adsense

15 April, 2008

Saya Tak Mahu Tinggal Parti Dalam Kelam Kabut, Kata Pak Lah




Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika sidang media selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri dengan anggota-anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Foto: Anuar Isman

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau mahu peralihan kuasa kepada penggantinya berjalan dalam keadaan lancar dan baik kerana ia sangat penting.

"(Penting peralihan) dalam keadaan baik supaya parti yang ditinggalkan berada dalam keadaan baik.

Saya tak mahu tinggalkan parti dalam keadaan kelam kabut.

"Saya kata pada (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) selamat maju jaya, itu masalah anda bukan masalah saya, tentu itu bukan caranya.

Takkan kita nak... tiba-tiba... mana Pak Lah? dia dah berhenti dah.

Itu bukanlah caranya," kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas perjumpaan dengan Anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat, Dewan-dewan Undangan Negeri Barisan Nasional di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari Isnin.

"Dulupun begitu juga, masa (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) hendak menyerahkan kuasa kepada saya pun begitu juga, jadi begitulah cara kami," katanya mengulas mengenai desakan kalangan Umno supaya berlaku peralihan kuasa kepada penggantinya.

Beliau berkata pelbagai pandangan diberikan kepadanya mengenai peralihan kuasa termasuk ada yang mahukan secepat mungkin, ada yang memberikan masa kepadanya. "Biarlah, saya dengar sahaja.

Saya ada dua telinga, saya bukan pekak. Dalam amalan demokrasi semua orang nak bercakap, apa boleh buat.

Kalau kita tutup mulut dia kata aa... ni tutup mulut, takut ni, tak bebas... nak cakap cakaplah," kata Presiden Umno itu.

Menjawab soalan mengenai peralihan kuasa itu, Abdullah berkata ia hanyalah pendapat sesetengah pihak dan bukannya akar umbi.

Mengenai mesyuarat dengan Umno Johor minggu lepas, beliau berkata jelas mereka memberi sokongan kepadanya sebagai Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada pemilihan parti Disember ini.

Selepas itu, katanya, beliau dan Najib akan berfikir mengenai hal-hal yang berkaitan dengan peralihan kuasa itu.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding sekiranya ada pertandingan kerusi presiden pada pemilihan Umno berkenaan, beliau berkata: "Kenapa pula saya tidak bertanding? Awak beritahu saya?"

Mengenai Umno bahagian yang mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), antaranya membincangkan kuota pencalonan bagi pemilihan Disember ini dan bagi membolehkan EGM peringkat pusat diadakan, beliau berkata sekiranya mereka hendak bermesyuarat mereka perlu mengikut peraturan.

Ditanya tentang kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Abdullah berkata: "Mereka boleh mengumumkan apa sahaja yang mereka mahu.

Mereka boleh kata apa sahaja. Keputusan adalah hak saya, orang boleh cakap apa sahaja yang mereka suka."

Rais dilaporkan berkata adalah menjadi hak anggota Umno untuk meminta Abdullah meletak jawatan atau mengumumkan pelan peralihan kuasa.

Semalam, Muhyiddin dipetik sebagai berkata parti itu akan hanyut dan tidak boleh bangkit lagi sekiranya tidak dilakukan perubahan segera terhadap pucuk pimpinan parti.

Sementara itu, Abdullah berkata beliau juga yakin anggota dewan rakyat Barisan Nasional akan patuh dan setia kepada parti berkenaan, walaupun pembangkang mendakwa adanya undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat kelak.

Sementara itu, Najib berkata perkara yang penting semasa proses peralihan kuasa ialah ia berlangsung dalam keadaan yang baik dan teratur.

"Apa juga berlaku Perdana Menteri akan berunding dengan saya apabila sampai masanya. Ini supaya parti kita tidak berlaku sebarang masalah dalam peralihan kuasa dan seterusnya kekuatan parti akan terus terjamin," katanya.

Najib berkata beliau bukanlah orang yang menentukan tempoh sebenar berapa lama proses peralihan kuasa itu akan berlaku.

"Bukan bagi saya untuk menentukannya (berapa lama). Perdana Menteri ada kebijaksanaan dalam menentukan masa dan caranya," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau diberi peluang memimpin parti, Najib berkata: "Saya hanya akan menjawab apabila tiba masanya".

Mengenai isu sabotaj yang berlaku pada pilihan raya umum baru-baru ini dalam kalangan parti komponen BN, beliau berkata isu itu perlu disiasat dengan fakta serta pertimbangan yang rasional sebelum diambil sebarang tindakan.

Beliau mengakui ada menerima laporan mengenainya.

"Kita mesti tunggu laporan dan berhati-hati dalam hal ini. Kita tidak boleh dengan mudah menuding jari pada mana-mana pemimpin (bahawa) dia melakukan sabotaj dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Widget by LinkWithin