Seorang penceramah haji dalam satu penyampaiannya menyatakan bahawa apabila seseorang melontar di jamrah, dia hendaklah melontar dengan sekuat mungkin dan penuh kemarahan terhadap syaitan yang selalu menghasut kita. Menurutnya, ini kerana jemaah haji ketika itu sedang melontar syaitan yang berada di situ.
Para hadirin ada yang terfikir: Apakah syaitan yang begitu bijak menipu dan menghasut manusia menjadi begitu bodoh sehingga sanggup tunggu di jamrah-jamrah pada waktu haji untuk membiarkan diri mereka dilontar oleh jutaan manusia? Dia bertanya saya tentang kekeliruan itu. Saya berkata, syaitan memang jahat dan dilaknat, namun saya juga tidak fikir untuk mereka menunggu agar dilontar pada hari-hari haji. Saya rasa syaitan tidak sebodoh itu. Beliau kehairanan dengan jawapan saya. Dia bertanya kebingungan: Habis, apakah agama menceritakan sesuatu yang bohong? Saya katakan: Tidak! Tetapi ustaz itu yang cuba berfalsafah tentang ibadah tanpa merujuk kepada dalil dan akal yang waras.
Entah berapa banyak para penceramah yang 'sewaktu dengannya'. Jika penceramah berkenaan membaca dan memahami nas, tentu dia tidak membuat huraian seperti itu. Dalam hadis daripada Ibn 'Abbas, katanya: Pada pagi Hari 'Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-'Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: (Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. (Diriwayatkan oleh al-Nasa'i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani).
Nabi s.a.w. dalam hadis ini memuji Ibn 'Abbas kerana mengutip batu yang kecil kerana itu memadai. Tidak benarkan melampaui batas dengan mengutip batu-batu yang melebihi ukuran sepatutnya. Baginda juga mengingatkan bahawa rosaknya agama mereka yang terdahulu adalah kerana melampaui batasan yang diajar oleh para Rasul. Dalam erti kata lain, menokok tambah yang bukan-bukan merosakkan agama.
Jika batu-batu yang dilontar itu bertujuan melontar syaitan, tentu tidak memadai dengan anak-anak batu yang kecil. Dengan kefahaman yang salah ini jugalah sesetengah jemaah dari negara-negara tertentu melontar dengan batu atau bahan lain yang melebihi saiz yang disuruh. Akhirnya bukan syaitan yang sengsara tetapi jemaah lain yang cedera.
BACA ARTIKEL PENUH
No comments:
Post a Comment