ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
08 November, 2007
Antara taukeh judi dan pejuang bangsa
MINGGU lalu negara kehilangan dua orang tokoh bergelar Tan Sri yang
kembali kepangkuan Ilahi. Pemergian kedua-dua tokoh tersebut
bagaikan sukar untuk dicari ganti. Patah bagaikan tidak tumbuh lagi,
hilangnya tak mungkin berganti. Namun hukum alam begitulah
kehendaknya, setiap awal ada akhir dan nokhtahnya, sebuah perjalnan
pasti berpenghujung jua.
Warna-warna kehidupan sejak azali lagi tetap dengan hukum karma,
tiada yang kekal kecuali Allah. Setiap kehidupan pasti menemui
kematian, semoga keinsafan menjelma di hati kita semua setiap hari
mendatang tidak pernah memanjangkan tempoh usia, sebaliknya setiap
detik dan saat diri semakin menghampiri saat kematian. Bak kata
pepatah "rumah semakin galak menyuruh pergi dan tanah kubur kian
ghairah menggamit kehadiran" insaflah, hidup tidak kekal selama-
lamanya.
Begitu juga dengan kuasa di tangan, ia bukan sesuatu yang kekal, ada
masanya penjawat jawatan tinggi bakal menemui zaman pencennya,
pemimpin juga turut bakal bersara atau dibersarakan sementara rakyat
tetap datang dan pergi. Jalanilah kehidupan dengan beramanah kerana
setiap jejak pemimpin ada tuntutan dan beban amanah terpikul di
bahunya.
Bercakap tentang kematian tokoh besar negara, kita kehilangan
mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, pedagang besi buruk yang berasal dari
pedalaman Yunan di China berjaya mencipta nama untuk
bergelar "taukeh judi" tersohor dan menduduki takhta antara orang
terkaya di Malaysia mahupun rantau Asia.
Sementara seorang lagi adalah pejuang bangsa, mantan Menteri Besar
Johor Darul Takzim, Tan Sri Osman Saat yang dikhabarkan sepanjang
kehidupannya terus berjuang demi survival bangsa dalam aroma
kemerdekaan. Pelbagai puji-pujian dari segenap lapisan masyarakat
terhadap keluhuran budi dan jasa Allahyarham Tan Sri Osman Saat
sepanjang menjalani kehidupannya sebagai pejuang bangsa.
Sebelum kembali ke rahmatullah, Allahyarham Tan Sri Osman Saat
terlantar selama beberapa bulan kerana mengidap sakit tua dan sakit
jantung. Semasa berada di atas katil menanti penuh sabar kehadiran
Sakratul Maut, tiada ramai tokoh-tokoh pemimpin negara melawat
Allahyarham, kalau ada pun bulan lalu mantan Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Ibrahim Ali pernah berkunjung
seperti dilaporkan dalam blog Tinta Merah kiriman Mohd Sayuti Omar.
Disamping itu Perdana Menteri sendiri berkali-kali ulang-alik antara
Kuala Lumpur dan Johor Bharu dalam aturcara lawatan kerja sama ada
rasmi atau sebaliknya, namun tiada kesempatan walau seminitpun untuk
bertanya khabar atau melawat Allahyarham Tan Sri Osman Saat di
rumahnya.
Satu ketika dahulu semasa dalam perjuangan Team B untuk
menggulingkan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri
Abdullah Ahmad Badawi adalah merupakan teman akrab kepada Tan Sri
Osman Saat. Begitulah adat dunia, teman ketawa ramai sementara
menangis seharusnya sendirian.
Berlainan pula dengan nasib mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, saat
pengkebumiannya, seluruh kaki judi dan para petugas karyawan di
bawah naungan Genting Berhad telah berkabung sehari suntuk sebagai
tanda bersedih atas kehilangan taukeh judi tersohor itu, malahan
Perdana Menteri sendiri turut meluangkan masa untuk memberikan
penghormatan terakhir.
Nasib yang dialami oleh Allahyarham Tan Sri Osman Saat adalah sama
seperti perginya tokoh hebat pejuang bangsa seperti Datuk Harun
Idris mantan Menteri Besar Selangor serta pimpinan tersohor
Pergerakan Pemuda Umno di mana tidak sampai seratus orang sudi
mengiringi jenazah Alahyarham ke tanah perkuburan.
Sewaktu jenazah Allahyarham Datuk Harun dibawa ke tanah perkuburan,
teman dan rakan yang sama berjuang bersamanya hingga berjaya menjadi
Menteri dan orang besar hilang entah kemana. Malahan Menteri Besar
Selangor sendiri tidak sudi menjadikan kepergian Datuk Harun sebagai
pengkebumian rasmi negeri seperti dilakukan oleh kerajaan Negeri
Sembilan di saat menerima berita kematian Tan Sri Abdul Samad Idris.
Jasa bakti Datuk Harun dilupakan begitu sahaja, kehilangan Tan Sri
Osman Saat sekadar dibalasungkawa dengan ungkapan penuh bunga-bunga
retorik seperti dilafazkan oleh Tun Musa Hitam yang menyifatkan
kehilangan Tan Sri Osman Saat bagai padamnya sebutir kilauan bintang
bagi negeri Johor, walaupun zaman gemilangnya kedua tokoh ini saling
tuduh-menuduh antara satu sama lain.
Lantaran itu saya teringat senikata lagu "selimut putih" yang pernah
didendangkan oleh kumpulan nasyid dari Indonesia di mana antara bait-
bait puitisnya diungkapkan: -
Bila Izrail datang memanggil
Seluruh tubuh akan menggigil
Sekujur badan kan kedinginan
Terkujur kaku di pembaringan
Tiada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara
Apa yang ada amalan kita
Itulah hanya pembela kita
Tinggal semua yang dikasihi
Berbakti lah hidup sepanjang masa…..
Dan kelmarin semasa mengiringi jenazah allahyarham abang saya Hj.
Kamal Ariffin Kamal Hijaz yang juga Pengerusi Tetap Umno Bahagian
Lumut, hati jadi lebih sayu kerana ramai kenalannya semasa hayat di
kandung badan tiada bersama.
Bagaimanapun terima kasih diucapkan kepada YB Datuk Dr. Zamberi
Abdul Kadir Exco kerajaan Perak merangkap Ketua Umno Lumut yang
bergegas datang berziarah, walaupun allahyarham tidak menyokongnya
namun, Dr. Zamberi tetap hadir atas ukhuwah persaudaraan sesama
Islam dan mengenang jasanya dalam perjuangan.
Dalam sendu mengiringi perpisahan tersebut terdetik juga di hati
kecil ini, apakah untung nasib kita di hari mendatang di saat-saat
jasad dibawa keperkuburan. Kalaupun sepanjang hayat harum namanya
sebagai pembela bangsa, namun mungkinkah ada kesudian pemimpin
datang menziarahi.
Namun begitu jika kita memiliki kekayaan melempah-ruah, walaupun
penghasilannya dari aktiviti perjudian, sudah pasti pemergian kita
bakal diratapi sama sebagaimana sudianya Abdullah Ahmad Badawi
pemimpin Islam Hadhari berkunjung memberikan penghormatan terakhir
kepada mendiang Tan Sri Lim Goh Tong. Untuk melawat atau menziarahi
Tan Sri Osman Saat walaupun terlantar uzur hinggalah jasadnya dibawa
ke liang lahad teramat suntuk masanya bagi seorang perdana menteri..
Lalu hati ini terfikir, jika beginilah situasinya, ternyata kematian
seorang taukeh judi lebih mulia daripada para pejuang bangsa. Kerana
itu seharusnya kita berusaha membina kekayaan biarpun dengan apa
cara sekalipun, pastinya kehilangan kita bakal dikenang dan
dimuliakan daripada mensia-siakan usia berjuang, terus berjuang dan
di akhirnya masa melihat kita salah untuk disisihkan….. Aduhai!
http://drmaza.com/artikel_pilihan/?p=3
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment