adsense

23 April, 2007

Isu Hangat: Mana perginya tudung Salima?


Oleh: NIEZAM ABDULLAH

SALIMA (dua dari kiri) memegang watak Permaisuri Tanjung Karang dalam teater Rangkas Putera yang dipentaskan di Auditorium Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor, minggu lalu.
--------------------------------------------------------------------------------
Apa sudah jadi dengan bekas pelajar Akademi Fantasia Keempat (AF4) iaitu Salima? Sebelum ini dia begitu mempertahankan pendirian untuk tidak membuka tudung apatah lagi mendedahkan rambutnya kepada umum.

Sehinggakan gadis berusia 19 tahun ini turut kesal apabila pihak Astro menerusi program Fail Sulit AF telah menyiarkan gambar-gambarnya yang tidak bertudung ketika terlantar sakit selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya di Temerloh tidak lama dulu.

Kata Salima ketika itu, dia kesal apabila pihak Astro menayangkan gambar-gambar tersebut sedangkan dia telah melarangnya sejak awal lagi.

Jika dilihat daripada kenyataan itu, ia memperlihatkan Salima begitu mempertahankan soal rambut atau auratnya.

Beliau menganggap perkara itu adalah maruah diri dan penyiaran beberapa keping gambar di dalam program berkenaan ternyata mencabuli haknya sebagai gadis bertudung.

Bagaimanapun semasa pementasan teater Rangkas Putera di Auditorium Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 13 hingga 15 April lalu, ramai yang terkejut melihat penampilan terbaru Salima.

Gadis itu muncul dalam teater purbawara arahan Azmi Zainun tanpa memakai tudung dengan memegang watak Permaisuri Tanjung Karang.

Teater itu mengisahkan seorang bayi yang ditemui di sebuah rumpun buluh oleh sebuah keluarga diraja lalu dibesarkan dalam kehidupan istana.

Bayi yang diberi nama Rangkas Putera itu tidak membesar sebagaimana diharapkan sebaliknya telah mengganas dan merampas takhta keluarga angkatnya.

Tidak dinafikan persembahan Salima bersama Ifa Raziah dan Adlin (AF2) itu benar-benar memperlihatkan bakatnya dalam bidang teater. Tetapi persoalannya di manakah tudung Salima? Adakah kerana ingin memenuhi impian berlakon teater tersebut memaksa dia mencabuli pendiriannya selama ini?

Menurut Salima, dia sendiri sudah mengagak kemunculannya itu akan menimbulkan kontroversi terutamanya soal pemakaian tudung. Gadis bernama Nor Salima Habibi ini sebenarnya sudah bersiap sedia terhadap jawapan bagi persoalan yang bakal dibangkitkan itu.

Katanya, apa yang dilihat oleh penonton itu sekadar rambut palsu. Pada dasarnya Salima tidak menanggalkan tudung jauh sekali dengan sesuka hati ingin mempertontonkan rambutnya kepada umum.

Sebaliknya sebelum rambut palsu disarungkan di kepalanya, dia terlebih dahulu memakai anak tudung yang menutupi keseluruhan rambut asalnya.

Dia juga menganggap, tindakannya itu tidak salah dan bersedia berhadapan dengan apa juga persoalan yang akan dibangkitkan selepas ini.

‘‘Saya berpendapat dengan cara itu saya masih lagi tidak mendedahkan rambut saya kepada orang ramai. Saya masih menutup aurat kerana rambut asal ditutupi dengan anak tudung sebelum saya dipakaikan dengan rambut palsu,’’ katanya.

Menurut Salima, dia mendapat tawaran berlakon teater tersebut selepas diajak oleh Ifa Raziah beberapa bulan lalu.

Secara kebetulan Salima diminta untuk menggantikan watak orang lain yang tidak dapat turut serta di dalam pementasan berkenaan.

Bagaimanapun selepas perbincangan dengan pengarah teater itu, Salima bersetuju untuk memakai anak tudung bagi menghormati skrip teater tersebut.

Benar kata Salima itu tetapi cara tersebut hanya menutupi rambut sebaliknya bagaimana dengan bahagian telinga, leher dan dada yang masih terdedah?

Ini kerana imej beliau selama ini menutupi keseluruhan bahagian tersebut. Bagaimanapun Salima tetap mempertahankan pendiriannya untuk muncul di pentas teater itu.

‘‘Saya anggap tindakan saya itu tidak salah kerana masih menutupi rambut asal,’’ katanya. Gadis ini juga menolak langkah yang diambilnya itu semata-mata untuk meraih publisiti murahan.

Sebaliknya dia menganggap kemunculannya itu adalah untuk mempelbagaikan bakatnya dalam bidang seni.

‘‘Saya tak mahu berterusan menjadi penyanyi sebaliknya saya ingin mencuba bidang lain khususnya teater kerana minat saya dalam bidang tersebut bermula sejak di bangku sekolah lagi,’’ jelasnya.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin