidak tahu bagaimana dua perkataan ini dikahwinkan dan diberi makna yang baru. Seharusnya hamba Allah ini dinobatkan sebagai contoh insan kamil yang menjadi pemula konsep kitar semula.)

Laporan dan pungutan suara di Amerika Syarikat akhir-akhir ini telah menunjukkan hampir 20% rakyat Amerika tidak percaya yang manusia telah sampai ke bulan. Angka-angka peratus ini semakin bertambah kerana dengan munculnya teknologi baru, bukan sahaja rakyat Amerika tetapi kita juga dapat menyelidiki satu demi satu bingkai-bingkai filem, gambar dan imej-imej dari pasukan Apollo yang dikatakan telah menjejak kaki ke bulan.

Untuk memahami kes kelentong NASA ini maka kita wajib kembali melihat latar belakang di zaman kegilaan naik ke bulan. Sesudah perang dunia ke dua tamat Amerika Syarikat telah menculik puluhan saintis Jerman dan dibawa pulang ke Amerika untuk memulakan kajian ilmu roket. Ini kerana para saintis Jerman telah memiliki ilmu pengetahuan roket ketika membuat senjata roket untuk menyerang dan menawan Eropah di zaman Hitler. Pada ketika ini juga para saintis Russia telah memulakan ilmu kajian roket.

Pada 4hb Oktober 1957 Republik Soviet Sosialis (USSR) telah berjaya melancarkan roket Sputnik ke angkasa lepas. Amerika menjadi gempar kerana mereka kelihatan jauh ketinggalan dalam ilmu pelancaran roket ke angkasa lepas. Ini diikuti pula dengan satu lagi kejayaan USSR meroketkan Yuri Gagarin pada 12 April 1961. Yuri Gagarin adalah manusia pertama – insan sosialis - naik ke angkasa lepas.

Ketika Sputnik dan Yuri Gagari di angkasa lepas Perang Dingin sedang berlaku. Pertembungan Amerika Syarikat dan USSR cukup sengit. Perang Dingin ialah perang di mana dua sistem ekonomi – kapitalis dan sosialis – sedang bersaing hebat untuk membuktikan kekuatan masing-masing dan mencari pengaruh.

Sebagai jawapan, kekasih Marilyn Monreo, Presiden Kennedy telah mengeluarkan satu arahan kepada NASA dalam ucapannya kepada kedua-dua parti ahli-ahli Kongres pada 25hb May 1961. Kekasih Marilyn Monreo ini telah mengarahkan NASA untuk menghantar angkasawan Amerika ke bulan dan pulang ke dunia dalam masa satu dekad. Belanjawan sebanyak 40 bilion dolar telah diperuntukkan kepada projek – Moon Landing.

Pada 16 Julai 1969 Apollo 11 telah dilancarkan untuk menghantar 3 orang angkasawan Amerika ke bulan. Saya masih ingat lagi, empat hari kemudian pada petang 20 Julai 1969 saya telah ‘mencuri’ masuk ke rumah Chief Clerk, Malay College Kuala Kangsar untuk menonton TV hitam putih agar dapat melihat Neil Armstrong, Michael Collins dan Edward Aldrin Jr. menjejakkan kaki ke bulan. Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat detik bersejarah ini lari dari pandangan mata dan ingatan saya.

Pada petang itu saya dan mungkin juga seluruh warga dunia cukup kagum melihat teknologi Amerika. Saya tidak memiliki apa-apa syak wasangka terhadap projek Apollo. Saya juga belum lagi memahami apa itu Perang Dingin dan apa itu propaganda dan perang saraf.

Ini berlaku pada tahun 1969, hari ini pada tahun 2007, saya agak was-was dan semakin kurang yakin tentang apa yang saya lihat petang itu. Saya masih ingat lagi gambar-gambar kabur hitam putih pada ketika Neil Armstrong menjejakkan kakinya ke bulan. Hari ini dari apa yang telah saya baca dan ulang tonton ‘footage’ bersejarah ini sengaja di kaburkan oleh NASA kerana semua ini berlaku bukan di bulan tapi dalam studio di Area 51.

Area 51 adalah sebuah kawasan sulit di kawasan tandus Nevada Amerika di mana segala bentuk ‘kerja-kerja sulit penyelidikan’ tentera Amerika sedang dijalankan. Ini kawasan rahsia dan larangan. Sesiapa yang cuba menerbus masuk atau mengintip akan mati katak tanpa soal siasat.

Hari ini timbul satu persoalan dalam kepala saya kenapa USSR yang pertama ke angkasa lepas tetapi TIDAK berniat menghantar cosmonout mereka ke bulan? Dalam satu klip temubual dengan Boris Valentinovich Volinov bekas ketua cosmonout USSR, yang saya temui dalam uTube, saya diberitahu bahawa untuk sampai ke bulan roket-roket perlu melintasi apa yang dipanggil Van Allen Belt.

Setelah roket meninggalkan bumi sejauh 700 atau 10,000 kilometer maka roket ini akan memasuki wilayah besi berani Van Allen Belt yang dipenuhi dengan radioaktif. Jauh bulan dari dunia ialah 250,000 batu atau 385,000 kilometer. Apollo 11 setelah 4 hari bergerak pasti telah melintasi Van Allen Belt. Persoalan timbul hingga ke hari ini belum ditemui lagi alat kebal/kalis yang dapat mendinding bukan sahaja para angkasawan tetapi roket itu sendiri dari dicemari oleh bahan radioaktif. Kerana itu menurut Boris Valentonovich USSR tidak berani menghantar manusia ke bulan.

Hari ini, jika kita meng”google” tentang Apollo 11, maka kita akan dapat melihat video/gambar/imej tentang sejarah manusia naik ke bulan. Apa yang memeranjatkan saya ialah ada klip filem yang menunjukkan bagaimana bendera Amerika yang dicacakkan di atas bulan kelihatan berkibar-kibar. Bendera tidak mungkin berkibar kerana di bulan tiada udara. Lalu persoalan timbul - kenapa bendera berkibar-kibar? Apakah Apollo 11 itu dilakukan dalam studio di Area 51?

Banyak lagi perkara-perkara aneh yang menghakiskan keyakinan saya. Anak roket yang turun ke bulan itu seharusnya akan melahirkan lubang/crater yang agak besar kerana kuasa pembakaran enjin ketika mendarat turun dari atas ke bawah. Tidak pula dapat dilihat gumpalan tanah, batu batan atau debu-debu yang terkumpul membukit di sekeliling anak roket ini. Ini bertambah pelik jika semua debu telah bertaburan jauh kerana tekanan jana kuasa enjin, kenapa pula banyak jejak jejak dan tapak kasut angkasawan ini kelihatan dalam gambar-gambar yang dihantar ke bumi?

Tentang gambar-gambar ini lagi pelik dan memelikkan. Menurut Jan Lundberg yang menjadi Pengarah syarikat kamera Hasselblad untuk Space Project NASA 1966-1975, dia sendiri hairan bagaimana gambar-gambar yang lahir dari kamera ini kelihatan cantik dan dapat dibingkaikan seperti gambar iklan walhal kamera yang direkanya pada ketika itu tidak ada view finder dan hanya tersangkut di atas dada para angkasawan. Gambar-gambar hanya diambil secara rambang. Bayangkan betapa susahnya untuk mengambil gambar kerana jari-jari para angkasawan ini cukup besar dibungkus oleh sarung tangan.

Kelentong NASA ini menjadi lebih lawak lagi apabila AREA 51 telah dirakam curi oleh satelit USSR. Ada satu gambar gaung di Area 51 yang betul-betul sama bentuk dan rupanya dengan gambar gaung yang telah dirakamkan oleh para angkasawan Apollo di bulan.

Kita tidak perlu belajar di sekolah filem Universiti of Westminster untuk memahami bagaimana banyak pencahayaan filem dan gambar-gambar dari Angkasawan Apollo ini bukan hanya dari satu sumber – matahari. Gambar-gambar ini telah mendapat cahaya dari pelbagai sumber seperti kita membuat filem. Ini membuktikan naik ke bulan itu telah dirakamkan dalam studio.

Bill Kaysing yang pernah menjadi ketua pengarah bahagian penerbitan/penganalisis syarikat Rocketdyne pembuat roket Saturn V yang menaikkan angkasawan ke bulan tidak pernah percaya dari awal lagi bahawa manusia telah sampai ke bulan dengan Apollo 11. Menurut Kaysing selama 7 hari Apollo telah mengelilingi dunia dan pada hari kelapan mereka telah turun kembali ke bumi untuk disambut hebat.

Menurut Kaysing, pada ketika itu Amerika tidak memiliki teknologi untuk menghantar manusia naik ke bulan dan pulang dengan selamat. Satu perkara yang ditunjukkan oleh Kaysing ialah gambar anak roket yang telah berlabuh di bulan, ketika malam. Latar belakangnya ialah alam yang gelap gelita tanpa satu pun kerlipan bintang. Bintang yang seharunya bertaburan seperti kita melihat langit di waktu malam.

Semua gambar-gambar yang dikaji selidiki ini adalah gambar-gambar rasmi kerajaan Amerika dan gambar-gambar dalam laman-laman rasmi NASA sendiri. Justeru tidak timbul kes sama ada ini pita rakaman Lingam atau pita rakaman Fairuz.

Tulisan saya bukan untuk membuktikan bahawa coconout opps.... angkasawan kita tidak naik ke angkasa lepas. Memang Soyuz naik ke angkasa lepas. Tetapi apabila coconout ...opps... angkasawan kita dinaikkan kerana telah ada agenda tersuruk, sama seperti agenda Perang Dingin NASA yang berjaya mengelentong rakyat dunia dengan Apollo 11 naik ke bulan.

Rakyat Malaysia TIDAK diberitahu (nasib baik saya baca akhbar Jepun) bahawa rakyat Malaysia telah membayar tiket untuk naik Soyuz ke angkasa. Untuk tujuan apa? Ini samalah seperti naik Proton Saga ke Kutub Utara atau pergi mendaki gunung apa namanya....saya dah lupa. Semuanya adalah kelentong besar untuk agenda politik.

Semuanya kelentong ini TIDAK ada sangkut-paut dengan keilmuan sains jauh lagi dalam bidang teknologi. Teknologi kepala bana apa? Kita hanya membeli tiket untuk naik Soyuz. Ini samalah macam naik Bas Mini dan kemudian dalam bas ini kita buat panggilan telefon ke rumah. Bas buatan Jepun. Telefon bimbit buatan Sweden. Kutu berahak penyelidikan apa? Tidak percaya apa yang saya tulis sila saman akhbar Jepun.

Duit tiket 25 juta dolar dan 900 juta dolar itu beli jet pejuang ini mungkin termasuk atau tidak termasuk duit upah kangkang opps... upah si penterjemah Altantuya, hal ini saya tidak arif. Tetapi saya sedar jika duit ini tidak digunakan untuk membazir membeli jet pejuang pasti boleh digunakan untuk membangunkan bilik-bilik makmal yang lengkap dan canggih untuk sekolah-sekolah menengah di seluruh negara.

Neil Amstong telah berkelentong pada 20 Julai 1969 dengan kata-kata ‘satu jejak insan adalah satu loncatan besar untuk umat manusia’. Cukup indah bunyinya. Bagaimana pula dengan ini kata-kata pujangga ini - 457 juta ringgit duit komisen Sukhoi adalah loncatan besar untuk mendekatkan Najib kepada anak kunci simpanan duit Bank Negara

5 comments:

Anonymous said...

Amat bersetuju dengan apa yang saudara sampaikan di sini..saya bukan anti-pembangunan tetapi biarlah berpada-pada. bagi saya,dari menghantar cendawan..ops,angkasawan adalah lebih baik kalau digunakan fund tersebut untuk membangunkan fasiliti penyelidikan angkasa..logik ka,dari takde fasiliti tetiba negara bersemangat nak anto cendawan...silap lagi,angkasawan pastu heboh dok jaja kununnya buat penyelidikan untuk manusia..lagi satu,sapa yang memantau perbelanjaan yang di lakukan oleh kerajaan? kalau di rumah, mak bapak mesti tanya apa yang kita buat dengan setiap perbelanjaan...isk,nak cakap lebih pun tak guna sebab saya hanya insan kerdil..

Unknown said...

assalamualaikum/slm sejahtera,

rasanya tidak payahlah terlalu bersusah payah sangat mengambil elemen kelentong NASA itu yg telah lama orang tahu dan boleh tonton melalui channel NG. semata2 kerana "maklumat-maklumat yang fantastik tentang penipuan Amerika" itu semata2 untuk me"menarik"kan natijah tulisan anda. irrelevant to be honest!

saya kurang pasti sama ada sesuai atau tidak "program angkasawan" kita ini disamakan dengan penipuan NASA. pertama, kita jelas tidak menipu kerana kita benar2 ke angkasa... kedua, sekalipun sukar sbnrnya utk menafikan konsep "tiket" dalam "program angkasawan" ini, tetapi untuk mengandaikan ianya semata2 "perlancongan" atau "membazir" saya rasa kurang seswai kerana "angkasawan" kita juga ada melakukan penyelidikan dalam ekspedisi beliau. rujuklah archive utusan malaysia (link ini misalnya untuk maklumat lanjut > http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=1021&pub=utusan_malaysia&sec=dalam%5Fnegeri&pg=dn_02.htm&arc=hive) seandainya saudara-saudari sekalian sekadar mendengar komentar orang tanpa mahu menilai sendiri maklumat yang boleh dibaca. of course, saya juga kurang pasti kesahihan kajian ini, tp kalo benar ada kajian dilakukan adakah ini satu pembaziran semata2?? saya rasa tidak. barangkali kos mahal.. apa buleh buat, umat islam belum ada teknologi yang seumpama itu.

saya bukanlah seorang yang terlalu pintar seandainya ada org melibatkan isu agama dalam ekspedisi angkasa lepas ini. akan tetapi dari sudut tertentu sebenarnya saya rasa (sekadar pandangan peribadi saja ye ;))bukanlah suatu masalah yang serius jika umat Islam naik ke angkasa misalnya, sekurangnya2 ulama2 sedunia buleh mula menentukan hukum2 yang tidak jelas tentang hal ini. Sekurang2nya selepas ini seandai ada lagi umat Islam yg naik ke bulan sudah ada panduan yang jelas tentang hal ini. rujuk archive ini (http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=1023&pub=utusan_malaysia&sec=laporan%5Fkhas&pg=lk_04.htm&arc=hive)

kita umat Islam perlu ke naik ke angkasa, perlu melopor teknologi angkasa.. we have no choice. dan harga yang perlu dibayar barangkali mahal. sesungguhnya satelit2 amerika dan russia memenuhi ruang angkasa dan memerhati kita. lalu kita di mana dalam industri angkasa? apakah kita rela ketinggalan dalam teknologi ini yang tidak mustahil rasanya suatu hari nanti boleh digunakan untuk peperangan dan mengancam nyawa kita?? (siapa tahu? ;))

hmm.. sukar untuk menafikan isu "politik"(biarpun dalam tulisan ini sbnrnya :P)... tapi semata2 kerana "politik" kita membutakan mata tentang faedah2 yang ada dalam penerokaan teknologi angkasa, saya rasa kita ini akan jadi terlalu "sempit" dan terlalu "mementingkan diri" sebenarnya...

Tiada maaf dipinta, sekadar meluahkan pendapat seadanya. Seandainya ada pendapat yang lebih bagus, dengan rendah hati dan senyuman ikhlas sudi mendengar pandangan anda.

Wassalam...

stopwatch said...

aku rasa kajian yang dibuat tue mesti sebab perbezaan graviti kat angkasa dengan kat bumi. dan kalau hanya itu sebab kajian yang mereka buat di angkasa memang membazir rasanya.kat bumi pun ada bilik yang boleh tiru graviti macam kat angkasa, buat kat dalam tu je la.lagi jimat.kan..kan..

Anonymous said...

Pandangan saya kedua-duanya adalah penting dan perlu iaitu pembelian jet pejuang dan juga menghantar rakyat Malaysia ke angkasa lepas. Sebab-sebabnya adalah mudah. Kita perlukan senjata untuk mempertahankan diri. Contoh. Lihat Iraq, Somalia, Libya dan banyak lagi negara Islam yang keadaannya seperti lelaki mati pucuk. Tidak berupaya melawan. Kita pernah beli senjata dan dikenakan pelbagai syarat dan spesifikasinya tidak sehebat dengan barang yang sama dibeli dari Russia atau China. Teknologi angkasa lepas adalah penting untuk kemajuan manusia. Kita terpaksa menggunakan apa-apa kesempatan yang ada untuk mendapatkan teknologi itu. Namun yang pentingnya dari semua itu ialah penerimaan komisen atau rasuah yang menjadi-jadi di Malaysia. Saya bagi satu contoh. (Kalau tidak percaya saya peduli apa, sebab saya akan mati dulu sebelum negara ini hancur!!). Saya pernah terlibat dalam kerja pentadbiran memperoleh satu inventori pertahanan. Kerajaan telah berhasrat untuk membeli satu invetori pertahanan diatas keperluan tentera darat kerana penentang kerajaan telah mula menggunakan senjata yang lebih baik dari dahulu. Maka perolehan itu diberilah kepada seorang tua yang nak pencen dari ahli majlis mesyuarat. Inventori itu mahal. Oleh kerana yang nak gunakan inventori itu bukan anak cucunya, dia peduli apa. Kalau mati pun anak orang bukan anak dia. Janji 'masyuk'. Kemudian setelah diuji, inventori itu didapati tidak sesuai dengan iklim kita. Maka dibuat pula satu kontrak untuk penggubahsuaian. Keluar lagi belanja yang tidak sepatutnya. Walau apapun inventori itu tidak lama digunakan. Sedangkan helikopter Nuri yang dibeli lebih awal masih digunakan lagi hingga ke hari ini. Itu berlaku lebih kurang 30 tahun dahulu. Natijahya kalau 30 tahun dulu pembelian mustahak boleh diuruskan oleh kroni (kerana kroni pun nak hidup mewah sampai mati!!!!), takkan sekarang ni tidak dibuat sedemikian. Takkan tiba-tiba semuanya dah jadi alim. Tenguk batang hidung tahu. Kalau tak songlap macam mana tiba-tiba boleh jadi jutawan mercun (jutawan yang mengejutkanlah!). Jadi jawabnya selagi orang tak takut pada hari mati selagi itulah rasuah akan segar bugar dinegara ini ataupun rasuah hanya akan berhenti dari puak ini sehingga negara ini berpecahbelah dan ditakluk oleh negara lain macam Iraq. Janganlah masa depan anak cucu digadai dengan kain batik, atau bekalan air paip atau jalan raya dan ingat juga anak-anak yang keluar dari universiti atau kolej hampir semuanya berhutang. Itu semua (pembangunan) tetap dibuat oleh sesiapa juga yang memerintah, kalau tak percaya pergilah melawat ke Negeri China.

Anonymous said...

nama dah kalau niat tu jahat..jahat jugak la..

Blog Widget by LinkWithin