adsense

08 November, 2007

Abdullah Gul



Bersempena Aidil Fitri baru-baru ini Presiden Turki Abdullah Gul telah melangsungkan perkahwinan anak perempuannya Kubra Gul di Istanbul. Abdullah merupakan bekas Menteri Luar kerajaan AK pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan yang diketahui cenderung kepada ideologi Islam, sesuatu yang malangnya asing dalam Turki moden yang sekular sejak kemunculan Mustapha Kamal Atartuk.

Isteri Abdullah, merupakan isteri presiden yang pertama yang mengenakan pakaian menutup aurat, suatu amalan yang dikawal ketat oleh undang-undang dan peraturan Turki.

Kubra mencium tangan Abdullah diperhatikan oleh suaminya dan PM Erdogan

Namun kesungguhan Abdullah dan Perdana Menteri Erdogan melalui parti AK untuk memperkenalkan kembali Islam, di bumi yang telah menghapuskan saki-baki daulah Islamiah di zaman Mustapha Kamal itu, dilakukan dengan penuh cermat dan berhati-hati. Sesungguhnya kewibawaan dan ketokohan kedua-dua pemimpin ini, yang bersih dan berakhlak telah berjaya menawan hati majoriti rakyat Turki yang dahagakan kepimpinan seumpama itu.

Cuba kita lihat upacara perkahwinan anak Presiden ini. Menurut sebuah akhbar Turki majlis yang diadakan di Istanbul Preformance and Congress Centre itu telah dihadiri oleh lebih 4,500 orang tetamu. Tetapi atas arahan Abdullah majlis itu diadakan dalam keadaan serba sederhana.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh Datuk Bandar Istanbul Kadir Topbas dengan Perdana Menteri Erdogan dan bekas Speaker Parlimen Bulent Arinc sendiri bertindak sebagai saksi.

Abdullah telah mengarahkan agar tidak ada jambangan bunga diberikan sebagai hadiah. Jika ada juga yang berhajat berbuat demikian, mereka diminta menanam sebatang pokok di hutan simpan di Kayseri, iaitu kampung Abdullah dan menurut laporan telah lebih 1,000 batang pokok ditanam bagi tujuan itu. Dan menurut sebuah lagi laporan selain dari barang kemas yang dihadiahkan oleh ahli keluarga, kebanyakkan hadiah lain telah disedekahkan atas arahan Abdullah kepada keluarga anggota tentera Turki yang terkorban semasa menjalankan tugas.

Dan menurut sebuah lagi akhbar, Abdullah tiba ditempat upacara dengan menaiki kenderaan persendirian, bukannya kenderaan rasmi Presiden. Kata Abdullah beliau menghadiri majlis anaknya itu sebagai seorang bapa dan bukannya Presiden Turki.

Subahanallah demikianlah akhlak Presiden Turki, Abdullah Gul.

Dan sudah pastilah anak beliau dan hampir kesemua tetamu yang hadir di majlis tersebut berpakaian menutup aurat sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam. Begitulah kalau kita bersungguh mahu kembali kepada Islam, walaupun perlembagaan negaranya menjunjung sekularisma, namun cahaya Islam terus diketengahkan dengan berani dan penuh hikmah oleh para pejuangnya dengan harapan satu hari nanti rakyat Turki sendiri akan sedar dan bangun membawa perubahan menyeluruh.



1 comment:

Anonymous said...

aku pun senantiasa ternanti-nanti pada satu hari nanti dimana disitulah saat-saat indah ( itupun kalau masih hidup lagi didunia ini)
aku melihat isteri pemimpin Islam Hadari & the gang mengenakan pakaian yang menutop aurat saperti yang diwajibkan oleh Islam.

- rosli dayak

Blog Widget by LinkWithin