adsense

30 April, 2007

Isu Hangat: Perkahwinan terhebat tahun ini!



Suami buruan polis

Oleh RASHIDI KARIM

KANGAR: Perkahwinan terhebat tahun ini! Itulah gambaran yang mungkin dapat diberikan kepada sepasang pengantin yang bernikah di Perlis baru-baru ini, dengan nilai hantaran RM999,999.99 iaitu kurang satu sen mencecah RM1 juta.



Nilai hantaran tertinggi yang mengatasi mana-mana perkahwinan selebriti atau VVIP di negara ini, diterima pengantin perempuan berusia 27 tahun apabila melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki berusia 49 tahun yang mendakwa dirinya usahawan dan juga anggota kerabat diraja Brunei pada malam 26 Februari lalu.

Majlis pernikahan mereka berlangsung di kediaman seorang pegawai kanan kerajaan negeri Perlis pada jam 9.30 malam, di depan jurunikah bertauliah berserta dua saksi.

Bapa pengantin perempuan, seorang bekas tentera berpangkat mejar berusia 55 tahun dan menetap di Pulau Pinang, turut hadir sebagai wali perempuan.

Bagaimanapun, pernikahan sensasi itu dijangka tidak kekal lama berikutan tindakan pengantin perempuan membuat tuntutan fasakh (penceraian) selepas menyedari ditipu suaminya yang kini ditahan polis.

Kes tuntutan penceraian pasangan RM999,999.99 itu akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Mei ini.

Sumber berkata, pengantin lelaki yang mempunyai seorang isteri, menyamar sebagai peguam dan mengaku dirinya anggota kerabat diraja Brunei.

“Mengikut syarak, pernikahan pasangan ini sah, bagaimanapun belanja hantaran RM999,999.99 dibayar dalam bentuk cek, siap dengan bingkai dan riben sekali.

“Selain mas kahwin RM132, pengantin lelaki turut menghadiahkan pemberian lain iaitu sebentuk cincin bernilai RM1,000.

“Pengantin perempuan yang berasal dari Pulau Pinang menggunakan alamat di Perlis untuk tujuan berkahwin dan majlis pernikahan dilakukan secara sederhana di rumah seorang pegawai kanan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, ketika perkahwinan dilangsungkan, wanita itu masih berstatus anak dara dan tidak menyedari suaminya penipu serta menjadi buruan polis.

Katanya, setakat ini tidak pasti sama ada cek wang hantaran belanja itu sudah ditunaikan atau sebaliknya, tetapi difahamkan pihak perempuan menghadapi masalah untuk menunaikan cek itu.

“Difahamkan, bapa wanita terbabit mengemukakan saman terhadap menantunya bagi menuntut wang hantaran sebanyak itu,” katanya.

Sumber itu berkata, pengantin perempuan juga terpaksa berdepan tuntutan bil bagi bayaran penginapan suaminya sebanyak RM7,000 daripada sebuah hotel di Alor Star, Kedah.

“Pihak perempuan tidak menyedari lelaki terbabit menggunakan namanya untuk menginap di sebuah hotel di Alor Star selama tiga bulan sejak Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata, pihak perempuan melantik seorang peguam bagi mengemukakan tuntutan fasakh ke atas suaminya dan kes mereka dijangka didengar di mahkamah syariah di sini, Mei ini.

Difahamkan, lelaki terbabit kini ditahan polis Klang, Selangor, bagi siasatan beberapa kes penipuan pada Mac lalu.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin