ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
26 February, 2008
Nabi Muhammad SAW pemimpin ulung
Nur Islam menerangi alam hasil usaha dan pengorbanan Nabi Muhammad yang melakukan tugas berdakwah dengan penuh kerelaan tanpa menerima sebarang ganjaran bentuk keduniaan. Tanpa diutuskan Rasulullah, manusia dibelenggu kehidupan primitif dari segi akhlak, tingkah laku dan kepercayaan.
Rasulullah diutuskan tepat pada masanya di mana ketika itu peradaban kemanusiaan berada pada tahap paling merosot sepanjang sejarah tamadun manusia. Rasulullah berjaya membina kejayaan yang cemerlang dalam semua aspek. Apa yang dicapai oleh baginda dianggap luar biasa yang tidak mampu dicapai oleh manusia biasa.
Seorang orientalis Barat, Lothrop Stodddard dalam bukunya The New Word of Islam menyatakan bahawa kejayaan umat Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad tidak pernah dicapai dalam mana-mana peradaban manusia. Rasulullah membawa pakej kehidupan yang lengkap dan sempurna.
Seluruh cerdik pandai, sasterawan, ahli falsafah, ahli agama, ahli pendidik dan ahli politik sepakat menobatkan Nabi Muhammad sebagai pemimpin ulung yang berjaya membentuk masyarakat sempurna dan syumul.
Sekiranya ada individu menidakkan kemampuan atau sengaja mencipta cerita buruk tentang baginda, hal itu tidak berkesan. Seluruh umat Islam bangkit menentangnya. Bahkan, di kalangan bukan Islam turut mempertahankan peribadi mulia Rasulullah.
Baginda membawa pembaharuan nilai hidup kepada manusia sejagat. Dakwah baginda meliputi segenap aspek kehidupan yang diakui seluruh umat manusia. Baginda menjadi uswatun hasanah atau contoh terbaik kepada seluruh manusia.
Firman Allah dalam surah al-Qalam, ayat 4 bermaksud: Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.
Nabi Muhammad bukan saja menjadi penghulu kepada umat baginda, bahkan seluruh umat nabi dan rasul sebelumnya.
Kebenaran dakwah dibawa Nabi Muhammad tidak dapat disangkal sesiapa. Tidak ada hujah untuk menolaknya, kecuali keangkuhan, rasa kepentingan diri dan godaan dunia.
Kejayaan dakwah Rasulullah kerana kekuatan peribadi dan kepimpinan yang terbentuk hasil petunjuk secara langsung daripada Allah. Rasulullah mempunyai peribadi yang sangat mulia. Sebab itu baginda digelar al-amin, yakni lambang kebenaran dan kesempurnaan.
Gelaran al-amin kepada Rasulullah diberikan Musyrikin Makkah sebagai mengakui kemuliaan akhlak baginda. Mereka menolak ajaran dibawakan Rasulullah, tetapi tidak mampu untuk menipu diri sendiri memburuk-burukkan keperibadian Rasulullah.
Sebab itu, Musyrikin Makkah tidak menolak kepimpinan Rasulullah, biarpun tidak menerima agama tauhid. Baginda ditawarkan pangkat, kemewahan dan kekayaan asalkan meninggalkan tugas berdakwah.
Hal ini jelas membuktikan betapa hebatnya peribadi dan kepimpinan Rasulullah. Sebab itu, seluruh pengkaji peradababan bangsa dan kepimpinan tidak menemui individu lain yang lebih hebat daripada kemampuan Rasulullah dalam membentuk masyarakat sempurna meliputi akhlak, pekerti dan cara hidup.
Walaupun baginda dilahirkan sebagai manusia biasa, tetapi martabat baginda amat istimewa. Baginda melalui kehidupan penuh misteri yang dibimbing terus oleh Allah. Sebab itu tidak ada cacat cela pada diri baginda.
Keagungan Nabi Muhammad bukan lahir dari kekuatan bala tentera atau tanah jajahan takluk yang luas. Sebaliknya, keagungan itu dicapai melalui kekuatan pekerti, ajaran yang benar, membawa manusia ke dunia dimensi murni, hidup penuh kesederhanaan dan rahmatan lil alamiin (membawa rahmat ke seluruh alam).
Firman Allah bermaksud: Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). Dan sebagai penyeru (untuk umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberi-Nya dan sebagai lampu yang menerangi. (Surah al-Ahzab: 45-46).
Sesungguhnya manusia tidak mencapai kedudukan tinggi di sisi Allah, selagi dia tidak mengenali dan mencintai Rasulullah. Tidak mungkin seseorang itu dapat mengakui kekuasaan Allah dan menjadi hamba-Nya yang sebenar, tanpa mengakui apa dilakukan Rasulullah. Tanda cinta kepada Allah ialah cinta kepada kekasih-Nya.
Menyatakan kecintaan terhadap Rasulullah dalam bentuk apa sekalipun akan memantapkan keyakinan dan kecintaan kepada baginda. Lanjutan dari itu lahir pula keyakinan terhadap ajaran dibawakan baginda.
Seluruh umat Islam perlu berbangga menjadi umat Nabi Muhammad. Lantas perlulah kita meneruskan kesinambungan perjuangan baginda dalam keadaan apa sekalipun. Baginda amat sayangkan umatnya, dan sewajarnya perkara sama ditunjukkan oleh umat Islam terhadap baginda, biarpun tidak sehebat kasih baginda.
Kasih sayang Rasulullah terhadap umatnya tiada hadnya. Rasulullah menyebarkan kebaikan umat baginda ketika hayat di dunia, dan berterusan di akhirat nanti. Di Padang Mahsyar nanti tiada seorang pun yang boleh membri syafaat kecuali Nabi Muhammad.
Sabda baginda yang bermaksud: Setiap nabi tu mempunyai satu doa yang dimakbulkan, denganya dia berdoa, aku bermaksud hendak menyimpan doaku itu, yakni untuk diberikan kepada umatku di akhirat. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Hanya melalui penghayatan terhadap ajaran Islam membawa manusia dalam kehidupan penuh keindahan, keselamatan dan kesejahteraan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Hanya melalui penghayatan terhadap ajaran Islam membawa manusia dalam kehidupan penuh keindahan, keselamatan dan kesejahteraan....
bagaimana dengan pengganas islam yang membunuh orang2 yang tidak bersalah...fikir2 kan
wassalam
Post a Comment