adsense

22 November, 2007

Wahid Senario Menunaikan Haji





Alhamdulillah, isuhangat mengucapkan selamat berangkat dan selamat kembali. Semoga Wahid mendapat Haji yang Mabrur

KELANA JAYA: "Tak mungkin saya berhenti berlawak selepas ini sedangkan duit untuk mengerjakan haji ini pun diperoleh hasil berlawak dan pelbagai aktiviti seni lain yang sudah menjadi periuk nasi saya selama ini. Bagaimanapun, semua itu terserah pada takdir Ilahi," kata pelawak dan pengacara terkenal, Wahid Senario ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Wahid menyertai jemaah haji kumpulan ke-33 (KT33) yang berlepas ke Tanah Suci jam 5.13 petang semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dengan menaiki pesawat MH8028.

Beliau yang pergi menunaikan haji berseorangan mengaku tidak sabar untuk melihat Kaabah buat kali kedua selepas mengerjakan umrah tahun lalu dan bersyukur kerana terpilih menjadi antara jemaah haji tahun ini.

"Saya rasa terpanggil untuk menunaikan haji tahun ini selepas mengerjakan umrah tahun lalu. Memang menjadi impian semua orang Islam untuk ke tempat paling hebat dalam dunia itu dan saya tidak terkecuali.



"Selain itu, saya sangat berterima kasih kepada pihak Tabung Haji kerana memilih saya sebagai jemaah. Insya-Allah, jika ada rezeki lebih, saya bercadang membawa isteri dan ibu mentua pada musim haji akan datang," katanya yang kelihatan tenang dan ceria.

Ditanya perasaannya apabila mendapat tahu terpilih untuk mengerjakan haji tahun ini, Wahid berkata, beliau sangat gembira tetapi pada masa sama turut berasa sedih.

"Perasaan saya bercampur baur antara gembira dan sedih. Kalau boleh, saya ingin selamat (meninggal dunia) di sana, tapi dalam masa sama, ingin juga kembali ke tanah air. Pendek kata, sukar nak jelaskan perasaan saya ketika ini," katanya.

Di samping itu, beliau berharap tiada pihak yang cuba mempersoalkan pemergiannya ke Tanah Suci dengan mengumpat atau membuat pelbagai cerita negatif.

"Saya pergi untuk melaksanakan perintah Allah. Oleh itu, saya harap tiada yang membuat cerita yang bukan-bukan mengenai pemergian saya ini," katanya.

Sementara menanti giliran untuk melapor diri di kompleks itu, Wahid sempat melayan kerenah peminatnya di situ yang tidak putus-putus ingin bersalam dan mengucap selamat jalan kepadanya.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin