adsense

07 December, 2007

Lagi cerita NUBE dan Boikot Maybank



BOIKOT MAYBANK!!

Kekejaman Maybank Bhd…sebuah syarikat berhubung kait terus dengan kerajaan

Pekeliling No: 75/2007 26hb November 2007

SEMUA AHLI NUBE

Melalui Setiausaha Kehormat Cawangan-cawangan NUBE

Dalam beberapa minggu sahaja selepas penggantungan kerja pertama 11 orang, Maybank menggantung kerja 34 orang lagi pekerja Maybank, kesemuanya daripada cawangan utama (main branch) Pulau Pinang. Dan, hari ini, 26.11.2007 Deputy President/Chief Financial Officer (CFO), Dato’ Mohammed Hussein di dalam “Message” beliau sekali lagi mengelirukan warga Maybank. Beliau mendakwa penggantungan kerja tersebut adalah berdasarkan tindakan beberapa orang ahli yang tidak selaras dengan undang-undang (have not been in accordance with the law). Undang-undang siapa? Undang-undang Marshall Maybank!

CFO turut mendakwa bahawa ahli-ahli NUBE adalah tidak disahkan tidak boleh bekerja (They were not certified unfit to work). Ramai yang menganggap ini sebagai “berita terkini”. Adakah ini bermaksud bahawa apabila anda pergi berjumpa doktor anda MESTI secara automatik disahkan tidak boleh bekerja. Kalau CFO nak tipu pun, tipulah secara bijak, bukannya secara melawak.

Pada 3.11.2007, lebih 10,000 orang ahli NUBE telah berhimpun bersatu padu untuk kenaikan gaji sebanyak 30% dan Elaun Sara Hidup (COLA) di hadapan Menara Maybank. Pihak bank telah cuba sedaya upaya untuk menghentikan piket tersebut dengan pelbagai e-mel yang mengugutkan. Tidak ada satu pun yang berjaya! Piket Nasional Pertama tersebut begitu berjaya.

Maybank tidak dapat menerima hakikatnya. Dalam satu percubaan untuk menghancurkan semangat serta kecekalan hati ahli-ahli kami, bank terunggul di dalam negara hanya dapat memikirkan tindakan murah-murahan serta pengecut, pilih dan gantung kerja ahli-ahli yang tegar dulu. Ini akan menghalang pekerja-pekerja lain daripada menyertai apa-apa tindakan lebih lanjut di Maybank.

Di dalam undang-undang perindustrian, sebarang tuduhan yang dibuat terhadap seorang pekerja seharusnya dinyatakan secara khusus. Walaubagaimanapun, Maybank langsung tidak menghiraukan prinsip-prinsip keadilan asasi. Tuduhan-tuduhan remeh yang dibuat terhadap ahli-ahli kami adalah begitu luas dan terlalu umum. Selanjutnya, penggantungan kerja seseorang pekerja itu hanya dibuat apabila penyiasatan teliti perlu dilakukan dan kehadiran pekerja tersebut di tempat kerja akan menyulitkan penyiasatan tersebut. Di dalam perkara ini, tidak apa yang hendak disiasat namun ahli-ahli kami digantung kerja. Maybank dengan beraninya menggantung kerja ahli wanita yang kini cuti bersalin kerana melawat doktornya untuk pemeriksaan sebelum bersalin.

Malah sebelum pindaan undang-undang Buruh diwartakan, Maybank mengambil kesempatan undang-undang yang tidak diwartakan untuk mengantung kerja 45 orang ahli NUBE, dengan membuat tuduhan-tuduhan yang remeh.

Kenapa Maybank begitu berani? Jawapannya ternyata jelas. Maybank adalah sebuah syarikat yang berhubung kait terus dengan kerajaan. Adakah Kerajaan mengambil sebarang tindakan untuk menghalang kekejaman Maybank terhadap warga Malaysia . Jawapannya, tidak.

NUBE tidak akan mengambil ugutan berbentuk dengan begitu mudah. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn telah pun diberi satu nota supaya ugutan keras sebegini dihentikan. Sekiranya tidak ada tindakan yang diambil untuk menghentikan ugutan yang terang-terangan, NUBE akan memulakan siri Kempen Boikot Maybank.

Kita akan berbuat apa sahaja untuk mencapai tujuan melindungi hak ahli-ahli kita daripada majikan yang berniat jahat sedemikian yang bukan sahaja merompak pendapatan pekerjanya malah juga kehidupan mereka semata-mata untuk memenangkan ego mereka yang terjejas. Beribu-ribu ahli NUBE bersedia memberi sokongan teguh kepada seluruh warga Maybank. Perjuangan ini akan benar-benar menyakitkan Maybank.

One for all & all of one

Salam sejahtera

J SOLOMON

SETIAUSAHA AGUNG

S.k. Presiden/Bendahari Agung

JS/ak/cir. 75/2007

No comments:

Blog Widget by LinkWithin