adsense

07 April, 2007

isu Hangat: Air liur senjata penunduk





Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Abdullah Wahab
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sukar untuk dipercayai seorang lelaki warga asing memukau mangsanya dengan hanya menyembur air liur ke muka sebelum melarikan semua barang kemas dan wang tunai mereka.

Tetapi itulah taktik digunakan seorang lelaki dari India untuk memukau mangsa membabitkan anak dara yang bekerja sebagai pembantu jualan di kedai dan premis perniagaan di sekitar ibu kota.

Mangsa yang terkena semburan air liur lelaki keturunan Sikh itu dikatakan menjadi kaku dan tidak dapat bersuara selama beberapa minit sebelum lelaki itu mengambil barang kemas yang dipakai selain wang tunai dan telefon bimbit.

Sekurang-kurang lima gadis dilaporkan menjadi mangsa kaki pukau itu.

Kegiatan penjenayah berusia 31 tahun itu bagaimanapun ditumpas sepasukan polis dari Cawangan Pencegah Jenayah (CPJ) Balai Polis Setapak, petang semalam.

Lelaki memakai baju-T belang dan seluar panjang itu dikesan muncul di sebuah kedai gambar di Wisma Mutiara Genting, Jalan Genting Klang, Setapak di sini, bersama seorang rakan kira-kira jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K Kumaran, berkata seorang pembantu jurujual berumur 20-an di kedai terbabit mulanya tidak menyangka kedua-dua lelaki itu berniat jahat lalu melayan mereka.

Menurutnya, ketika sibuk melayan, seorang daripada mereka tiba-tiba menyembur air liur tepat ke muka mangsa menyebabkan dia kaku serta-merta.

“Penjenayah kemudian dengan pantas menanggalkan semua barang kemas serta mengambil beg duit dan telefon bimbit dalam keadaan mangsa separuh sedar dan tidak mampu berbuat apa-apa.

“Selang beberapa minit selepas penjenayah melarikan diri, mangsa pulih semula lalu dan menyedari semua barangannya sudah hilang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, penjenayah dipercayai mengambil barang kemas mangsa bernilai RM2,000 selain wang tunai RM500.

Mangsa segera menghubungi polis untuk memaklumkan kes berkenaan.

Susulan itu, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebelum mengesan dan menangkap lelaki itu setengah jam kemudian, tetapi rakannya sempat melarikan diri.

Hasil siasatan, kata Kumaran, polis menemui wang tunai, enam batu cincin, telefon bimbit, kad pelajar sebuah universiti di India dan satu bungkusan syiling plastik.

“Berdasarkan pasportnya, lelaki itu tiba di negara ini melalui Singapura, Isnin lalu, dan percaya datang ke sini untuk melakukan jenayah sebelum kembali semula ke negara asal.

“Kita sedang mengesan seorang lagi rakannya dipercayai sedang bersembunyi di sekitar daerah ini,” katanya yang percaya ramai lagi mangsa tidak tampil membuat aduan.

Justeru, beliau meminta mereka yang menjadi mangsa lelaki itu supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan.

Sementara itu, sumber polis memberitahu, lelaki itu turut menggunakan air minuman yang dikumur sebelum menyembur ke muka mangsa untuk memukau mereka.

“Cara itu ternyata menjadi, malah mangsa terus ‘hilang ingatan’ menyebabkan lelaki itu mengambil kesempatan merampas semua barang berharga milik mereka,” katanya.

1 comment:

Anonymous said...

citt...!!busuk punya kaki!

Blog Widget by LinkWithin