adsense

19 December, 2007

Senator OKU pertama di Malaysia




Pada hari ini, Selasa, 18 Disember 2007, bertempat di Dewan Negara, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, Malaysia, telah tercatat suatu
sejarah yang tak mungkin
dapat dilupakan oleh semua orang kurang (kelainan) upaya di Malaysia. Loceng yang dibunyikan menandakan bermulanya sesi parlimen
hari ini di Dewan Negara
tepat jam 10:00 pagi membuka tirai catatan sejarah tersebut.

Sebaik sahaja Tuan Yang Dipertua Dewan Negara masuk dan mengambil tempat, doa pun dibaca oleh tuan setiausaha dalam keadaan semua
yang berada di dewan yang
mulia itu berdiri sambil mengaminkan.

Setelah selesai doa dibaca dan semua duduk, agenda pertama untuk sesi parlimen hari ini, iaitu angkat sumpah tiga orang senator yang
baru dilantik, terus
dimulakan.

Dua orang senator baru telah selesai mengangkat sumpah taat setia kepada kerajaan dan negara serta berjanji untuk mempertahankan
perlembagaan Malaysia.
Kini tinggal seorang senator lagi yang bakal melafaz ikrar dan sumpah taat setia beliau.

Akhirnya, masa yang ditunggu-tunggu pun tiba. Tuan setiausaha mengumumkan nama senator ketiga yang dilantik untuk berkhidmat selama
tiga tahun (maksimum)
-- Profesor Datuk Dr. Ismail Md Salleh! Seorang kurang upaya penglihatan yang sudah terkenal sejak lebih dua dekad yang lalu, Prof.
Datuk nampaknya telah
ditimpa tuah yang diiringi oleh tanggungjawab yang amat besar.

Prof. Datuk Dr. Ismail, dengan segala susah-payah dan sedaya-upayanya, melafazkan sumpah dan ikrar taat setia beliau. Dengan tangan
kanan yang biasa digunakan
untuk membaca braille diangkat separas bahu, tapak tangan dihalakan ke depan, layaknya seperti yang dilakukan oleh orang yang
berikrar, tangan kirinya
pula merayap-rayap membaca teks sumpah dan ikrar dalam tulisan braille, tersekat-sekat tetapi dengan penuh keharuan dan semangat
yang berkobar-kobar, lafaz
sumpah dan ikrar taat setia tersebut dilafazkan.

Lafaz sumpah dan ikrar taat setia seorang pemimpin dari kalangan orang kurang upaya akhirnya berkumandang juga di dewan tertinggi di
parlimen negara ini.
Terkabul juga keinginan dan cita-cita seluruh rakyat kurang upaya Malaysia untuk melihat ada di kalangan mereka yang diberi peluang
untuk berkumpul bersama-sama
para pemimpin lain dalam sebuah dewan yang mulia. Oh tuhan, tak tahu rasanya bagaimana caranya untuk kami mengucap dan menunjukkan
rasa syukur kami di
atas kurniamu yang terlalu besar ertinya buat komuniti OKU di Malaysia ini ...

Selesai sahaja sumpah dan ikrar dilafazkan, maka terdengarlah bunyi banyak sekali kamera dipetik berkali-kali, bagaikan semua
wartawan dan sesiapa sahaja
yang ada di situ tidak mahu melepaskan peluang mengambil gambar senator kurang upaya pertama di Malaysia ini sepuas-puasnya,
disusuli tepukan gemuruh para
senator di dewan yang mulia itu. Tidak terlalu berlebihan jika saya katakan bahawa di antara ketiga-tiga senator yang dilantik,
"senator buta" pertama
negara ini mendapat tepukan paling gemuruh dari para ahli Dewan Negara.

Orang-orang kurang upaya di negara ini mempunyai harapan dan cita-cita yang tinggi untuk melihat nasib mereka lebih terbela.
Harapan dan cita-cita yang
sudah sekian lama berputik itu akhirnya berbunga juga dengan perlantikan bersejarah ini. Dengan penerimaan watikah perlantikan ini,
maka Prof. Datuk telah
memberi isyarat supaya kita semua melangkah maju ke hadapan kerana perjuangan baru secara besar-besaran dan bermati-matian telah
bermula.

Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada Senator Profesor Datuk Dr. Ismail Md Salleh, "hero" orang kurang upaya Malaysia
kerana usaha gigih yang
tidak mengenal jemu serta kebijaksanaan beliau dalam pelbagai hal telah membawanya ke puncak kecemerlangan dan kegemilangan.
Marilah kita sama-sama berikan
sokongan yang padu dengan penuh semangat dan kesyukuran, agar segala cita-cita orang kurang upaya yang murni akan tercapai jua
akhirnya.

Secara peribadi, sokongan saya telah saya berikan sekian lama. Tetapi, kerusi barisan paling belakang dalam Dewan Negara yang saya
duduki sebentar tadi,
kalau bisa berbicara, akan menjadi saksi bahawa sokongan saya mulai hari ini terhadap perjuangan orang-orang kurang upaya yang arif
lagi bijaksana di Malaysia
ini untuk keamanan, keharmonian, kemajuan, kecemerlangan dan kegemilangan kita bersama sudah terpateri kukuh, takkan dapat
tergoyahkan lagi.

Hanya satu pendirian saya yang menjadi bekalan dalam perjuangan ini: tidak ada kenderaan yang mampu bergerak tanpa alat dan tenaga
secukupnya yang membantu
ia bergerak. Takkan mampu sebuah enjin menggerakkan sebuah kereta dengan lancar dan selamat kalau kenderaan itu tidak dipasang
rodanya yang sentiasa berada
dalam keadaan baik.

Ayuh, bangun OKU! MASA UNTUK BERJUANG!!!

Sekian, terima kasih.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin