adsense

23 April, 2008

Filem tempatan hina Islam




Jimadie Shah Othman | Apr 21, 08 8:35pm



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dicadang mengeluarkan garis panduan penapisan filem agar produk seni itu tidak menggugat akidah umat Islam.

Dalam memorandumnya kepada Kementerian Dalam Negeri hari ini, Pemuda PAS turut mencadangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menasihati pengamal filem agar tidak mengeluarkan filem-filem yang menghina agama.

Timbalan ketua pergerakan itu Nasrudin Hassan menamakan Akhirat yang ditayangkan bulan lalu sebagai filem "yang begitu jelas menghina Islam."

"Filem Akhirat jelas menjadikan adegan zina, minum arak dan berhibur secara keterlaluan itu sebagai sesuatu yang biasa dalam masyarakat kita," katanya.

"Konsep penggantungan sepenuhnya kepada Tuhan tidak dicerminkan di dalam filem ini, malah dialog bebal juga menyalahkan Tuhan amat keterlaluan.

"Ada juga adegan cium leher, peluk, belai-membelai, gesel-menggesel (lelaki dan perempuan) tidak dapat mencerminkan tajuk Akhirat itu sendiri."

Filem arahan Syed Mohamed Hassan Benyahya - dibintangi oleh, antaranya, pelakon-pelakon terkenal Vanidah Imran, Tony Eusoff, Nabila Huda Suhaimi, Adi Putra dan Jins Samsuddin - ditayangkan di pawagan mulai 20 Mac.

Ia mengisahkan kesengsaraan seorang wanita yang menghidap HIV tetapi merahsiakannya daripada semua orang, termasuk suaminya sendiri, sehingga menimbulkan konflik di dalam dirinya.

Selain filem tempatan itu, Pemuda PAS juga membantah sekeras-kerasnya tindakan KDN meluluskan siri drama televisyen 'telenovela' Latin yang dianggapnya berunsur lucah.


"Dewan Pemuda PAS melihat filem-filem tersebut sebagai bahan yang akan merosakkan minda rakyat dan juga menghancurkan budaya tempatan.

"Pemuda PAS juga melihat bahawa filem-filem yang berbentuk tahyul, keterlaluan ini semakin berleluasa dan ia salah di sisi agama serta bukannya (sebahagian) daripada budaya kita," kata Nasrudin.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin