adsense

04 February, 2008

Kembar siam selamat dipisahkan



NUR BADRISHAH dan Nur Bahiyah sebelum dibedah baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Pasangan kembar siam yang bercantum di perut, Nur Badrishah Norhisyam dan Nur Bahiyah telah selamat dipisahkan pukul 3.45 petang semalam.

Bagaimanapun, sehingga pukul 6 petang, pembedahan ke atas mereka masih diteruskan dengan prosedur membaiki struktur kaki dijalankan oleh sepasukan enam pakar tulang.

Ibu mereka, Sopiah Daud, 30, mengakui beliau begitu berdebar-debar menantikan anaknya dipisahkan.

"Menurut doktor satu besi akan digunakan di bahagian bawah pinggang bagi membentuk kembali struktur tulang," katanya ketika ditemui di Hopital Kuala Lumpur, (HKL) semalam.

Beliau memberitahu, walaupun doktor memberitahu pembedahan tersebut tidak berisiko tinggi namun sebagai ibu, beliau tetap risau.

Pasangan kembar siam tersebut mula memasuki dewan bedah seawal 6.45 pagi.

Menurut bapa mereka pula, Norhisyam Mohamad, 30, pihak hospital memberitahunya bahawa anak kembarnya itu berada dalam keadaan baik.

"Sehingga kini (8 malam) mereka masih berada dalam bilik bedah," katanya.

Norhisyam memberitahu, selepas segalanya selamat, beliau sekeluarga mahu mengadakan majlis berendoi dan cukur jambul untuk mereka.

"Pihak HKL memberi kebenaran kepada kami untuk memilih Hospital Besar Alor Star sebagai tempat anak kami menjalankan rawatan terapi kerana ia lebih dekat dengan rumah kami," katanya yang tinggal di Perlis.


No comments:

Blog Widget by LinkWithin