Oleh Sazarina Shahrim
PETALING JAYA: Syed Shahir Syed Mohamed mengekalkan jawatan Presiden Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk penggal kedua selepas menewaskan, Mohamed Shafie BP Mammal pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali kesatuan itu, di sini, semalam.
Syed Shahir mengekalkan jawatannya dengan 278 undian, hanya 43 undi mengatasi Mohamed Shafie yang menyandang jawatan Timbalan Presiden sebelum ini.
Syed Shahir yang ditemui pemberita menganggap kemenangan itu sebagai tanggungjawab dalam melaksanakan tugas untuk kesejahteraan pekerja di Malaysia.
“Masih banyak yang perlu dilakukan seperti memperjuangkan gaji minuman RM900 untuk semua sektor dan pemberian elaun sara hidup (Cola),” katanya.
Mohamed Shafie yang memegang jawatan Timbalan sejak 14 tahun lalu pula menerima kekalahannya dengan terbuka dan tetap bersedia untuk memberi sumbangan secara tidak langsung kepada kesatuan.
Walaupun tewas, kebanyakan ‘orang kuat’ Mohamed Shafie berjaya memenangi 10 daripada 17 kerusi dipertandingkan, termasuk penyandang jawatan Setiausaha Agung, G Rajasekaran dan Timbalan Presiden, Mohd Khalid Atan.
G Rajasekaran mempertahankan jawatannya itu dengan 259 undi mengatasi pencabarnya Abdullah Sani Abdul Hamid dengan perbezaan empat undi, manakala Mohd Khalid jauh mengatasi P Maniam masing-masing dengan 301 undi dan 214 undi.
Persidangan ke-37 itu turut meluluskan dua resolusi mengenai pekerja asing dan gaji minuman.
MTUC menggesa kerajaan menggubal polisi yang lebih komprehensif dalam menangani masalah kebanjiran pekerja asing di negara ini, selain memansuhkan orang tengah atau ejen pengambilan pekerja asing.
Selain itu, kerajaan di minta menerima penetapan gaji minimum sebanyak RM900 bagi sektor swasta dan menuntut Cola sama dengan yang diterima pekerja awam.
No comments:
Post a Comment