adsense

05 October, 2007

Teksi, bas desak naik tambang hingga 600%




03-10-2007 05:12:51 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PUTRAJAYA: Sebuah persatuan teksi meminta kerajaan menaikkan tambang sehingga 600 peratus, sementara persatuan bas pula menuntut kenaikan tambang sehingga 100 peratus.

Cadangan kenaikan melampau itu dibuat oleh persatuan-persatuan berkenaan kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang kini dalam proses menjalankan kajian terperinci mengenai industri kenderaan awam di negara ini.

Orang ramai bagaimanapun tidak perlu panik, kerana menurut pengerusi LPKP Datuk Markiman Kobiran, kerajaan tidak semestinya menerima bulat.

"Kita masih lagi dalam proses mengumpul maklumat mengenai industri ini, terutama mengenai peningkatan kos operasi, gaji minimum pemandu dan ciri-ciri keselamatan. Semua maklumat yang kita perolehi itu akan digunakan dalam menentukan kadar kenaikan tambang kelak.

"Jika segalanya berjalan lancar, kita akan dapat membuat keputusan yang sebaiknya pertengahan tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menutup kursus latihan semula pemandu bas sementara hari ini.

Markiman berkata, LPKP sedar mengenai perlunya kajian semula tambang kenderaan awam berikutan peningkatan tinggi kos operasi berpunca daripada kenaikan harga petrol, yang merupakan 60 peratus komponen operasi sesebuah syarikat kenderaan awam.

Bagaimanapun, katanya, penentuan kadar kenaikan itu memerlukan kajian lanjut bagi memastikan kepentingan semua pihak, terutama orang ramai.

Beliau juga berkata faktor penting yang akan diambil kira antaranya, tahap peningkatan kos operasi yang bertambah akibat kegiatan memajak dan menyewakan permit.

"Kita kira, jika semua bas menjalankan kegiatan sendiri, peningkatan kos tidaklah seberapa. Kita akan membuat pemantauan terhadap semua 186 syarikat bas ekspres tidak lama lagi bagi mengenal pasti syarikat yang menggunakan permit sewa.

"Permit yang disewa atau dipajak akan dibatalkan kerana kegiatan itu menyalahi undang-undang. Saya berpendapat mereka yang diberikan permit tetapi tidak mengusahakannya sendiri tidak layak berada dalam industri ini," tambahnya.

Markiman juga mengeluh tentang pelbagai kenyataan sinis yang terpaksa diterimanya sejak akhir-akhir ini apabila industri kenderaan awam mendapat perhatian orang ramai dan media berikutan kemalangan bas ekspres yang mengorbankan 22 penumpang di Bukit Gantang, Perak pada Ogos lalu.

"Malah, ada orang berkata, dahulu bas hanya terjun gaung, parit dan sungai, sekarang bas dah terjun ke laut. Bayangkan begitulah sinisnya kenyatan-kenyataan yang terpaksa saya terima sejak akhir-akhir ini," katanya, merujuk kejadian sebuah bas yang terbabas ke dalam laut Selat Tebrau di Stulang, Johor Baru minggu lalu.

Kemalangan itu menyebabkan dua terbunuh, sementara sembilan lagi cedera.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin