adsense

18 April, 2008

Menangani serangan 'sampah' email



Salah satu bahan Internet yang boleh memasuki komputer tanpa diminta ialah e-mel sampah atau spam. Pengguna mungkin sedia maklum e-mel sampah ini mungkin meliputi tawaran yang 'menarik', seperti insurans, diskaun produk, dan bahan-bahan lain yang tidak pernah difikirkan. Biarpun, aktiviti ini sukar untuk dihapuskan terus, namun gangguannya masih boleh dibendung dengan langkah-langkah berikut:

1. Memberi reaksi terhadap e-mel sampah, membolehkan pengiklan tahu bahawa anda adalah sasaran utama e-mel sampah yang lebih banyak. Pengiklan yang menghantar spam dalam format teks tiada cara bagi mengetahui samada penerimanya membuka dan membaca mesej mereka atau sebaliknya, kecuali mereka sendiri yang memberikan tindak balas. Apabila mesej format HTML dibuka, mesej itu menarik kod dari pelayan pebghantar spam, lalu menandakan alamat e-mel anda sebagai aktif.

2. Lebih selamat lagi, padam mesej sampah dalam in-box tanpa membukanya. Jika Outlook, Outlook Express, atau Netscape digunakan, matikan fungsi 'preview pane', agar kod spam HTML tidak ditarik apabila mesej dibuka. Bagi mengaktifkannya semula dalam Outlook, pergi ke menu View dan klik Preview Pane. Di dalam Outlook Express, pilih View, Layout, dan jangan tandakan Show Preview Pane. Dalam Netscape, klik anak panah pada Pane dan bahagian pra-tayang akan lenyap.

3. Penggunaan beberapa alamat e-mel boleh membebaskan in-box utama daripada spam. Sesetengah ISP menyediakan antara 5 hingga 7 akaun e-mel, begitu juga khidmat e-mel percuma berasaskan Web. Pengguna boleh mendaftar alamat tambahan di tapaknya, kemudian mengarahkan program e-mel agar memindah terima e-mel dalam semua akaun secara serentak. Jika e-mel tambahan ISP tidak mahu dibazirkan, gunakanlah akaun percuma berasaskan Web seperti Hotmail atau Yahoo!

4. Pemilikan alamat tambahan boleh membebaskan alamat utama (diperiksa beberapa kali setiap hari, digunakan untuk perutusan penting dan hampir bebas spam). Jadikan ia eksklusif, kongsi dengan orang yang dikenali sahaja (sahabat, rakan niaga, dan ahli keluarga). Jangan berikan alamat e-mel utama di tapak Web, borang tinjauan, pengkalan data, atau bilik sembang. Jika alamat utama hanya diguna untuk urusan peribadi dan perniagaan, potensinya jatuh ke tangan orang lain amatlah kecil.

5. Adakalanya pengguna boleh membendung ancaman spam jika alamat e-mel mereka menggunakan gabungan huruf dan angka, seperti "nama2002anda@hotmail.com." Langkah menambahkan angka pada alamat mungkin menyebabkan penghantar spam sukar meneka kombinasi dengan nama yang biasa digunakan. Malah, khidmat e-mel seperti Hotmail dan Yahoo! membolehkan anda memilih alamat e-mel yang memasuki in-box secara manual sebagai usaha membendung kemasukan spam.

6. Jika anda terlewat mengambil langkah untuk melindungi alamat e-mel utama dan ia terus terdedah kepada ancaman spam, maka lebih baik mendaftar akaun baru. Kemudian, anda beritahu kepada rakan dan jangan dedahkannya kepada orang lain. Biarpun proses pertukaran alamat e-mel tersebut sedikit menyulitkan, namun kesulitan pertukaran ini hanya bersifat sementara. Bahkan, alamat baru biasanya menyediakan ruang in-box yang lebih teratur dan ruang yang cukup untuk mesej penting.

7. Sediakan juga alamat 'khusus' untuk 'mengumpan serangan spam' dan alternatif dapat melindungi alamat utama anda. Gunakan alamat alternatif ini ketika anda mendaftar di mana-mana tapak Web, memasuki bilik-bilik sembang, atau mengepos mesej-mesej ke dalam senarai perbincangan atau kumpulan berita. Meskipun alamat alternatif ini disediakan untuk e-mel sampah, tetapi ia perlulah disemak sekali-sekala bagi memadamkan semua spam dan memastikan akaun e-mel sentiasa aktif.

8. Jika akaun spam dimanfaatkan, anda boleh meyemak akaun utama beberapa kali sehari, manakala akaun spam mungkin hanya seminggu sekali. Meskipun begitu, alamat e-mel ketiga mungkin juga diperlukan jika membeli belah dalam talian atau melanggan surat berita melalui e-mel. Surat ini boleh disimpan di dalam kekotak selain daripada e-mel peribadi dan perniagaan. Program Outlook misalnya boleh ditetapkan untuk memfailkan e-mel secara automatik mengikut alamat ditentukan.

9. Anda boleh mengelolakan e-mel dari akaun beli belah dan surat berita ke dalam sebuah folder, dan mel dari akaun spam ke dalam folder lain. Selepas itu, biarkan baki e-mel masuk ke dalam in-box. Semak atau abaikan folder lain mengikut keselesaan anda. Jika anda hanya memiliki satu alamat e-mel, penapisan mesej masih boleh dibuat. Contohnya, program e-mel seperti Outlook dan Hotmail boleh ditetapkan untuk menerima alamat tertentu dan menghalang alamat yang lain (seperti spam).

10. Arahkan perisian e-mel supaya memadam alamat tertentu secara automatik, atau memfailkan e-mel yang telah tidak tentukan alamatnya secara automatik. Perisian e-mel juga boleh memfailkan e-mel secara automatik ke dalam folder spam jika subjeknya ada perkataan tertentu seperti 'skim cepat kaya'. Selain itu, perisian seperti Outlook 2003 boleh mewarnakan kod mesej dalam in-box yang disyaki spam. Jadi, proses pengimbasan boleh dipercepatkan dan proses pemadaman juga mudah.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin