adsense

03 April, 2008

Mufti Perlis gesa TV3 lapor adil



Fathi Aris Omar | Apr 2, 08 11:43pm

Mufti Perlis yang semakin meningkat namanya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mengutus surat kepada stesen TV3 dan menggesa ia melaporkan secara adil sesuatu perkembangan politik.

Dalam suratnya bertarikh 27 Mac kepada stesen itu, mufti muda itu menegaskan semua media, termasuk akhbar dan internet, harus membuat liputan yang adil di tengah-tengah senario baru politik selepas pilihanraya umum 8 Mac.


"Jauhi unsur-unsur prasangka dan provokatif.

"Janganlah kita mengulas secara negatif setiap berita pihak yang kita tidak bersetuju dengannya," surat beliau dipetik, salinannya dimuatkan di blognya Minda Mufti (www.drmaza.com).

"Kebencian, (rasa) tidak puas hati dan permusuhan ke atas seseorang, atau sesuatu golongan tidaklah membolehkan kita membuat laporan yang tidak adil terhadap mereka," tambahnya lagi dengan mengutip surah al-Maidah ayat 8.

Ayat al-Quran itu, antaranya, memberikan peringatan kepada umat Islam agar "hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan."

Menurut blog Dr Mohd Asri, surat bertajuk "Keperluan Berita Yang Sahih Lagi Bersih Dari Sebarang Provokasi" dialamatkan kepada penerbit Buletin Utama TV3, program berita sejam yang berpengaruh besar di stesen tersebut.

Mufti itu, yang menulis kolum mingguan di akhbar Utusan Malaysia, juga berpesan: "Jika tidak, para penyiar akan menjadi sumber fasik yang membawa berita bohong, atau melaga-lagakan antara manusia.
"Sifat amanah dan telus dalam penyiaran berita adalah dituntut oleh agama dan menjadikan penyiarnya itu lebih berwibawa, dihormati dan mendapat kepercayaan umum."

Surat itu dipercayai sebagai mengulas trend laporan media cetak dan elektronik selepas lima negeri jatuh di tangan pembangkang, sementara BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Senario politik yang julung-julung kali wujud dalam sejarah negara ini - digelar "tsunami politik" - menimbulkan kejutan besar kepada semua pihak, termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang.

Sebelum itu, dalam tulisan lain di blognya, Dr Mohd Asri mengulas semua lima negeri tersebut kecuali Pulau Pinang.

Tentang Kedah, beliau berkata: "Pegangan 'siasah untuk maslahah ummah' amat penting agar tidak timbul sama sekali unsur politik membalas dendam.

"Kita berdoa agar prinsip-prinsip Islam yang damai, harmoni lagi adil dapat dikecapi oleh rakyat Kedah menerusi kerajaan mereka yang baru."

Mengulas kerajaan campuran PKR-DAP-PAS, doktor falsafah dalam bidang pengajian hadis itu berkata:

"Nampaknya tawaran-tawaran kerajaan baru Selangor mampu menzahirkan prinsip pemerintah mengutamakan rakyat seperti yang menjadi teras siasah dalam Islam.

"Kita amat berharap ketelusan dan kejujuran akan menjadikan mereka lebih unggul dibandingkan kerajaan sebelum ini."

Tegurannya kepada TV3 dan ulasan terbukanya tentang negeri-negeri yang dikuasai pembangkang tidak berlaku dalam sejarah institusi mufti di negara ini.


4 comments:

Anonymous said...

aku rasa harakah lagi la melaga-lagakan sesama umat.tuduh itu dan ini tanpa ada bukti.perkara yang baik dilakukan kerajaan mcm projek2 pun di putar belit jadi mcm projek tak baik.pendek kata dalam harakah semua memaki hamun dan ada yang fitnah,tuduhan penuh emosi dan sebagainya sehingga boleh menghasut orang agar membenci umno.malah mengkafirkan umno pun ada.sekurang2nya tv3 ada juga menyiarkan perkara2 seperti perlaksanaan tak sempurna oleh kerajaan.

Anonymous said...

pendek kata kalau fikiran kita kosong,tak memihak mana2 parti politik tapi selepas membaca harakah kita akan rasa nak belasah orang umno cukup2..bayangkan orang pas kata tak boleh msembahyang berimamkan org umno.apa diorang ingat umno tu kafir ker.kalau undi umno,ibadat tak diterima,berdosa,undi umno sama mcm undi orang kafir.astaghfirullah..kejam dan zalim oarng2 pas ini sampai sanggup mengkafirkan orang umo yang ternyata islam dan mengucap 2kalimah syahadah

S@Y@NGH@SNI said...

Alhamdulillah, akhirnya ada juga orang yang berpengaruh terbuka hati handak menegur stesen tv agar terbuka dan adil dalam melaporkan berita. selama ini saya cukup kesal dengan peranan MediaPrima sebagai stesen tv swasta. terlalu pro keranjaan hingga tergamak menutup mata telinga dan minda penonton dari memberitahu hal yang sebenar. semasa PRU12 lepas saya beralih arah ke stesen negara seberang untuk mendapatkan informasi semasa. rakyat Malaysia sekarang punya banyak alternatif lain untuk dapatkan sumber berita. itu yang kadang2 kita dapat sumber yang tidak benar. semuanya kerana stesen tv Malaysia tidak adil.

Anonymous said...

Assalamualaikum, saudara yang beri komen di no. 1 dan 2. Sepanjang ingatan saya, tajuk artikel ini adalah "Mufti Perlis gesa TV3 lapor adil", jadi tak tahu pula mana silapnya yang anda berdua mengaitkannya dengan PAS dan Harakah. Jika benarlah seperti yang anda dakwa, kenapa pula kelihatannya anda berdua seperti orang yang menyerang satu pihak yang anda musuhi? Apakah anda mengatakan tindakan Mufti itu salah dan andalah yang betul? Ataupun anda mengatakan yang anda lebih pandai dalam hal Agama daripada mufti tu? Oleh itu kesimpulannya apa yang mufti katakan itu salah, oleh itu tak payahlah nak ikut mufti lagi. Ini sebenarnya adalah sikap orang zaman Jahiliah yang bila mana mereka ditegur diatas kebenaran maka mereka mengeluarkan pelbagai dakwaan dan alasan dari menerima kebenaran. Mereka selalu merasakan yang mereka adalah betul dan akhirnya tergolonglah mereka dengan golongan orang-orang yang rugi.

Blog Widget by LinkWithin